Anak Menumbuk Emak Sendiri Kerana TV, Langsung Hilang Rasa Hormat Pada Orang Tua!

Rasa hormat pada ibubapa tidak datang sendiri. Ia harus dipupuk dan dijadikan amalan harian sebelum menjadi darah daging. Ikuti tip-tip mendidik anak-anak menghormati diri mereka sendiri serta orang lain.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Tular kisah baru-baru ini apabila dikatakan seorang anak menumbuk emak sendiri. Seorang lelaki dalam usia 20-an dilaporkan telah bertindak menumbuk ibunya pada bahagian muka di rumah mereka di Kuala Berang, Terengganu.

Sebabnya? Si ibu meminta dia untuk menukar siaran televisyen yang ditontonnya menyebabkan dia naik berang dan menumbuk serta menjerit-jerit pada ibunya. 

Si ibu yang bimbang akan keselamatan diri telah membuat laporan polis. Menurut sumber, lelaki tersebut dipercayai juga seorang penagih dadah.

Mungkin kerana pengaruh dadah maka dia telah bertindak kurang ajar dan di luar kawalan. Namun, itu tetap tidak dapat dijadikan alasan bagi seorang anak anak menumbuk emak dan bersikap kurang ajar sedemikian.

Ajar Anak Hormati Ibu Bapa

Menjadi budaya bangsa Melayu Islam di Malaysia, pada musim perayaan kita akan meminta maaf dan melayan ibubapa sebaiknya. Namun, lebih baik jika rasa hormat tidak diikat dengan hari keraian tetapi menjadi darah daging dalam diri.

Rasa hormat yang lahir daripada kasih dan sayang serta rasa terhutang budi atas masa dan wang ringgit bagi membesarkan kita akan membuatkan seseorang itu menghormati ibubapa tanpa batasan waktu. Tidak mungkin tergamak hatta menaikkan suara, apatah lagi berkelakuan kasar atau bersikap kurang ajar.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Elak Rosak Masa Depan Anak

Rasa hormat perlu dipupuk dalam diri anak-anak bukan untuk mengelakkan mereka berlaku kurang ajar terhadap ibubapa semata. Lebih penting lagi, ia adalah satu konsep yang dapat membantu anak-anak dalam semua aspek hidup mereka kelak – di alam persekolahan, kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

Menurut Dr Jim Taylor, seorang profesor psikologi keibubapaan dari University of San Francisco, tanpa rasa hormat, anak-anak tidak dapat memberi nilai kepada diri mereka dan orang lain. Mereka lebih cenderung terlibat dengan masalah sosial seperti mengambil dadah dan melayan orang lain dengan buruk.

Sebaliknya, dengan rasa hormat pada diri, anak-anak akan melayan diri mereka dengan baik dan kurang terlibat dengan perkara merbahaya. Menurut Dr Jim lagi, kelebihan mengajar nilai hormat kepada anak-anak sejak kecil termasuk menjadikan anak-anak:

  • Lebih ceria, cemerlang dan berhubung secara sihat
  • Tidak mementingkan diri, lebih bertimbang rasa, penyayang dan pemurah
  • Menghormati ibubapa dan orang dewasa lain
  • Menghormati had yang ditetapkan terhadap mereka
  • Lebih mempercayai ibubapa dan mematuhi arahan

 

Cara Mendidik Anak-Anak

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Teliti perkara berikut. Jadikan ia panduan mendidik anak-anak tentang rasa hormat supaya tidak sekali mereka bersikap kurang ajar terhadap kita mahupun orang lain.

1# Menjadi model

Anak-anak sentiasa memerhati setiap tingkahlaku ibubapa dan akan mengikutnya. Jadi, apabila kita melayan mereka dan pasangan dengan rasa hormat, anak-anak akan membesar dengan kepercayaan bahawa rasa hormat adalah sesuatu yang baik dan cara yang normal untuk melayan orang lain.

Jika anak-anak suka menjerit kepada kita, perhatikan sikap kita terhadap mereka.

2# Akui sikap

Apabila anak-anak bersikap hormat, akui dan pujilah tindakannya. Sebaliknya, jika dia bersikap tidak hormat kepada seseorang, hentikan perbuatannya dan bawalah berbincang. Jika kita biarkan dia dengan sikap kurang ajar, kita sedang mengajarnya bahawa rasa hormat pada orang lain itu tidak penting.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

3# Ajar hormat sesama adik-beradik

Pastikan anak-anak yang berbeza umur saling menghormati. Anak-anak cenderung untuk tidak menghormati mereka yang tidak hormat padanya. Hanya kerana siabang lebih tua dan punyai caranya sendiri, itu tidak bermakna dia tidak perlu menghormati adiknya sebagaimana anda ingin siadik menghormati abangnya.

4# Ajar hormati kepelbagaian

Pelajari bersama-sama tentang budaya, agama, pandangan politik dan bangsa lain. Bantu mereka untuk rasa selesa dan biasa dengan keadaan yang berbeza-beza.

Bergaullah dengan bangsa lain dan mereka yang berada di kedudukan berbeza dengan kita dan keluarga. Ini membantu anak-anak untuk membina sikap hormat terhadap orang yang berbeza daripada mereka.

5# Bina nilai diri anak-anak

Jika mereka merasa gembira tentang diri sendiri, anak-anak lebih cenderung untuk melayan orang lain dengan rasa hormat. Raikan kejayaan dan akui setiap kebaikan yang mereka lakukan sama ada secara terang atau tidak.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Galakkan sikap yang baik dan tegur dengan lembut sikap yang kurang baik. Nilai diri anak-anak berkait rapat dengan rasa hormat yang mereka peroleh daripada orang di sekeliling mereka, terutama ibubapa.

6# Tunjukkan kasih sayang

Luahkan rasa kasih sayang. Pelukan, ciuman, gurau senda, masa kualiti bersama, sentuhan galakan – apa jua yang dapat menunjukkan kasih sayang – dalam ‘bahasa’ yang anak-anak fahami.

Jika perlu ditegur, lakukan segera dan luahkan kasih sayang selepas itu. Jika mereka merasa diri dikasihi dan diterima baik, mereka akan bertindak balas dengan rasa hormat.

7# Andaikan anda adalah mereka

Rasa empati penting bagi membina rasa hormat. Jika kita jangkakan yang anak-anak tidak akan mengambil barang kita tanpa kebenaran, lakukan perkara yang sama terhadap barang kepunyaan mereka.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Elakkan sama sekali memalukan atau meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar di hadapan adik-beradik atau rakan-rakan.

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Nak Marah Perlu Berpada-Pada, Ini 5 Sebab Kenapa Parents Terlalu Kasar Buat Anak Trauma!