Bila Anak Songsang Dalam Perut, Adakah Boleh Pusing Semula @ Kena Bersalin Caesar?

Anak songsang ketika mengandung sering merisaukan ibu sehingga ada yang mengatakan bahawa tidak dapat bersalin secara normal. Adakah ia benar?

Melahirkan anak songsang iaitu keluar bahagian punggung dahulu memberikan risiko tinggi semasa proses bersalin. Sekiranya ini yang berlaku kepada anda, ia bukanlah bermakna ibu perlu menjalani pembedahan Caesarean.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kehamilan songsang berlaku. Antaranya ialah mengandung kembar, air ketuban kurang dan terlalu banyak, ketumbuhan dalam rahim (fibroid), sejarah kelahiran pramatang, uri di bawah dan bentuk rahim yang tidak normal.

Kedudukan anak songsang, adakah boleh pusing semula?

bayi songsang credit to sources

Penjelasan oleh Pakar Obstetrik dan Sakit Puan, Dr. Rafiuddin Hamizan, sewaktu merawat pesakit, dia mendengar banyak kepercayaan karut mengenai kedudukan anak songsang.

''Doktor, saya perlu bersalin secara caesar ke? Bayi songsang ni. Hancurlah impian saya untuk bersalin normal seperti ibu-ibu yang lain!''

''Doktor, saya ada terbaca dekat Facebook jika bayi songsang, perlu suluh lampu ke bawah perut supaya bayi nampak jalan. Betul ke?''

Ini semua berlaku akibat kurangnya pendedahan mengenai masalah bayi songsang. Tidak ramai juga berdepan pengalaman kerana ia hanya berlaku pada 3 hingga 4 peratus kandungan matang.

Kaedah pemusingan anak songsang kepada posisi normal

Dalam posting kali ini, saya ingin bercerita tentang kaedah pemusingan bayi songsang ke kedudukan normal yang dikenali sebagai eternal cephalic version (ECV).

Bagi ibu yang hamil anak songsang, ECV ini akan ditawarkan bagi membolehkan bayi kembali kepada kedudukan normal iaitu kepala di bawah. Bagi ibu mengandung kali pertama, kadar keberhasilannya mencecah secara purata 50 peratus. Manakala ibu bukan kali pertama kurang 40 peratus.

kedudukan bayi songsang credit to sources

Meskipun anda menjalani ECV ini berjaya menukar kedudukan bayi kepada normal, sebilangan 3 peratus berisiko untuk bertukar semula ke posisi songsang. Bagi ibu menjalani ECV gagal pula, sebilangan 3 hingga 7 peratus akan pusing sendiri kepada kedudukan normal.

Manakala untuk ibu yang tidak menjalani ECV, kajian menunjukkan amat jarang bayi akan bertukar kepada kedudukan normal. Dianggarkan hanya lebih kurang 8 peratus buat ibu mengandung kali pertama.

Prosedur ECV dengan pengawasan doktor

External cephalic version (ECV) dilakukan dengan memusingkan bayi dari luar menggunakan tangan. Bagi tujuan keselamatan, kaedah ini diawasi dan dibuat oleh doktor sakit puan berpengalaman sahaja.

Doktor hendaklah tahu bagaimana merasai bahagian-bahagian tubuh bayi melalui perut bayi. Dia juga perlu cakna dengan sebarang risiko prosedur ke atas ibu dan bayi agar tindakan pantas boleh diambil sekiranya berlaku di luar jangkaan.

Ketika prosedur ini, doktor memberikan sejenis ubat 'betamimetic' bertujuan melembutkan otot rahim dan dapat pusingkan bayi dengan lebih mudah. ECV boleh juga dilakukan tanpa ubat ini, namun kajian mendapati pengambilan ubat lebih meningkatkan kejayaan prosedur dan mengurangkan risiko bersalin caesar.

Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah jantung, anda tidak boleh mengambil ubat ini.

Faktor yang mempengaruhi kejayaan ketika memusingkan bayi

petua bayi songsang credit to sources

Antara faktor yang mempengaruhi kejayaan ECV selain mengambil ubat betamimetic ialah:

  • Berat ibu kurang 65kg
  • Kedudukan uri di belakang (posterior)
  • Air ketuban yang mencukupi (lebih 10cm jika diukur menggunakan ultrasound scan)
  • Kepala bayi dapat dirasa dengan tangan (perut ibu tidak terlalu tebal sehingga sukar merasai bahagian tubuh bayi)
  • Bahagian punggung masih belum 'engage' (masuk ke rongga pelvis ibu-biasanya ketika sudah merasai sakit kontraksi yang kerap)

Manakala waktu yang sesuai untuk menjalani ECV ini ialah ketika usia kandungan 34 hingga 35 minggu. Namun tetap ada juga risiko bersalin secara pramatang.

Justeru, lebih digalakkan melakukan prosedur ECV ialah 37 minggu dan ke atas iaitu ketika bayi sudah matang. Manakala bagi ibu hamil kali pertama, ia boleh dilakukan seawal kandungan 36 minggu.

Antara kategori ibu yang tidak boleh menjalani ECV ini ialah:

  • Air ketuban sudah pecah
  • Uri lekang
  • Jantung bayi tidak normal pada bacaan CTG

Kesimpulannya, jika anda berdepan anak songsang dalam perut elakkan mengurut dengan pihak tidak bertauliah. Jika terjadi uri lekang atau berdarah, dibimbangi boleh membahayakan ibu dan kematian bayi.

Sumber: Dr Rafiuddin Hamizan

Kredit foto: Google Images

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Kedudukan Bayi Songsang? Lakukan 5 Jenis Senaman Ini Bagi Membuatkan Bayi Pusing Semula!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!