Si Manja Kerap Mengalami Sembelit, Doktor Kongsi Petua Mudah Bagi Mengatasinya
Petua hilangkan sembelit bayi yang berkesan dapat mengelakkan masalah daripada berlarutan. Ini antara beberapa tips yang boleh ibu ayah cuba di rumah
Salah satu sebab utama bayi selalu menangis ialah kerana kembung perut atau sembelit. Ia sungguh memilukan bagi seorang ibu apabila terpaksa melihat wajah si manja kemerah-merahan menahan sakit akibat sukar membuang air besar. Sebenarnya ada beberapa petua hilangkan sembelit bayi dengan berkesan tanpa perlu ke klinik.
Bagi ibu ayah yang baru pertama kali, adalah normal untuk anda berasa panik ketika menghadapi situasi ini. Namun adalah penting mengetahui teknik yang betul bagi mengurangkan kesakitan yang dialami oleh si manja.
Petua hilangkan sembelit bayi yang mudah dan berkesan
#1. Petua hilangkan sembelit bayi- Makanan yang kaya serat
Kunci utama untuk petua hilangkan sembelit bayi ialah memperbaiki diet mereka. Memang betul kita harus mengutamakan semua nutrien seperti kalsium dan vitamin D.
Tetapi ada satu lagi nutrisi tambahan yang diperlukan anak, iaitu prebiotik. Ia adalah serat yang tidak dihadam dalam sistem pencernaan manusia dan membantu melembutkan najis.
Bagi bayi yang masih menyusu, petua hilangkan sembelit bayi adalah melalui susu ibu. Ibu menyusu hendaklah mengambil makanan tinggi prebiotik untuk bayi. Antara contoh sumber prebiotik ialah:
- Bawang putih mentah
- Bawang merah mentah atau masak
- Buah pisang
- Luban arab (arabic gum)
#2. Beri makanan dalam bentuk puri
Sekiranya umur bayi telah melebihi 6 bulan dan mula mengambil makanan pejal, ibu boleh menyediakan menu berbentuk puri iaitu sayur-sayuran yang dilenyekkan.
#3. Memastikan anak minum air secukupnya
Memandangkan anak yang sedang membesar akan aktif bermain dan tidak suka diganggu, ibu ayah hendaklah memastikan mereka mengambil air kosong secukupnya setiap hari.
Terutamanya selepas makan agar dapat membantu melembutkan najis dan melancarkan proses membuang air besar. Selain itu, elakkan tabiat memberikan anak mengambil minuman kotak berperisa coklat kerana ia secara tidak langsung menyebabkan sembelit.
#4. Ajarkan anak tidak menahan najis
Ibu ayah hendaklah memastikan si manja tidak menahan najis dan segera ke bilik air sekiranya ingin membuang air besar.
Ini dapat dilakukan melalui pelaksanaan rutin di mana anak perlu meluangkan masa membuang air besar setiap hari dengan pengawasan ibu ayah.
Penyebab anak kerap mengalami masalah sembelit
Masalah sukar membuang air besar boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira usia. Antara punca si manja anda kerap mengalami masalah ini adalah kerana:
#1. Tidak menyusu bayi dengan baik. Bayi turut berisiko mengalami masalah sembelit sekiranya ibu tidak memberikannya susu badan dengan kerap. Hal ini kerana susu adalah sumber makanan utama untuk perkembangan bayi dan mengandungi pelbagai vitamin dan mineral.
#2. Tabiat pemakanan harian. Kurangnya mengambil makanan yang tinggi dengan serat cenderung menyebabkan masalah sukar membuang air besar. Ibu hendaklah memastikan anak mengambil makanan sihat terdiri daripada buah-buahan dan sayuran.
#3. Anak rasa takut dan bimbang ketika proses membuang air besar. Memandangkan sebelum ini kerap berlaku masalah yang sama, ramai anak kecil berasa tertekan dan takut sakit ketika ingin ke tandas. Disebabkan itulah mereka akan menahan untuk membuang air besar dan mengakibatkan najis mengeras di dalam usus besar.
Cara mengenal pasti sama ada si manja mengalami sembelit ataupun tidak
Antara cara untuk mengenalpasti sama ada anak anda mengalami sembelit atau tidak ialah dengan melihat tanda-tanda ini:
- Membuang air besar kurang dari 3 kali seminggu
- Sukar membuang air besar
- Najis lebih besar dari saiz biasa
- Najis keras
- Sakit pada bahagian perut
- Najis bercampur dengan darah
- Rasa sakit apabila membuang air besar
- Kerap meneran
- Perut yang kembung
- Tidak mahu makan atau menyusu
Apabila melibatkan kesihatan anak, ibu ayah hendaklah peka dan lebih berhati-hati bagi mengelakkan gejala menjadi serius. Sekiranya anda mendapati terdapat sebarang simptom yang membimbangkan, maka segeralah untuk membawa anak berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.
Anda harus membawa si manja berjumpa doktor jika mereka mengalami:
- Demam
- Kurang berat badan
- Perut buncit
- Muntah
- Najis mengandungi darah
- Lubang dubur mengalami kecederaan
Sumber: Doctor on call
Foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: Budak 4 Tahun Hidap Diabetes, Ambil Minuman Kultur Untuk Rawat Sembelit Hingga Ketagihan
Baca juga: Risaunya Bayi Kerap Sembelit, Ketahui Punca & Cara Bagi Mengatasinya Dengan Berkesan
Baca juga: 7 Khasiat Betik Untuk Si Manja, Ia Mampu Merawat Masalah Cacing & Rabun Mata