Perasan tak? Bila anak-anak demam, ada ibu bapa yang terus terfikir nak berikan antibiotik untuk anak. Sedangkan menurut doktor tak semua penyakit perlu dirawat menggunakan antibiotik.
Antibiotik untuk anak bukan boleh suka-suka ambil
Menurut perkongsian Dr Ezairy M Sallih, tindakan ibu bapa yang menganggap antibiotik penyembuh segera penyakit anak mereka perlu diubah.
Berikut adalah perkongsian doktor berkenaan di laman Facebooknya:
Apabila anak-anak kita demam. Ada ibu bapa yang terus bawa jumpa periksa doktor.
Beritahu doktor, “doktor, anak saya ni demamlah siang tadi, nampak tak sihat. Saya ingat nak ambil ubat antibiotik untuk dia. Selalu lepas bagi antibiotik baru dia okay..”
Kita perlu sedar bahawa tak semua demam yang anak kita alami ni perlu ubat antibiotik.
Antibiotik hanya diberi selepas pemeriksaan doktor mendapati ada tanda jangkitan kuman disebabkan bakteria.
Sakit tekak, selsema atau batuk yang disebabkan virus tak perlu ambil antibiotik.
Bahkan hanya akan melemahkan daya tahan anak kita. Kita rawat simptomnya sahaja. Perlahan-lahan akan sembuh. Tak percaya? Cuba buat di rumah ya.
Hanya lemahkan daya tahan jika guna pada yang tak perlu
Menurut doktor berkenaan, tak semua demam perlu menggunakan antibiotik. Antibiotik hanya diberikan selepas pemeriksaan dojtor mendapati ada tanda jangkitan kuman disebabkan bakteria.
Malah, sakit tekak, selesama atau batuk yang disebabkan virus tidak perlu kepada antibiotik.
Katanya, ia hanya akan melemahkan daya tahan anak kita.
Apa itu antibiotik?
Antibiotik adalah ubat yang terhasil dari mikroorganisma seperti kulapok dan bakteria yang dapat membunuh ataupun membantutkan pembiakan mikroorganisma yang lain semasa rawatan sesuatu jangkitan penyakit.
Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.
Ia tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru.
Penggunaan antibiotik secara tidak tepat atau berlebihan akan menyebabkan kerintangan antibiotik.
Bakteria adalah organisme yang terdiri daripada satu sel sahaja, tetapi ia mampu menggandakan dirinya dengan banyak. Bentuk bakteria adalah berbeza-beza. dan ia boleh wujud di mana-mana sahaja, sama ada di dalam atau luar tubuh kita.
Kebanyakan bakteria adalah tidak berbahaya dan sebahagian daripadanya sangat berguna untuk tubuh kita. Namun begitu, ada sesetengah bakteria boleh menyebabkan penyakit, sama ada kerana mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya dalam tubuh kita atau bakteria itu sememangnya merbahaya dan boleh mendatangkan penyakit.
Jangkitan yang biasa terjadi pada kanak-kanak
- Jangkitan telinga – mungkin memerlukan atau tidak memerlukan antibiotik
- Jangkitan sinus – antibiotik hanya diperlukan pada kes yang teruk dan berpanjangan
- Jangkitan dada – mungkin memerlukan atau tidak memerlukan antibiotik
- Jangkitan tekak – jarang memerlukan antibiotik kerana jangkitan ini kerapkali disebabkan oleh virus
- Selsema – antibiotik tidak diperlukan
Reaksi yang mungkin terjadi jika anak tidak sesuai dengan antibiotik
- Reaksi alahan; ruam, kegatalan, bengkak-bengkak dan lain-lain (bawalah anak anda berjumpa doktor dengan segera)
- Ketidakselesaan perut
- Cirit-birit
Habiskan antibiotik elak jangkitan semula
Habiskan semua antibiotik dalam tempoh yang ditetapkan walaupun anda berasa telah sihat. Tidak menghabiskan antibiotik yang seperti yang diarahkan oleh doktor akan menyumbang kepada kerintangan antibiotik.
Sekiranya anda tidak melengkapkan rawatan seperti yang disyorkan, kecenderungan berlakunya kerintangan antibiotik adalah tinggi disamping risiko berlakunya jangkitan semula.
Jangan simpan antibiotik yang tidak habis digunakan untuk tujuan merawat penyakit yang sama pada masa akan datang. Sekiranya masih terdapat lagi baki antibiotik, pastikan ianya dibuang.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: myhealth
Baca juga:
https://my.theasianparent.comsup-antibiotik