Kebiasaanya, pengurusan dan pengambilan ubat yang terkawal akan diuruskan oleh bahagian perkhidmatan farmasi tentang bagaimana cara pengambilan dan juga nasihat mengenai dos yang boleh diambil dalam masa sehari.
Namun, akibat mengambil jalan mudah Khairul Anuar dan isterinya terpaksa berdepan dengan detik hitam pada dua tahun yang lalu kerana mereka mengabaikan aspek penyimpanan ubat dengan betul.
Sudah menjadi kebiasaan kepada kita sering meletakkan ubat-ubatan di dalam beg tangan kerana berpendapat ia memudahkan kita untuk mengambilnya apabila tiba waktu makan ubat.
Namun, sedar mahupun tidak tabiat ini sekaligus boleh memakan diri sendiri kerana kecuaian ini boleh meragut nyawa anak.
Mengingat kembali kejadian hitam tersebut, Khairul Anuar dan isterinya tengah hamil 5 bulan pulang ke rumah selepas waktu kerja dan mereka berehat seketika di ruang tamu.
Alangkah terkejutnya ketika dia hendak ke tandas, dia mendapati anaknya mengunyah sesuatu dan merasakan dia telah memakan beberapa biji vitamin kepunyaan ibunya kerana di sekitar mulut kelihatan sisa-sisa serbuk berwarna putih.
“Saya tidak sedar bila masa anak membuka beg tangan emaknya yang diletakkan di atas meja. Memang dalam beg tersebut ada vitamin untuk ibu mengandung,” kongsinya.
”Simpan di tempat yang jauh dari kanak-kanak”- Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Tabiat meletakkan ubat di dalam beg tangan sememangnya memudahkan kerja, namun ia memberi risiko yang memudaratkan sekiranya anak kecil mengambilnya kerana beranggap ubat tersebut seperti gula-gula.
Dalam keadaan panik setelah menyedari anak telah memakan vitamin ibu mengandung, pasangan tersebut segera merujuk klinik berdekatan biarpun anaknya tidak menunjukkan sebarang masalah seperti pening kepala ataupun muntah.
“Syukur tidak terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini. Dalam diam rupanya anak sering memerhatikan beg ibunya dan menyangka ibunya mengambil gula-gula,’’ luah Anuar.
Mengambil pengajaran apa yang berlaku kepada pasangan berkenaan, anda seharusnya tidak memandang enteng akan aspek penyimpanan ubat di tempat yang lebih tinggi dan jauh dari kanak-kanak.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ramli Zainal berkata tindakan Khairul dan isterinya yang segera membawa anak mereka ke klinik berdekatan adalah tepat dan wajar, biarpun anaknya tidak menunjukkan sebarang komplikasi.
Amat penting bagi setiap ibu bapa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berdekatan dengan kadar segera sebaik menyedari anak mereka telah mengambil ubat orang dewasa.
“Beberapa vitamin yang biasa diberikan kepada wanita mengandung ialah asid folik, zat besi dan vitamin B kompleks. Ubat ini diberikan secara berasingan atau secara kombinasi,’’ ujarnya.
Secara umumnya, pengambilan vitamin yang berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah atau pening kepala.
Manakala, pengambilan zat besi berlebihan boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit atau kesan yang lebih teruk sehingga menyebabkan najis berdarah dan kerosakan hati.
Ibu ayah mengambil mudah aspek penyimpanan ubat
Dr Ramli turut mendapati aspek penyimpanan ubat yang betul dalam kalangan ibu ayah kurang dititikberatkan sekaligus mengundang risiko bahaya khususnya kepada kanak-kanak.
Tegasnya, ubat-ubatan perlu di simpan di tempat selamat dan tidak boleh dicapai kanak-kanak.
Hal ini kerana sudah jelas tertera label ‘Jauhi daripada kanak-kanak’ di setiap bungkusan ubat, namun agak menyedihkan kerana masih ada segelintir masyarakat masih meletakkan ubat-ubatan di atas meja makan yang mudah dicapai oleh anak-anak kecil.
Bagi memperluaskan aktiviti Duta Kenali Ubat Anda dan usaha mengoptimumkan penggunaan ubat-ubatan secara rasional, Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah memperkenalkan Program Duta Prihatin sejak tahun 2016.
Dalam program ini, duta dilantik daripada wakil masyarakat seperti penghulu, wakil kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan lain-lain.
Masyarakat akan didedahkan tentang pengurusan ubat-ubatan di rumah agar ia disimpan dengan cara betul dan selamat mengikut peraturan dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi.
Ubat yang didatangkan dalam pelbagai bentuk dan warna pastinya menarik perhatian kanak-kanak untuk makan atau minum ubat tersebut tanpa mengetahui bahawa ia sebenarnya berbahaya kepada mereka.
Kes termakan ubat orang dewasa dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya dapat dielakkan jika ubat-ubatan disimpan di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak misalnya dalam kabinet yang lebih tinggi.
Akan tetapi ramai yang mengambil ringan tentang aspek penyimpanan ubat yang betul dan menyimpannya ikut suka hati.
Sedangkan ubat adalah bahan yang digunakan untuk mencegah atau merawat penyakit, bukan mendatangkan risiko penyakit yang lain.
Oleh hal demikian, penyimpanan ubat di tempat yang selamat merupakan tanggungjawab pesakit atau penjaga.
Mengurangkan keberkesanan rawatan
Dalam masalah penyimpanan ubat ini, ia bukan sahaja berkaitan keselamatan kanak-kanak bahkan juga pada pesakit itu sendiri.
Selain dari kabinet tinggi, stok ubat-ubatan sebaiknya disimpan dalam bekas yang bertutup dan mudah dilihat.
Ia perlu disusun teratur atau memiliki label nama ubat berkenaan bagi memudahkan anda mencari dan mengelakkan anda tertukar ubat terutamanya sewaktu berlaku kecemasan.
Sementara itu, ramai yang tidak menyedari kecuaian dalam menyimpan ubat sepertimana yang disarankan berisiko menjejaskan kualiti ubat dan mengurangkan keberkesanan rawatan.
Paling dikhuatiri adalah apabila pesakit tidak menyedari ubat tersebut telah rosak dan jika mengambilnya akan mendatangkan kesan sampingan.
Hal ini kerana setiap ubat memiliki cara dan suhu penyimpanan yang berbeza.
Ada ubat yang perlu disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk, mengikut arahan yang tertera jelas pada label ubat.
Salah persepsi cara menyimpan ubat
Selain mudah dicari, kebiasaannya sesetengah daripada anda amat gemar menyimpan ubat dalam peti sejuk, kereta, tandas mahupun dapur dengan beranggapan ubat boleh menjadi tahan lama.
Persepsi ini salah sama sekali kerana jika ubat biji disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh menjadi lembap, mudah hancur dan rosak.
Dalam hal ini, hanya ubat dengan arahan penyimpanan pada suhu 2 hingga 8 darjah Celcius boleh disimpan dalam peti sejuk.
Sewaktu anda mengambil ubat di kaunter, kebiasannya pegawai farmasi akan menerangkan maklumat mengenai ubat dan ia telah sedia tertulis jelas pada sisip bungkusan ubat.
Manakala, bagi amalan penyimpanan ubat sedut (inhaler) atau ubat serangan jantung di dalam kenderaan boleh merosakkan ubat berkenaan kerana suhu kenderaan yang diletakkan di bawah sinaran matahari boleh mencecah lebih dari 50 darjah Celcius.
Begitu juga penyimpanan ubat di atas peti sejuk, dapur dan ketuhar turut berisiko merosakkan ubat kerana ia telah terdedah kepada haba dan suhu yang begitu tinggi.
Cara penyimpanan ubat mungkin nampak macam perkara kecil tetapi impaknya sangat besar.
Ia menjadi satu pembaziran sekiranya anda mendapatkan rawatan terbaik dari hospital serta pakar tetapi merosakkan manfaat ubat yang diperoleh kerana tabiat yang salah dalam menyimpan ubat di rumah.
Sumber: Mstar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comanak-alergi-ubat