Anak Rasa Kesunyian Dan Berkata, "Tiada siapa yang menyukai saya!"

Bagaimana ibu bapa boleh membantu anak-anak yang merasakan mereka tidak mempunyai rakan-rakan.

Apa yang perlu anda lakukan apabila anak rasa kesunyian dan pulang ke rumah dari sekolah berkata, "Tiada siapa yang sukakan saya!” 

Kata-kata ini adalah perkara biasa bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun, yang cenderung untuk menjadi sangat kritikal terhadap diri sendiri (cth, Wood, 1997).

Anak rasa kesunyian

Pada semua peringkat umur, anak rasa kesunyian adalah perkara yang kadang-kadang berlaku.

Naluri pertama anda mungkin untuk meyakinkan: "Sudah tentu kawan kamu suka kamu! Bagaimana pula dengan Jeffrey? Diakan suka kamu! Bagaimana pula dengan Sarah? Dia juga suka kamu!"

Malangnya, anak anda mungkin akan bertindak balas dengan berhujah bahawa dia tiada kawan!

Atau mungkin reaksi pertama anda adalah kekecewaan.

"Mungkin kalau kamu kurang bossy..."

Anda telah memberi amaran kepada anak anda seribu kali bahawa tingkah lakunya akan menjauhkan kawan-kawannya.

Mengapa anak anda tidak mahu dengar nasihat anda?

Malangnya, apabila anak anda rasa kecewa, kritikan anda mungkin akan menitiskan air matanya atau dia rasa marah.

Atau mungkin anda hanya berasa tidak berdaya.

Ia menyedihkan hati kita sebagai ibu untuk melihat perasaan anak anda dinafikan oleh rakan-rakannya.

Tetapi anda tahu anda tidak boleh membuat kawan-kawannya untuk suka anak anda!

Mujurlah, ada perkara yang anda boleh lakukan, sebagai ibu bapa, untuk membantu anak anda yang rasa tiada kawan.

Cuba berasa empati

Kita orang dewasa cenderung mahu menyelesaikan masalah, tetapi kadang-kadang dengan hanya mendengar luahan hati anak-anak kita dan mengakui perasaan mereka sudah cukup bermakna buat si kecil itu.

Cuba berasa simpati dan berkata, "Nampaknya, kamu rasa tak best di sekolah hari ini." atau "Aina mesti kecewa tentang hal ini."

Ini dapat menunjukkan kepada anak anda yang anda benar-benar memahami dirinya.

Anda juga mungkin mahu bertanya, "Aina nak ibu peluk?"

Apabila kanak-kanak berasa seperti tidak diendahkan oleh rakan-rakannya, pelukan mesra dari ibu atau ayah pasti boleh membuatkannya berasa selesa dan rasa disayangi!

Cuba untuk tidak bertindak balas secara keterlaluan.

Adalah sukar untuk melihat anak-anak kita kecewa, tetapi perlu diingatkan bahawa perasaan kanak-kanak boleh berubah dengan cepat.

Anak anda mendakwa yang dia membenci rakannya hari ini, tetapi dia boleh menjadi rakan yang baik kepada kawannya itu pada minggu depan!

Dan, perbezaan pendapat antaranya dan rakan baik di sekolah, yang telah membuatkan anak anda menangis sebelum tidur malam, ini juga boleh lenyap sama sekali pada esok hari.

Kanak-kanak, mengikut definisinya, ialah seseorang yang kurang perspektif.

Mereka tidak hidup cukup lama untuk dapat memahami peristiwa dalam konteks yang lebih luas!

Ya, anda tidak harus memperkecilkan rasa susah hati anak anda, tetapi jika berlaku satu peristiwa yang pada mulanya dia rasakan seperti dunia hendak kiamat, pasti akan berakhir dengan cepatnya untuk anak anda!

Jika rakan sekelas berkelakuan buruk dengan anak anda, anda mungkin akan terdorong untuk campur tangan dengan menghubungi ibu bapa lain atau bercakap secara langsung kepada kanak-kanak itu.

Jangan buat begitu!

Jangan sambung konflik berkenaan kepada ibu bapanya pula.

Melainkan jika anak anda berada dalam bahaya, atau ia adalah satu kes buli yang sangat serius, adalah lebih baik untuk anda memberi si kecil anda peluang untuk menyelesaikan pergaduhannya sendiri.

Malah, jika anda kelihatan kecewa tentang masalah persahabatan anak anda, ia hanya akan membuatkan masalah mereka lebih besar lagi.

Reaksi emosi kuat daripada anda boleh membuatkan anak anda enggan untuk memberitahu anda tentang masalahnya di masa depan.

Dapatkan maklumat lanjut

Jika masalah persahabatan itu berulang atau berterusan, anda mungkin perlu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai apa yang berlaku.

Cerita anak anda mungkin tidak lengkap!

Adalah sukar untuk kanak-kanak untuk melihat peranan mereka sendiri dalam masalah sosial.

Sebagai contoh, anak anda mungkin mengatakan yang rakan sekelasnya menendang kerusinya,

Tapi sebenarnya, dia terlupa untuk beritahu yang rakan sekelasnya itu telah pun memintanya dengan sopan supaya bergerak ke depan sedikit!

Bercakap dengan guru anak anda juga dapat membantu.

Guru itu pasti telah melihat cara anak anda berkawan dengan rakan-rakan setiap hari di sekolah.

Jadi, guru itu boleh memberikan pendapat tentang bagaimana perangai anak anda ketika berkawan dan bagaimana rakannya bertindak balas kepada anak anda.

Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut dengan memerhatikan sendiri cara anak anda berinteraksi dengan rakan-rakan.

Anda boleh mengawasinya ketika bermain di taman permainan atau mengatur sesi play date dengan teman bermainnya.

Anda juga boleh menjadi sukarelawan di dalam kelas anak anda supaya anda boleh melihat sendiri bagaimana kelakuan anak anda ketika bersama-sama dengan kanak-kanak lain.

Melatih anak anda

Sebaik sahaja anda memahami apa yang berlaku, anda boleh membimbing anak anda untuk memulakan persahabatan yang lebih baik dengan rakan-rakan.

Panduan ini berfungsi lebih baik jika ia dipraktikkan sebelum anak anda mula bersosial, dan bukannya selepas anak anda telah berkelakuan tidak baik dengan rakannya.

Sebagai contoh, anda mungkin dapat membantu anak anda bermain dengan mesra atau memberi respons dengan tenang apabila diusik.

Anda boleh membantu anak anda mengenal tanda-tanda bahawa orang lain berasa marah atau memikirkan cara yang lebih baik untuk menangani situasi yang sukar dan mengecewakan.

Anda juga mungkin perlu mengajar anak anda tentang lumrah persahabatan.

Tidak semua orang akan suka anak anda. Itulah sifat manusia!

Pada masa yang sama, cuba ingatkannya untuk terus berbuat baik kepada semua rakannya.

Mewujudkan peluang untuk persahabatan berkembang.

Walaupun anda tidak boleh membuat kawan untuk anak anda, anda boleh membantu mengajarnya cara berkawan.

Libatkan anak anda dalam beberapa aktiviti selepas sekolah yang menyeronokkan yang dapat membantunya untuk bergaul dengan rakan yang mempunyai minat sama.

Mengatur aktiviti bermain bersama rakan boleh menjadi cara untuk mengeratkan persahabatan.

Menjemput keluarga lain ke rumah anda untuk makan malam atau bermain permainan bersama juga boleh membuka pintu kepada persahabatan untuk anak anda.

Dapatkan bantuan profesional, jika diperlukan.

Kadang-kadang masalah persahabatan memerlukan bantuan profesional.

Jika anak anda diganggu atau terancam di sekolah, anda perlu mendapatkan bantuan daripada guru dan ibu-ibu lain untuk menjaga anak anda dengan selamat ketika di sekolah.

Jika masalah sosial anak anda berterusan selama beberapa minggu atau sehingga berbulan-bulan, anda mungkin mahu berunding dengan profesional kesihatan mental.

Dapatkan juga bantuan daripada ahli pakar kemahiran sosial, di mana anak anda boleh terus berkenalan dan berkawan dengan kanak-kanak lain dalam persekitaran yang mesra dan selamat!

Rencana diterjemah daripada Psychology Today.

Penulis

Michelle Goh