Isteri mengandung cahaya mata selama 9 bulan tanpa sebarang keluhan. Malah, dia juga bertarung nyawa melahirkan zuriat itu. Semasa berpantang juga, dia ada potensi untuk bentan atau tumpah darah jika tidak dijaga betul-betul. Jadi anda sebagai suami, haruslah memainkan peranan suami membantu isteri terutamanya di perihal rumah.
Bukanlah besar manapun tugasan yang diminta oleh isteri. Anda juga harus memainkan peranan sebagai pasangan dalam rumah tangga. Ingat, isteri bukan orang gaji! Takkan selepas isteri bersalin pun, anda masih lagi mengharapkan dia melayan anda bagai raja sedangkan sakitnya masih belum hilang.
Lagi-lagi jika isteri anda menyusukan badan. Bukan senang sebenarnya untuk menyusu anak. Tidak seperti yang diwar-warkan di kaca televisyen, menyusu memerlukan praktis. Jika tidak menjadi, punah hati isteri. Jadi anda sebagai suami, perlu lakukan sesuatu untuk si dia!
Mengapa menyusu badan penting untuk bayi?
Seperti yang kita semua tahu, susu ibu adalah makanan yg terbaik yang dapat kita berikan kepada bayi kita. Sebaiknya susu ibu diberikan sehingga bayi berumur sekurangnya 2 tahun. Dengan memberikan susu badan kepada anak anda, ini dapat membantunya daripada dijangkiti penyakit seperti gastroenteritis, eczema, pneumonia, jangkitan salur kencing dan lain-lain.
Ibu yang pernah atau sedang menyusukan bayi mereka pasti dapat memahami pelbagai dugaan dan cabaran yang mereka perlu lalui selama tempoh mereka menyusukan anak mereka.
Untuk mendapatkan stok susu yang mencukupi, ibu perlu bersengkang mata (siang dan malam) dan kerap menyusukan bayi mereka atau jika telah kembali bekerja ibu perlu mengepam susu pulak di tempat kerja.
Ini perlu dilakukan tiap-tiap 2-3 jam supaya badan ibu dapat menghasilkan lebih banyak susu. Selain daripada itu, ibu juga perlu melakukan kerja-kerja rumah dan juga menjaga suami. Inilah pengorbanan seorang ibu untuk anak dan suami.
Cara suami membantu isteri ketika isteri menyusukan anak
Di sini kami ingin kongsikan bersama anda bagaimana para suami dapat membantu isteri yang sedang menyusu badan.
1# Membaca and menyokong isteri
Suami juga boleh membaca informasi tentang penyusuan badan dan teknik-teknik yang sesuai bagi memberi galakkan dan sokongan kepada si ibu. Dengan cara ini, ibu tidak akan rasa keseorangan dan suami dapat membimbing dan membantu apabila ibu memerlukan bantuan.
2# Melakukan kerja rumah
Rutin menyusukan badan adalah sangat memenatkan dan para suami haruslah memahami. Jadi, ringankanlah beban isteri anda ketika berada di rumah dan bantunya dengan melakukan kerja rumah.
Anda boleh manyapu sampah, mop lantai rumah dan juga membersihkan bilik air. Sememangnya isteri anda akan menghargai apa yang anda lakukan terutamanya bagi ibu-ibu yang bekerja.
3# Memasak
Kebiasaanya memasak adalah tugas si ibu, tetapi siapa kata lelaki juga tidak boleh memasak. Ringankan lah tulang dengan membantu isteri anda di dapur.
Anda boleh tolong dengan membantu isteri menyediakan barang-barang untuk memasak seperti memotong bawang atau pun anda boleh tolong mencuci pinggan mangkuk dan periuk yang digunakan selepas selesai memasak.
4# Menjaga anak ketika isteri mengepam
Ketika si ibu tengah mengepam susu, para suami bolehlah mengambil peluang ini untuk melayan bayi anda. Berikan si ibu sedikit masa bersendirian ketika mengepam susu.
Si ibu amat menghargai apa yang anda lakukan itu terutamanya jika anda sudah mempunyai anak-anak yang lain. Inilah masanye untuk si ayah untuk melayan karenah anak-anak dan dapat merapatkan hubungan antara ayah dan anak.
5# Membersihkan pam
Suami juga boleh membantu ibu dengan membersihkan pam dan juga botol susu setelah ibu selesai mengepam. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit beban si ibu. Selain daripada itu, suami juga boleh menolong dengan menyimpan stok susu dalam bekas yang sepatutnya, labelkan dan letakkannya di dalam peti sejuk.
Ada bermacam lagi cara untuk suami membantu meringankan beban isteri yang sedang menyusu badan. Yang penting ialah suami patut memahami pengorbanan dan kegigihan isteri anda demi memberikan yang terbaik untuk anak anda.
Jika anda suami yang banyak membantu isteri ketika dia melalui semua ini, terima kasih kerana melaksanakan tugas anda. Tapi jika anda masih belum, cubalah sekali sekala. Jangan biarkan isteri merana keseorangan.
Semoga berjaya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 11 Cara Merangsang Suami Menurut Islam, Isteri Wajib Cuba Malam Ini Juga!