Semua ibu bapa sanggup berkorban apa saja untuk anak mereka. Kalau boleh digerakkan langit dan bumi demi anak tercinta, sudah lama dibuatnya!
Dan tiada ibu bapa yang ingin anak mereka menemui ajal dulu sebelum diri ini.
Tetapi, pasangan ini diduga hebat. Mereka terpaksa menempuh hari mendatang dengan realiti yang sangat berat: anak perempuan yang tercinta telah tiada. Yang tinggal kini hanya mereka berdua.
Keperitan hati seorang bapa
Apa terjadi? Bapa mangsa, Desmond Neo telah berkongsi apakah yang terjadi pada anak perempuannya di sebuah hospital tempatan. Post yang ditulis dalam akaun Facebook itu amat menyedihkan.
Oleh sebab post terbabit ditulis dalam bahasa Mandarin, saya akan meringkaskan kronologi kejadian seperti di bawah.
Apa yang terjadi pada anak malang tersebut?
24 April 2017
Bayi tersebut, Joel Neo, berusia 11 bulan. Pada tanggal 24 April, Joel diserang demam panas dengan suhu naik mendadak hingga mencecah 39°Celsius.
Oleh sebab terlalu bimbang, Desmond pantas membawa anak perempuannya itu ke hospital kira-kira pukul 9 malam.
Selepas pemeriksaan standard dijalankan, doktor pakar memberitahunya yang Joel hanya diserang demam biasa.
Lalu, doktor tersebut cuba merawat Joel dengan memberi beberapa ubat-ubatan. Akan tetapi, selepas 4 jam diberi ubat-ubatan, Desmond perasan akan satu perkara.
Bibir anaknya berubah warna! Bibir yang tadi kelihatan normal berubah keunguan manakala anggota badan Joel juga bertukar ke warna hitam!
Desmond dan pasangannya mula panik. Mereka kembali memanggil doktor yang bertugas, sebelum doktor terbabit menerangkan simptom ini hanya simptom biasa akibat demam.
Oleh itu, lebih banyak ubat-ubatan cuba diberi kepada Joel pada pukul 5.30 petang. Menurut doktor tersebut, dos yang lebih kuat diperlukan oleh Joel untuk kembali pulih.
Kemudian, Joel tidur dengan lama. Post yang ditulis Desmond menerangkan anak perempuannya tak pernah tidur selama itu.
Lalu, sekali lagi pasangan itu mula risau. Tapi, doktor masih meyakinkan mereka yang ini adalah reaksi biasa ke atas ubat-ubatan yang telah diberi.
Desmond cuba untuk memindahkan anaknya ke hospital lain, tapi hari sudah lewat. Mereka diminta untuk melakukan proses pemindahan keesokan paginya.
25 April 2017
Keesokan paginya, demam Joel semakin panas hingga mencecah 40°Celsius! Desmond pantas meminta bantuan jururawat yang bertugas.
Jururawat tersebut memberikan lebih banyak ubat kepada Joel. Tetapi, demamnya masih belum kebah!
Desmond yang terdesak merayu agar jururawat itu menghubung doktor bertugas sebelum ini. Tetapi, jururawat itu enggan!
Isteri Desmond yang sedang hamil 6 bulan ketika itu juga merayu bersama suaminya, tapi tiada tindakan diambil.
Desmond mengatakan jururawat itu juga dengan berani meminta caj tambahan sebanyak RM150 jika mereka ingin memanggil doktor bertugas!
Masa semakin berlalu… demam Joel makin melonjak tinggi hingga mencecah 41.4°Celsius. Malah, najis kanak-kanak malang itu juga berubah menjadi berair.
Jururawat yang bertugas memanggil doktor dari wad kecemasan untuk memeriksa Joel.
Setelah diperiksa, doktor itu meminta kedua ibu bapa yang kerisauan itu mengelap badan Joel dengan span dan air sejuk.
Malah, beliau juga meminta kipas dan penghawa dingin dihidupkan. Doktor itu berjanji, dengan cara ini, demam Joel akan mula kebah.
Walaupun begitu, doktor asal yang ditugaskan untuk merawat Joel masih tidak datang menjenguk pesakitnya.
Desmond amat khuatir dan gelisah sekarang. Menerusi post yang ditulisnya, beliau berkata bagaimana ibunya yang cuba menenangkan dia saat itu.
Dia siap berjanji dengan diri sendiri – jika Joel sedarkan diri, dia ingin bawa Joel balik. Tapi… Joel tidak sempat dibawa pulang.
Pada pukul 6 pagi, Joel mula muntah darah dan dibawa masuk ke wad ICU. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh keluarga mangsa. Mereka hanya boleh berdoa.
Tiba-tiba, doktor asal yang bertugas merawat Joel sebelum ini muncul. Dengan selambanya, beliau mengatakan yang Joel akan dihantar ke hospital lain kerana mereka tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk mengendali keadaan Joel.
Baru sekarang, doktor?
11 Mei 2017
Selepas 11 hari bertarung dengan kesakitan, kanak-kanak comel itu meninggal dunia di sebuah hospital kerajaan.
Bapanya yang kecewa pantas meminta penjelasan daripada pihak hospital. Dalam post yang lain di akaun Facebooknya, Desmond telah mengongsikan penjelasan daripada pihak hospital.
Pihak hospital enggan mengaku mereka mengabaikan bayi perempuan ini, dan enggan mengambil sebarang tanggungjawab terhadap kecuaian yang telah mereka lakukan.
Kami turut kecewa
Dalam masa beberapa hari saja, nyawa Joel yang tak bersalah telah diragut tanpa sebab. Hati ibu bapa mana yang tidak hancur apabila perkara ini terjadi?
Tiada apa yang boleh membawa Joel kembali. Tapi, pasti kedua ibu bapanya ingin keadilan di atas kecuaian yang telah berlaku pada Joel.
Semoga kau tenang di sana, wahai kanak-kanak comel. Kami di theAsianparent mengucapkan ribuan takziah kepada keluarga mangsa.
Mungkin sekarang Joel dapat berehat dengan tenang lagi aman di sisi Tuhan. Amin.
Kredit gambar: Facebook Desmond Neo
Sumber rujukan: Facebook Desmond Neo
Artikel ini diterjemah daripada theAsianparent Singapore