Setelah menjadi ibu bapa, pastinya anda dalam keadaan terkejar-kejar sepanjang masa. Sudahlah kena angkat barang banyak, anak pula minta didukung. Jika anda kena dukung bayi, anda perlu lebih BERHATI-HATI sebab ada risiko anak jatuh terhantuk kepala yang boleh membahayakan nyawa!
Awasi Anak Jatuh Terhantuk Kepala Dari Tempat Tinggi!
Di Puerto Andrtx, Spain, seorang bayi berusia 4 bulan meninggal dunia selepas bapanya tersadung di tangga rumah semasa mendukung anak lelakinya itu. Ibu bayi berkenaan tiada di rumah semasa kejadian berlaku.
Setelah sampai di hospital, si kecil tersebut dipindahkan ke unit rawatan intensif apabila doktor menemui beberapa kesan kecederaan yang serius. Namun bayi tersebut tidak dapat diselamatkan!
Kepala bayi yang masih kecil adalah sangat rapuh. Kesan anak jatuh di bahagian kepala dulu boleh memudaratkan, di mana anda bertuah sekiranya si kecil hanya ada luka kecil. Jika tidak, boleh menyebabkan kematian.
Berwaspada Di Atas Tangga
Apabila anda jatuh tangga semasa memegang bayi, si kecil mengalami lebih kecederaan kerana pergerakan orang dewasa yang tidak stabil. Dalam kes sebegini, selalunya leher atau kepala bayi yang mengalami tekanan.
Antara cara untuk mengelaknya:
- Jangan pegang bayi ketika naik tangga. Sebaiknya, tinggalkan bayi dalam tempat yang selamat seperti katil bayi sekiranya anda perlu naik ke tingkat atas untuk sekejap. Jika perlu, pakai penggendong bayi
- Jangan angkat anak sambil melakukan perkara lain, contohnya ketika membuat panggilan. Ini kerana anda perlu menyokong bayi menggunakan kedua tangan.
- Elakkan memakai selipar, stokin atau kasut tinggi di dalam rumah. Lebih elok berkaki ayam sahaja!
Risiko Anak Jatuh: Jangan Tinggalkan Bayi Di Atas Sofa
Sebenarnya, bayi boleh berguling jatuh dari katil atau sofa. Malah, bayi baru lahir juga boleh bergolek pada beberapa hari pertama kelahiran apabila dia cuba berpusing ke belakang. Jadi:
- Jangan biarkan bayi berbaring di atas katil, sofa atau permukaan yang tinggi tanpa pengawasan kerap. Sentiasa pastikan anda berdekatan bayi dan boleh mencapainya.
- Jika anda perlu meletakkan bayi, dapatkan tikar mainan untuk bayi.
Risiko Anak Jatuh: Jangan Letak Kerusi Bayi Di Tempat Yang Tinggi
- Semua tempat duduk kenderaan bayi perlu diletakkan di lantai rata, dengan pemakaian tali pinggang yang kemas.
- Apabila anak anda cuba untuk mengeluarkan diri, selalunya mereka akan berjaya!
Sentiasa Pantau Bayi Di Meja Tukar Lampin
Hanya beberapa saat sahaja, bayi boleh berguling dan jatuh ke lantai! Bayi mungkin tidak terhantuk di kepala, tetapi bayi berisiko patah tangan. Jika ini berlaku, segera bawa anak ke hospital.
- Sediakan semua peralatan untuk menukar lampin bayi. Jika anda tertinggal sesuatu, bawa bayi anda sekali (jika tidak perlu naik tangga, letak bayi di dalam katil bayi). Jangan tinggalkan bayi anda di meja tukar lampin bersendirian walaupun untuk sekejap!
- Sebaiknya tukar lampin di lantai sahaja bila bayi sudah semakin aktif.
Ibu bapa harus sentiasa ingat untuk memantau pergerakkan si kecil. Jangan sekali-kali membiarkan bayi anda dibiarkan berseorangan, atau bersama kanak-kanak sekalipun. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini asalnya ditulis oleh Nicholas Yong dan mendapat keizinan theAsianparent Singapore untuk diterjemah.
Baca juga: