Pernahkah anak anda tiba-tiba ringan tulang, menawarkan diri untuk membantu buat kerja rumah atau menolong untuk membuat sesuatu perkara? Kalau pernah, itu adalah satu petanda yang baik untuk perkembangan sosial dan empati anak-anak. Jadi penting untuk ibu ayah tidak menolak.
Seperti kata Noor Afidah Abu Bakar dari The Parent Connect, walaupun kerja yang ingin dibantu nampak mudah dan perkara kecil, tapi untuk anak-anak kita ia adalah satu pencapaian besar jika mereka dapat membantu.
Apabila anak ringan tulang untuk membantu, ibu ayah jangan menolak!
Seringkali usai solat berjemaah di rumah, anak saya akan bertanya sama ada dia boleh membantu untuk lipat sejadah saya.
Seringkali juga jawapan saya sama sahaja,
“It’s OK. Ummi lipat sendiri. Thank you adik.”
Terlalu mudah untuk lipat sejadah.
Saya masih berupaya dan saya boleh lakukan sendiri.
Saya tidak perlukan bantuan sesiapa.
Tambahan lagi saya masih ingin berada di atas sejadah untuk seketika usai solat.
Bagaimanapun suatu hari saya tersedar, kenapa perlu saya menolak bantuan yang lahir dari hati anak yang ikhlas tanpa paksaan dan tanpa disuruh?
Kenapa saya tidak menyambut bantuan yang ingin dihulurkan seorang anak kepada Umminya yang boleh memberikan ganjaran pahala kepada si anak, walaupun mungkin bukan pahala yang dikejar anak?
Bagaimana sekiranya suatu hari nanti dia berhenti menghulurkan apa sahaja bantuan kerana setiap kali dia ingin membantu saya menolak?
Sejak dari itu, setiap kali dia bertanya usai solat, saya dengan berbesar hati izinkan dia melipat sejadah saya walaupun saya masih ingin berada di atas sejadah.
Tidak mengapa, lantai ruang solat masih beralaskan karpet.
Saya dapat melihat satu kepuasan pada diri anak kerana Ummi menyambut bantuan yang dihulurkannya walaupun bantuan itu amatlah mudah untuk dikerjakannya.
Adakalanya kita begitu.
- Kita ‘menolak’ bantuan anak kecil kerana kita berupaya melakukannya sendiri.
- Kita ‘menolak’ kerana hasil kerja anak tidak sama dengan hasil yang kita kerjakan
- Kita ‘menolak’ kerana jika anak membantu kita perlu lakukan semula untuk perkemaskan.
- Kita ‘menolak’ kerana melakukan sendiri lebih cepat berbanding masa yang diambil oleh jari-jari kecil anak.
- Kita ‘menolak’ kerana tidak mahu menyusahkan anak.
- Kita ‘menolak’ kerana kita mahu anak bermain, mahu anak bersuka ria ataupun kita mahu anak baca buku.
- Kita ‘menjolak’ kerana kita mempunyai pembantu rumah yang sudah dibayar untuk melakukan tugasan rumah.
- Kita ‘menolak’ kerana tidak mahu anak susah seperti kita kecil dahulu.
Jika selalu menolak, anak akan kurang keinginan membantu
Lama-kelamaan anak mula hilang minat untuk membantu kerana bantuan mereka tidak diperlukan.
Apabila ini berlaku kita mula melabel anak macam-macam, kita mula membebel kerana anak tidak mahu membantu.
Selama lebih 4 dekad, antropologis keluar masuk perkampungan terpencil kaum Maya di Mexico, ‘Chan Kajaal’, untuk memahami bagaimana kanak-kanak mereka menjadi anak-anak yang sangat ringan tulang membantu ayah ibu mereka bukan sahaja di rumah, menjaga dan menguruskan adik-adik, malah di ladang-ladang dan dalam apa juga pekerjaan yang dikerjakan oleh ibubapa mereka.
Mereka mengkaji kerana melihat anak-anak masyarakat moden di bandar-bandar tidak begitu sifatnya.
Jawapan kepada persoalan antropoligis ini terkandung dalam satu perkataan iaitu ‘ACOMEDIDO’.
Acomedido menjadi istilah penting dalam kehidupan kaum Maya dan tidak wujud dalam kamus kehidupan masyarakat Barat moden Amerika Syarikat.
Acomedido membawa maksud ‘menumpukan perhatian dan bertindak’ (pay attention and then acting).
Ia bukan sahaja skil penting yang harus dimiliki oleh kanak-kanak, malah Acomedido merupakan sebuah NILAI yang dipegang di dalam masyarakat kaum Maya dan menjadi matlamat keibubapaan mereka.
Melalui acomedido, mereka mendidik anak-anak mereka agar menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarga dan juga dalam masyarakat.
Anak-anak mereka perlu peka dengan dunia sekeliling, perlu faham apabila seseorang memerlukan bantuan, dan kemudiannya bertindak untuk membantu.
Kanak-kanak Maya bukan sahaja perlu tahu bagaimana caranya untuk melakukan sesuatu ‘chores’ atau kerja rumah, mereka juga perlu tahu apakah bentuk bantuan yang sesuai yang harus diberikan pada waktu-waktu tertentu kerana mereka benar-benar peka dan memberi tumpuan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber rujukan: Parent Connect
Baca juga: Umur 29 Tahun Miliki 7 Orang Anak, Dan Tak Serik Nak Mengandung Lagi