Orang dewasa, apabila terasa tertekan dan keletihan, pasti ada yang terdetik di hati ingin ke spa. Mengapa? Kerana ia memberi satu ketenangan dan membuka ruang untuk berehat.
Namun, pernahkah anda terfikir yang mungkin bayi juga memerlukannya? Kalau anda perasan, ia telah menjadi trend masa kini di mana ibu-ibu membawa anak mereka yang masih bayi ke baby spa.
Mengapa agaknya ramai yang memilih untuk memanjakan bayi mereka yang masih kecil di spa? Sebenarnya, selain daripada memberikan ruang rehat untuk si ibu (duduk di tepi sambil melihat anak menendang-nendang dalam air), ia juga bagus untuk tumbesaran si bayi.
Pendedahan Awal Si Kecil Kepada Air
Ketika dalam rahim, bayi memang tinggal di dalam balutan cecair. Ia bergerak dan ‘berenang’ di dalamnya. Jadi mereka sudah biasa dengan persekitaran sebegini.
Sebenarnya, merendam bayi di dalam air, atau dipanggil terapi hidro, memberi banyak kebaikan kepada kesihatan fizikal dan minda si kecil. Ini adalah kerana, ketika direndam dan berenang, bayi anda melakukan ‘senaman’ fizikal yang menyeluruh.
Menurut Laura Sevenus, pemilik Baby Spa, air dapat menenangkan si manja anda. Apabila diletakkan di dalam air kolam spa yang suam, dipakaikan pelampung di tengkuknya dan dimainkan lagu yang menenangkan di latar belakang, anda memang boleh melihat kegembiraan di wajah si manja.
“Ia adalah kesan Euphoria,” kata Laura.
Kebaikan Kesihatan Kepada Bayi Selepas Aktiviti di Baby Spa
- Mulalah dia bergerak-gerak dan menempiaskan air dengan kocakan kakinya. Pergerakan sebeginilah yang menguatkan otot si kecil
- Mengurangkan masalah demam kuning kerana memberi kesan positif kepada sistem penghadaman dan pengaliran darah sehingga merendahkan tahap meconium dalam badan
- Selain itu, ia juga mengasah kemahiran keseimbangan dan koordinasi otot bayi
- Memperbaiki masalah tidur bayi (setelah kepenatan bermain dalam air)
- Apabila dadanya terendam dalam air, ia menguatkan jantung, paru-paru dan sistem pernafasan secara keseluruhan
- Bagus untuk sistem kardiovaskular jika dilakukan secara berterusan
- Peningkatan dalam sistem pernafasan pula membawa kepada kemahiran komunikasi dan peningkatan bahasa
- Menyokong perkembangan otak apabila ia meransang 5 deria rasa (bau, sentuhan, rasa, pandangan dan bunyi)
- Membakar sehingga 300 kalori apabila bayi melengkapkan setiap sesi di baby spa
Seperti yang anda lihat, aktiviti di spa bukanlah hanya kerana ingin berseronok sahaja. Ia memberi banyak ransangan pada pelbagai aspek bayi tersebut.
Faedah Lain Aktiviti Spa Pada Bayi
Tambahan pula, pendedahan awal pada air yang berlaku di spa sebegini akan memberi keyakinan kepada anak anda – terutamanya keyakinan air.
Satu kajian dari Universiti Sains & Teknologi Norwegian yang dilakukan pada 2009 menunjukkan yang bayi yang didedahkan kepada air dan aktiviti berenang mempunyai daya keseimbangan yang lebih baik.
Malah, mereka dapat belajar memegang objek lebih cepat dan mudah berbanding mereka yang tidak didedahkan dengan aktiviti air.
Pilihan-Pilihan Baby Spa di Malaysia
Jika anda sudah yakin yang baby spa sebenarnya bagus untuk menggalakan tumbesaran bayi, di sini kami ada sediakan beberapa senarai tempat baby spa di Malaysia.
- Little Spa Kingdom – Solaris Dutamas, Bermula dari RM59.90
- Hippopo Baby Spa – Setia City Mall, Bermula dari RM63.80
- Bubbly Baby Spa – Tanjung Tokong, Bermula dari RM49
- Baby Spa JB – Sutera Mall Skudai, Bermula dari RM56
- Baby E Spa – Wangsa Walk Mall, Bermula dari rm48
- Little Penyu Baby Spa – Kota Kinabalu, Bermula dari RM38
Adakah terdapat baby spa berhampiran tempat anda tinggal? Jika ia tiada dalam senarai kami, kongsikannya di ruangan komen di bawah.
Jadi, tunggu apa lagi? Jom bawa si manja anda ke spa hari ini. Ia bukan sahaja menyeronokkan dan menenangkan, malah membawa banyak manfaat kepada tumbesaran si kecil!