Cabaran menjadi seorang anak sulung…
Dari tepi mata, saya nampak anak sulung saya seperti teragak-agak untuk menghulurkan coklat terakhirnya pada si adik.
Tapi saya kenal anak saya. Walaupun itu makanan kegemarannya, dia tetap akan beri coklat itu pada adiknya.
Sebenarnya tanggungjawab sebagai anak sulung sangatlah besar.
Tetapi ramai yang selalu terlepas pandang, malah ada pula yang cemburu dan mengatakan mereka banyak kelebihan.
Rasanya, semua yang mengadu itu pastilah bukan anak sulung. Kalau tak mereka takkan complain macam tu.
Berikut adalah pengorbanan dan cabaran menjadi anak sulung yang saya nampak sebagai seorang ibu…
Anak sulung selalu jadi “bahan eksperimen”
Sebagai ibu bapa baru, kita belum pandai lagi cara untuk menjaga anak.
Kadang-kadang, kita akan terikut cakap orang, kemudian sedar cara mereka tak sesuai dengan kita.
Walaupun kita akan cuba menimba ilmu tentang cara terbaik untuk membesarkan anak, kita masih akan melakukan banyak kesilapan.
Saya sangat tegas dengan anak pertama saya: ini tak boleh, itu tak boleh, semua pun tak boleh.
Tetapi apabila ingat balik pengalaman sendiri dan selepas anak kedua, mungkin perbuatan saya telah menyekat perkembangan dan keupayaan anak sulung saya untuk berdikari.
Anak sulung selalu perlu tunjukkan contoh yang baik
Mereka selalu tertekan kerana perlu menunjukkan contoh terbaik.
Ini sebab perangai dan tingkah laku anak sulung akan ditiru adik.
Mereka tak boleh bertindak sesuka hati.
Ini menyebabkan banyak kelakuan dan perbuatan mereka akan selalu tersekat apabila ibu bapa berkata –
“Jangan buat macam itu, nanti adik ikut!“
Anak sulung perlu mengalah dengan adik
“Kenapa saya perlu bagi balik! Saya yang ambil permainan itu dulu!” “Kenapa adik yang selalu menang?” “Kenapa saya perlu mengalah?!” “Tak adil betul!” “Ibu lebih sayang dengan adik!”
Beginilah bunyinya di rumah saya setiap hari. Masa anak pertama masih kecil, dialah anak emas.
Sekarang, semua permainan yang dulu kepunyaan dia perlu dikongsi dengan adik.
Bukan setakat itu saja!
Perhatian dan kasih sayang ibu bapa turut perlu dikongsi dan ini biasanya punca utama mengapa anak pertama seringkali kecil hati atau rasa cemburu.
Mereka perlu jadi penjaga adik
Tugas ini memang sudah jadi tugas penting semua anak sulung.
Budaya di Malaysia mengajar anak sulung supaya menjaga adiknya dari mereka muda lagi.
Kalau bawa anak-anak ke taman permainan, kakak ataupun abang pasti ditugaskan untuk menjaga adik semasa bermain.
Kadang-kadang kesian juga melihat mereka mengejar adik sehingga tak dapat bermain langsung.
Tapi itulah pengorbanan anak pertama.
Apabila habis main, kebanyakan ibu-ibu akan terus memberi tumpuan pada si adik tanpa mengucapkan terima kasih kepada anak sulung.
Mereka selalu disalahkan
Kalau si sulung bertengkar dengan adiknya, pasti dia yang akan selalu disalahkan.
“Kenapa ibu lebih menyayangi adik?” anak saya selalu tanya. “Bila adik buat salah, saya pasti dituduh mengajar adik perkara yang bukan-bukan!”
Tetapi lama kelamaan saya belajar untuk tidak menuduh dengan melulu.
Ibu bapa perlu betul-betul kenal perangai anak mereka.
Tak semestinya semua salah si anak sulung. Jangan ingat kanak-kanak kecil tak pandai untuk memanipulasi dan membuli!
**
Jika anda baru sedar tentang pengorbanan serta cabaran yang perlu diharungi anak sulung, peluklah dan berikan belaian kasih sayang kepada mereka.
Luangkan masa untuk mereka juga. Jangan biarkan mereka rasa terasing dan tidak dihargai.
Sumber rujukan: Sirap Limau
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Kanak-Kanak Mulia Ini Enggan Dirawat Kerana Mahu Bapa Selamatkan Adiknya