SEREMBAN: Sesi inkues kes kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri adalah disebabkan kecuaian pengasuh.
Koroner, Datin Surita Budin dalam keputusannya berkata, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh yang juga saksi inkues berkenaan.
“Saya buat dapatan dan keputusan bahawa kematian Asyifaa disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian sisi hujung kain buaian.
“Berdasarkan keterangan saksi secara keseluruhan mahkamah memutuskan kematian si mati adalah bukan disebabkan kemalangan atau kecelakaan tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung dalam buaian.
Pengasuh Tinggalkan Baby Syifaa Tanpa Pengawasan
“Akibat tindakan dan tinggalan pengasuh pusat jagaan, Khairulnisa Ahmad Damunhuri yang meninggalkannya dalam buaian tanpa pengawasan berpatutan dan sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah dan akhirnya menyebabkan kematian si mati dan terjumlah dalam satu perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam pendengaran keputusan inkues di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini.
Dalam dapatannya, Koroner turut memaklumkan, seramai 28 saksi telah dipanggil mahkamah bagi memberikan keterangan.
Inkues berkenaan berjalan selama 12 hari sejak difailkan pada 8 April 2022 dan bermula pada 22 September 2022.
Siapa Baby Syifa?
Menurut laporan Utusan Malaysia, seorang bayi perempuan bernama Nour Rania Asyifaa Yuseri yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Difahamkan, bayi tersebut meninggal dunia akibat kepala dan lehernya terjerut pada kain buaian yang dikatakan sebelum ini tidak pernah tidur di situ.
Namun, bapa kepada bayi itu, Yuseri Yusoff mengatakan kematian tersebut adalah pelik dan aneh setelah mendapat hasil siasatan daripada pihak polis.
Jelasnya, rasa keraguan mulai timbul apabila pengasuhnya mengatakan jenis buaian anaknya itu adalah buai kain yang seperti jaring semasa disoal siasat oleh pihak polis.
“Tak percaya, cuba ambil kain jerut leher sendiri. Tak perlu lama, cukuplah 2 minit saja. Kain takkan tinggalkan lebam lurus satu garisan” ujarnya.
Kesan Jerutan Tali Yang Kemas
Melihat kepada perkongsian gambar yang dimuat naik beserta kapsyen oleh bapa kepada bayi itu, jelas kelihatan ianya bukan bekas terjerut buaian seperti yang didakwa oleh pengasuhnya.
Yuseri turut memaklumkan, dia sekeluarga telah merujuk gambar anaknya itu kepada beberapa pakar forensik di luar negara.
“Pakar forensik berpandangan kesan jerutan di leher Baby Syifaa bukannya akibat jerutan kain tetapi kesan yang berpunca jerutan tali, wayar atau kabel.” kata Yuseri.
Berdasarkan luahan yang dikongsikan di laman Facebook itu, Yuseri berpendirian bahawa dia tidak akan berdiam diri kerana ia melibatkan nyawa anak bongsunya.
Dia sekeluarga berharap agar kes siasatan kematian Syifa mendapat keadilan dan mestilah diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Buletin TV3, Utusan