Sebagai ibu bapa, pasti kita tak akan terfikir yang kita akan tertinggal anak atau terlupa anak yang kita bawa bersama untuk keluar makan.
Tapi, pada Ahad lepas, netizen kecoh apabila cerita tentang anak tertinggal di kedai makan ini tular di media sosial.
Anak tertinggal di restoran ikan bakar
Pada 26 Ogos yang lepas, seorang pemilik akaun Twitter telah memuat naik gambar seorang budak yang tertidur di atas meja makan dengan kapsyen
“Gempar!!!! Dah kenyang makan ikan bakar, keluarga terlupa anak yang tertinggal ketiduran atas meja!!!!!”.
Posting milik pengguna Twitter ini telah mendapat perhatian netizen di media sosial yang hairan bagaimana ibu bapa budak ini boleh tertinggal anak sebesar ini di atas meja.
Ceritanya, seorang pemilik kedai mainan yang berhampiran dengan restoran ikan bakar di Alai, Melaka ini telah menemi budak ini dan menyerahkannya kepada pemilik restoran ikan bakar untuk mencari ibu bapanya pada pukul 9.30 malam.
Menurut Berita Harian, pemilik restoran ikan bakar Irsyad Hadi Zainal ini mendengar budak berusia tiga tahun ini mengeluh “Ayah, ibu dah balik.”
Irsyad yang simpati dengan budak yang hampir menangis ini telah mendukungnya dan pergi dari satu meja ke meja yang lain untuk mencari ibu bapanya.
Katanya pada NSTP,
“Disebabkan pelanggan yang ramai, saya tidak tahu kanak-kanak ini datang daripada pelanggan yang mana, sehinggalah akhirnya dia tertidur akibat keletihan.”
Anak tertinggal di restoran: Bapa telefon selepas dua jam
Irsyad yang hampir membuat laporan polis kerana tak ada siapa yang datang menuntut anak ini, tiba-tiba mendapat panggilan dari seorang lelaki yang mendakwa bapanya dua jam kemudian.
Bapa kepada kanak-kanak ini telah datang mengambil anaknya pada jam 12 malam.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Irsyad telah mengambil nombor kad pengenalan lelaki yang mendakwa bapa kepada kanak-kanak ini.
Irsyad menambah, “Sejak 18 tahun berniaga, inilah kali pertama saya berdepan keadaan seperti ini. Tidak sangka ia menjadi perhatian selepas ada pelanggan yang menjadikan ia viral di laman sosial.”
Sebelum kejadian ini berlaku, ibu bapa kanak-kanak yang dipercayai berasal dari Kuala Lumpur ini telah makan di restoran tersebut bersama 30 ahli keluarganya yang lain.
Anak tertinggal di restoran: Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Perkara sebenar yang menyebabkan ibu bapa ini tertinggal anak mereka di restoran ikan bakar masih belum diketahui setakat ini.
Tapi apa yang boleh diramalkan, kejadian ini terjadi mungkin kerana ibu bapa kanak-kanak ini menyangka anaknya naik kereta ahli keluarga yang lain.
Sudah menjadi kebiasaan jika berkumpul bersama saudara-mara, kanak-kanak suka naik kereta lain untuk bersama dengan saudara mereka.
Jadi, apabila tiba ke destinasi, baru ibu bapa perasan yang anak mereka tak ada bersama ahli keluarga yang lain.
Kejadian seperti ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, kadang-kadang kita terlalu sibuk buat perkara lain hingga kita terlupa untuk periksa jika anak kita selamat atau tidak.
Tapi, kejadian ini boleh dielakkan dengan mengambil langkah berjaga-jaga ini:
- Sentiasa perhatikan anak di tempat awam
- Pastikan anak sentiasa dekat dengan anda
- Pegang tangan anak semasa berjalan di tempat yang sesak
- Jangan biarkan anak merayau sendirian di tempat asing
- Jika berjalan dengan ahli keluarga yang ramai, kira bilangan ahli keluarga sebelum bergerak ke mana-mana
- Ajar anak nombor telefon anda atau sentiasa tinggalkan nombor telefon dan alamat dalam pakaian anak
- Biasakan diri anda memeriksa tempat duduk belakang kenderaan setiap kali keluar kereta untuk elak anak tertinggal dalam kereta
Semoga dengan langkah berjaga-jaga ini, kita dapat mengelakkan kejadian seperti ini berlaku pada diri kita.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber rujukan: Berita Harian
Sumber gambar: Twitter: @rizarul
Baca juga:
https://my.theasianparent.comanak-meninggal-dalam-kereta