Fidget spinner mengundang bahaya pada kanak-kanak
Seorang budak berusia 5 tahun dari Sabah terpaksa menahan kesakitan apabila jarinya tersangkut di mainan fidget spinner pada hari Ahad lepas!
Gara-gara kejadian itu, Jabatan Bomba dan Keselamatan terpaksa dipanggil untuk memotong fidget spinner terbabit dari jari kanak-kanak ini yang telah membengkak.
Mohd Alfath Izwan Mohd Rosdi, 5 tahun – dikatakan bermain permainan fidget spinner milik abangnya. Selepas leka bermain, dia tertidur.
Apabila dia bangun dari tidur, dia mula menangis. Rupa-rupanya, sudah 5 jam permainan itu tersangkut di jarinya!
Ibunya yang terkejut dengan kejadian cuba menggunakan sabun dan minyak untuk mengeluarkan jari anaknya yang tersangkut.
Tapi percubaannya gagal. Lalu, dia pantas membawa anaknya ke wad kecemasan. Setiba di hospital, pihak bomba dihubungi bagi memotong fidget spinner terbabit.
Bahaya fidget spinner pada anak-anak yang tak disedari ibu bapa
Sebenarnya, ini bukan kes pertama kanak-kanak tercedera kerana permainan trend baru ini.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak dari Oregon, AS dimasukkan ke hospital kerana tercekik bahagian kecil permainan yang berbahaya ini.
Ya, mainan ini ada bahagian kecil yang boleh terbuka jika dimasukkan dalam mulut!
Malah, ada beberapa laporan lagi menunjukkan jari kanak-kanak tersangkut pada permainan ini.
Consumer Product Safety Commission (CPSC) masih menjalankan penyiasatan ke atas produk permainan ini. Ia untuk memastikan peristiwa seperti di atas tak berulang kembali.
Jika anak anda gemar bermain permainan ini…
Sebenarnya, fidget spinner ini untuk apa?
Fidget spinner adalah satu peranti yang direka khas untuk memberi “ketenangan” pada pengguna.
Sebab itu, ia dikatakan oleh pengeluar mampu merawat individu dengan masalah kegelisahan, autisme dan ADHD.
Namun, saintis telah mengambil keputusan untuk menguji kebenaran kata-kata pengeluar fidget spinner terbabit. Mereka ingin memastikan adakah gajet berpusing seperti ini mampu “membantu” pesakit.
Kajian membuktikan fidget spinner tidak memberikan sebarang manfaat kepada pesakit ADHD. Sebaliknya, ia hanya berfungsi sebagai distraction saja.
Dr. Ruth Milanaik dari Cohen Children’s Medical Center of New York juga mendedahkan fidget spinner “tiada kaitan” dengan fokus dan tumpuan kanak-kanak.
Jadi, disebalik “janji-janji” palsu yang diberi pengeluar, permainan ini hanya lebih mengundang bahaya!
Bagaimana ingin mengelak bahaya fidget spinner pada anak-anak?
Menurut Good Housekeeping Institute, segala kecederaan yang terjadi kerana fidget spinner adalah berpunca dari jualan bungkusan mainan terbabit di pasaran.
Ia dijual tanpa label yang betul tentang umur berapa yang bersesuaian.
Ibu bapa harus lebih berhati-hati dan mengamalkan langkah-langkah ini:
- Periksa bahagian kecil di fidget spinner ini. Ia boleh terbuka!
- Buang permainan ini jika ia sudah rosak. Takut anak tercekik!
- Baca label permainan sebelum beli. Cari yang ada tulis “umur yang disyorkan”. Permainan ini bukan untuk semua peringkat usia.
- Sentiasa perhati bila anak main.
Semoga kejadian ini tak berulang kembali. Jom mula pantau permainan anak-anak, ya!
Sumber rujukan: The Straits Times dan Good Housekeeping
Kredit gambar: The Straits Times
Baca juga: