Seorang anak luka bakar serius selepas tangannya memegang pembersih vakum yang baru saja diguna oleh ibunya. Jade Bishop, ibu kepada anak lelaki berusia 16 bulan itu, kini memberi amaran kepada ibu bapa lain supaya berhati-hati agar rumah sentiasa selamat untuk anak-anak semua.
Pembersih vakum merupakan salah satu perkakas rumah yang berguna dan biasa digunakan. Tapi apabila tidak digunakan dengan berhati-hati, terutamanya apabila adanya anak kecil, perkakas seperti vakum juga boleh mengundang bahaya.
Anak luka bakar dan melecur teruk hingga tahap 4
Dalam postingnya di Facebook, Jade menceritakan bagaimana pembersih vakum telah menyebabkan anak luka bakar serius pada jarinya hingga melecur tahap 4.
“Anak saya memang suka mengikut saya merata-rata di rumah apabila saya sedang menggunakan pembersih vakum,” tulisnya.
“Ketika itu saya sudahpun mematikan vakum itu dan baru saja berpaling untuk menanggalkannya dari soket pada dinding. Tapi tiba-tiba saya mendengar bunyi vakum hidup kembali.
Cepat-cepat saya berpaling dan pada masa yang sama, saya nampak Theo berdekatan dengan vakum sambil menjerit.
Saya matikan vakum dengan segera dan Theo berjaya menarik tangannya keluar dari bawah mesin vakum di mana tempat bulu vacuum cleaner sedang berputar dengan cepat.”
Semua ini terjadi dalam hanya 5 saat saja!
“Tolong jauhkan anak-anak dari mesin pembersih vakum kalau tidak mahu anak luka bakar!” tulisnya di dalam Facebook.
Pakar bedah plastik dan pakar luka bakar memberitahu Jade anaknya mungkin akan memerlukan graf kulit. Anaknya juga mungkin akan mengalami pergerakan terhad apabila dia semakin besar.
Walaupun anak luka bakar atau melecur, kesakitannya mungkin tidak begitu teruk kerana kerosakan saraf yang luas.
Keadaan Theo setahun selepas luka bakar dan melecur
Setelah setahun selepas kemalangan itu, theAsianparent berjaya menghubungi Jade Bishop untuk menegetahui keadaan Theo dan ibunya.
“Keadaannya baik sekali. Tapi lukanya mempunyai parut teruk kerana hampir setengah dari graf kulit yang dilakukan tidak berjaya,” kata Jade memberitahu theAsianparent.
Kini Theo sudah berumur 2 tahun. Kejadian itu mengingatkan ibunya untuk lebih berhati-hati dan memastikan keselamatan di rumah.
“Selepas berkongsi pengalaman saya, saya mendapati rupa-rupanya banyak juga kes kemalangan yang sama di serata dunia.
Satu lagi punca luka bakar akibat geseran adalah kerana mesin treadmill!” katanya, “Ibu bapa mesti sentiasa berjaga-jaga apabila ada anak-anak kecil di rumah.”
Cara mengurangkan risiko anak luka bakar atau melecur
- Mancis dan lighter baik dijauhkan dari kanak-kanak dan di simpan di tempat yang lebih tinggi atau dikunci.
- Kalau boleh, jangan guna kain pelapik meja yang senang ditarik oleh kanak-kanak kecil.
- Jangan biar anak main di dapur apabila anda sedang memasak. Halakan pemegang periuk ke dalam jika ia ditinggalkan di atas dapur untuk mengelak anak luka bakar.
- Pastikan anak bermain dalam playpen atau di bawah jagaan orang lain apabila anda sedang memasak.
- Guna termos yang ada penutup keselamatan kanak-kanak untuk mengelak ia dari tertumpah.
- Bahan-bahan kimia pencuci rumah juga boleh menyebabkan anak luka bakar atau luka lecur. Pastikan semua ubat pencuci rumah disimpan dengan selamat.
- Apabila menyeterika pakaian atau menggunakan saterika rambut, pastikan anak tidak berdekatan. Selepas menggunakan saterika, simpan di tempat yang tinggi dan selamat, jauh dari anak.
- Apabila memandikan anak, jangan biar anak berdekatan dengan air yang masih panas.
Ingat semua langkah-langkah keselamatan ini ibu bapa! Kadang-kadang ibu bapa terlepas pandang barang serta perkakas rumah yang nampak selamat tetapi boleh memudaratkan anak.
Sumber: theAsianparent Singapura
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: