Anak takut orang? Pantang bila ada orang datang dekat sahaja dengan anak anda, mulalah satu rumah dan satu kedai dengar anak anda menangis. Atau adakah anda langsung tak boleh tinggalkan anak dengan sesiapa sahaja? Jika ya, memang sahlah anak anda takut orang.
Sebelum kita rungkai sebab mengapa anak takut orang ini, kita perlu memahami bahawa ketakutan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah perkara yang normal dan harus kita terima sebagai ibu bapa.
Walaupun bagi anda ianya adalah perkara yang biasa dan remeh temeh, anak anda melihatnya dalam satu kaca mata yang berbeza.
Baik bayi dan kanak-kanak, kesemuanya boleh mengalami ketakutan dan ianya mengikut peringkat umur mereka. Jadi, janganlah anda terkejut bila anak anda yang dahulunya bayi yang masih kecil nampak macam boleh je dengan semua orang.
Tapi bila dia dah besar sikit, habis menangis-nangis bila nampak orang yang tidak dikenali. Agak-agak anda tahu tak kenapa?
Jom kita selidik punca dan mengapa bayi berasa takut.
Ketakutan dan Bayi
Jika anak anda masih lagi bayi, persoalan ini pastinya bermain di fikiran anda. Kenapalah anak anda terlalu takut orang dan jika anak anda masih takut sekarang, adakah anak anda akan berterusan rasa takut sampai peringkat kanak-kanak?
Apa yang penting sekarang adalah anda kena memahami mengapa ketakutan ini berlaku dalam kalangan bayi dan bagaimana anda boleh membantu anak anda.
Bayi Berumur 6 hingga 12 Bulan
Ini adalah usia yang mana bayi anda sudah mula menunjukkan ketakutan mereka pada orang asing, bunyi bising, bila dekat dengan objek besar dan tidak dikenali dan yang paling penting apabila mereka berjauhan dengan ibu bapa.
Untuk bayi yang masih kecil, mereka ada ketakutan juga seperti takut terjatuh dan sebagainya. Perasan tak bayi macam terkejut-kejut sikit bila masih kecil? Itu adalah salah satu refleks dirinya.
Tetapi berlainan sedikit, bila bayi sudah mula cam orang seawal umur 6 bulan dan akan mudah merasa terkejut apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.
Ini kerana anak anda sudah mula mengecam orang yang selalu berdekatan dengannya. Jadi, kalau anak anda jumpa orang lain yang dia memang tak kenal, memang haru dibuatnya.
Bayi Berumur 1 hingga 2 Tahun
Bila anak anda dah masuk umur yang besar sedikit ini, anak anda akan mempunyai ketakutan yang lain pula iaitu anak anda akan mula takut dengan objek-objek besar dan apabila melihat objek-objek ini.
Pada waktu ini, anak anda mula membezakan sesuatu dari realiti apa yang anak anda lihat dan apa yang anak anda bayangkan.
Sebagai contoh, kalau anak anda suka watak kartun Doraemon misalnya dalam televisyen tapi bila anak anda jumpa di dunia nyata, itu pun boleh sebabkan anak anda jadi takut.
Apatah lagi dengan orang asing kan?
Cara Bantu Anak Kurangkan Rasa Takut
Apabila anak anda takut orang jika dia masih bayi, itu juga adalah perkara yang biasa. Anak anda tidak biasa dengan kehadiran orang asing yang tidak dikenali.
Adakah anak anda terus takut orang? Sudah tentu tidak. Situasi ini akan berubah apabila usianya meningkat.
Walaupun anak anda takut orang, anda masih boleh menolong anak anda untuk membantu melawan dan menghilangkan ketakutan anak anda.
Kami ada beberapa cara untuk anda praktikkan bagi membantu anak anda menghilangkan ketakutannya.
#1 Ambil masa dan pujuk secara perlahan-lahan
Nak kenalkan anak anda dengan orang luar dan asing ini memang kena ambil masa. Tak boleh terlalu gelojoh atau gopoh dalam memperkenalkan anak anda kepada orang lain.
Tengok anak anda bagaimana dahulu. Bantu anak anda dengan ketakutannya secara perlahan-lahan.
#2 Jangan ambil mudah rasa takut anak
Anda rasa anak anda takut yang tidak berasas. Tetapi jika anda paksa juga anak anda untuk jumpa orang baru dan abaikan saja rasa takut anak anda, anak anda mungkin akan mengalami trauma.
Lagilah susah anak nak ubati rasa takutnya!
#3 Tenangkan anak anda
Jika anak anda menjerit-jerit dan menangis bila berjumpa orang baru, usap belakang anak dan peluklah anak anda. Tenangkan anak anda dan jangan pula anda marah-marah.
#4 Bantu anak anda hilangkan ketakutan
Anda juga boleh bantu anak anda dengan cara apabila anak anda sudah mula selesa sikit, anda boleh minta anak anda berikan flying kiss ke kepada orang baru.
Pegang tangan anak anda untuk beri kekuatan kepada anak anda.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Bila Bayi Anda Takut Dengan Bunyi Kuat, Adakah Normal?