Ibu bapa zaman sekarang sememangnya sudah tahu akan cara-cara mendidik anak di zaman moden. Ia tidak seperti zaman dahulu. Merotan dan memarahi anak secara menjerit sudah terbukti tidak berkesan. Malah mengikut banyak kajian psikologi, gaya keibubapaan yang kasar sebegini lebih banyak memberikan mudarat. Tetapi, ibu bapa juga manusia biasa. Kadangkala boleh terlepas pandang dan hilang kesabaran. Kita menjerit, memarahi anak, dan melukai hatinya. Apa nak buat selepas kita termarah anak kita dengan kasar?
Kesan Kepada Si Kecil Apabila Ibu Atau Ayah Memarahinya dengan Kasar
Sebelum kita ketahui cara-cara untuk berbaik dengan anak kita selepas kita terhilang sabar dan menjerit padanya, jom kita tengok apakah kesan yang terjadi pada si kecil kita apabila kita memarahinya secara kasar.
Menurut Dr. Larkha Markham, seorang pakar psikologi dari Universiti Columbia, apabila seseorang ibu atau ayah memarahi anak kecilnya, ia akan membantut proses pembelajaran si kecil.
“Apabila anak kecil memasuki mode dimarahi, melawan, ingin melarikan diri, atau terkejut, kebolehannya untuk belajar atau menerima maklumat baru akan terhenti.”
Akibatnya, dia tidak dapat mengetahui apa kesilapan yang baru dibuat sehingga ibu atau ayahnya memarahi dia sebegitu kasar sekali.
Jadi, kata-kata marah berserta “pengajaran” yang anda baru luahkan sebentar tadi sebenarnya tidak meresap pun dalam minda mereka. Ia adalah proses keibubapaan yang gagal.
“Kanak-kanak akan berputus asa apabila selalu dimarahi/dijerit. Mereka akan mencari jalan untuk mengeraskan hati kerana hubungan kepercayaan dengan ibu ayah telah musnah. Apabila itu terjadi, anak itu tidak akan lagi berusaha untuk memenangi hati ibu bapanya.”
Melihat kepada penerangan di atas, kita boleh merumuskan bahawa sememangnya, anak kecil yang dilayan dengan kasar oleh ibu bapa akan lebih cenderung untuk menjadi semakin teruk perangainya.
Apabila dia selalu dijerit dan diserang secara peribadi akibat kesilapan kecil dan ditambah dengan kepenatan ibu bapa (yang mengeruhkan lagi keadaan), dia akan membesar menjadi remaja yang kurang keyakinan diri dan suka melawan.
Cara-Cara Memperbetulkan Kesilapan Kita Sebagai Ibu Bapa Selepas Terjerit Pada Anak
Setelah kita mengetahui tentang kesan psikologi kepada si kecil kita apabila kita memarahi mereka secara kasar atau menjerit ke arah mereka, mari kita tengok pula cara-cara untuk berbaik semula dengan anak kita selepas kita terjerit dengan terkasar kepadanya.
Katakanlah, pada satu hari yang sukar, anda baru pulang dari kerja dan anak kecil anda buat perangai, anda tidak mampu lagi menahan rasa marah, tertekan, dan runsing.
Anda pun menghempas pintu, mengatakan kata-kata yang melukai hati anak, dan meninggikan suara.
Si kecil itu menangis dan anda pula mula berasa buntu dan semakin tertekan. Jika ini terjadi, perkara yang perlu anda lakukan adalah:
1. Berhenti dan Bernafas
Anda mungkin terfikir, cara apakah ini? Sebenarnya, langkah ini mudah untuk disebut tetapi percayalah, sukar untuk dibuat, terutamanya dalam keadaan diri kita yang sedang keletihan, marah dan tertekan.
Jadi, apabila anda perasan yang darah anda mula menyirap dan hampir hilang kawalan diri, berhenti seketika apa yang anda sedang lakukan dan tarik nafas dalam-dalam beberapa kali.
Percayalah, fikiran anda pasti akan lebih tenang dan anda mula perasan yang jantung anda tidak lagi berdegup kencang.
2. Minta Maaf
Kita sebagai ibu bapa sering mendidik anak kita supaya meminta maaf apabila melakukan kesilapan. Ini adalah masa yang sesuai untuk mengajar melalui tauladan.
Selepas anda bertenang, minta maaf kepadanya. Ia lebih berkesan jika anda menghampiri anak anda, menyentuhnya, dan turun ke aras mata si kecil anda. Ia memberikan rasa percaya dan dekat pada anak itu.
Minta maaf yang anda menjerit padanya, minta maaf yang anda telah menakutkannya dan minta maaf kerana anda gagal mengatasi keadaan secara matang.
Ia secara tidak langsung mendidik anak anda yang ibu bapa juga tidak lari dari membuat kesilapan dan apa yang penting adalah kita mengambil tanggungjawab atas kesalahan kita sendiri.
3. Beri Penjelasan
Ingat tak tadi kita telah baca yang apabila anak kecil sedang dimarahi, keupayaan otaknya untuk menerima maklumat telah terhenti? Jadi, kali ini, semasa anda sedang berbaik dengannya, cuba sekali lagi untuk memberitahu apa kesilapan yang dia telah buat.
Ketika anda tenang, barulah si kecil itu lebih mudah untuk menerima pengajaran dari anda.
Lagi satu tip penting ketika sedang memberi penjelasan kepada anak tentang kesilapan mereka adalah: pastikan anda tidak menggunakan kata-kata yang berbunyi seolah-olah menyalahkan peribadi anak.
Seorang pelatih keibubapaan profesional dari New York, Adele Faber, menerangkan:
“Ibu bapa yang belajar untuk memulakan ayat dengan “saya” atau “ibu” berbanding “kamu” boleh mengubah cara perbualan daripada yang berbentuk menyerang kepada berbentuk mendidik.”
Jadikan ia habit untuk menerangkan apa yang anda tidak suka dan tambahkan apa yang anda suka atau harapkan dari anak anda.
Dalam erti kata lain, elakkan dari menyebut:
“Aina pukul ibu tadi. Aina tak sayang ibu ke? Tuhan marah tau. Kalau Aina buat lagi, siaplah!”
Katakan seperti:
“Ibu marah tadi sebab Aina pukul ibu. Tak baik pukul ibu sendiri. Tuhan marah. Ibu sedih bila Aina sakitkan ibu. Ibu tak mahu Aina buat lagi”
Ia akan Terjadi Lagi – Latihan Serta Ilmu Keibubapaan Akan Membuatkan Kita lebih Mahir Mengawal Marah
Semua orang akan melakukan kesilapan. Sebagai ibu bapa, antara kesilapan yang sukar untuk kita elakkan adalah hilang kawalan marah dan berkata kasar kepada anak-anak.
Apa yang penting adalah kita terus mengakui kesilapan dan segera mencari jalan untuk berbaik dengan anak-anak supaya dapat terus mendidik mereka secara berkesan!