Bahaya Guna Botol Air Plastik Sama Berulang Kali, Ia Menganggu Sistem Imunisasi & Punca Kanser

Botol air plastik yang diguna berkali-kali adalah tidak selamat kerana ia boleh menjejaskan kesihatan tubuh manusia terutamanya kanak-kanak

Penggunaan plastik semakin meluas dalam kalangan masyarakat hari ini. Bermula dari beg plastik, botol air mahupun bekas makanan, kesemuanya boleh memberi kesan kepada kesihatan dan persekitaran.

Sesetengah ibu ayah mungkin pernah menggunakan botol air plastik yang sama untuk jangka masa panjang bagi kegunaan harian seperti bawa ke tempat kerja ataupun untuk anak ke taska. Tahukah anda akan bahaya botol air plastik ini tanpa sedar?

Kandungan bahan dalam botol air plastik yang bahaya

Boleh dikatakan setiap rumah pasti menggunakan plastik kerana kelebihannya tahan lama, kalis air dan murah menyebabkan ia sentiasa menjadi pilihan seisi keluarga.

Namun di sebalik itu, ramai tidak menyedari plastik adalah musuh ‘senyap’ kepada manusia dan boleh ‘membunuh’.

Pakar Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Mustafa Ali Mohd menjelaskan ada tiga bahan asas yang bahaya dalam proses membuat plastik iaitu:

  1. Phthalate: Ia adalah bahan paling banyak digunakan dan dapat melembutkan plastik yang keras
  2. BPA sebagai bahan menjadikan plastik lebih keras, tahan lama dan menghalangnya daripada pudar
  3. PBDEs: Ia menjadikan plastik kalis air dan banyak digunakan dalam penghasilan telefon bimbit dan barangan elektrik

Jelasnya, plastik pada asasnya berbentuk polimer berantai panjang (seperti tasbih) dan apabila terlerai menjadi molekul kecil yang dipanggil monomer.

Apabila ia terurai maka terhasillah BPA dan phthalate dalam air atau tanah yang akhirnya masuk ke dalam tubuh manusia serta haiwan,'' jelasnya.

Bahaya botol air plastik yang digunakan berulang kali

Botol minuman atau plastik air yang digunakan berulang kali dalam tempoh masa lama sebenarnya boleh membahayakan kesihatan diri, kanak-kanak atau ibu mengandung.

Antara kesan botol minuman yang boleh terjadi adalah:

#1. Menganggu sistem tubuh badan kanak-kanak

Apabila menggunakan botol minuman yang sama, bahan phthalate dan BPA boleh masuk ke dalam tubuh manusia. Ia akan tersimpan di dalam lemak dan boleh menyebabkan gangguan sistem badan terutama pada kanak-kanak.

Selain itu, kandungan Benzena dalam plastik air dikategorikan sebagai karsinogen manusia dan membawa kesan jangka panjang pada darah.

Ia akhirnya boleh menyebabkan penurunan dalam sel darah merah, menjejaskan sistem imun secara negatif, dan pada tahap yang teruk boleh menyebabkan muntah, pening, dan degupan jantung menjadi cepat.

#2. Kegemukan atau obesiti

Selain itu, botol plastik boleh menyebabkan seseorang mengalami berat badan yang berlebihan. Hal ini kerana kandungan phthalate yang banyak dalam darah atau badan mereka.

#3. Gangguan pada organ pembiakan

Bahan kimia yang terkandung dalam botol plastik iaitu Biphenyl A, yang merupakan bahan kimia seolah-olah estrogen boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah kesuburan, tingkah laku dan akil baligh awal pada kanak-kanak perempuan.

#4. Kanser hati dan bilangan sperma berkurangan

Disebabkan kehadiran bahan kimia yang dipanggil phthalates dalam bekas air plastik, ia boleh menyebabkan masalah seperti kanser hati dan pengurangan jumlah sperma (pada lelaki).

Kajian terbaru yang dilakukan oleh Universiti Negeri New York di Fredonia menunjukkan bahawa terdapat tahap mikroplastik yang berlebihan dalam bekas air plastik, terutamanya dalam jenama popular.

#5. Risiko kanser payudara

Dengan pendedahan langsung kepada matahari, botol air plastik boleh membebaskan bahan kimia berbahaya seperti dioksin yang meningkatkan risiko kanser payudara.

Pendedahan langsung botol air plastik kepada cahaya matahari boleh menghasilkan toksin yang dipanggil dioksin, yang apabila dimakan boleh mempercepatkan kanser payudara.

#6. Kualiti air menjadi tidak selamat

Menurut salah seorang penyelidik, Sherri Mason menjelaskan tidak kira apa jenama air botol itu, mereka pasti akan terjumpa kesan-kesan plastik.

"Air paip sebenarnya jauh lebih selamat daripada air botol," kata Dr. Mason.

Menurut kajian yang dijalankan, apabila seseorang minum satu liter air botol sehari, mereka akan menelan berpuluh ribu zarah-zarah plastik dalam satu tahun. Bayangkan betapa bahaya minum air botol jika ibu ayah memberinya kepada anak setiap hari.

Keburukan plastik menjejaskan air yang diminum

Menurut Orb Media, ada beberapa penemuan yang diperoleh daripada kajian yang dijalankan iaitu:

  • 93% daripada air dalam botol menunjukkan tanda pencemaran mikroplastik.
  • Purata zarah mikroplastik yang dijumpai dalam air botol ialah 10.4 > 100 um untuk setiap liter air botol. Pendek kata, terdapat kira-kira 10 zarah plastik bersaiz lebih lebar dari rambut manusia dalam setiap liter air.

Keburukan plastik juga dapat dibuktikan apabila ahli sains mendapati air dalam botol mengandungi 2 kali lebih banyak zarah plastik (> 100 um) berbanding dengan air paip biasa

Polimer yang didapati dalam sampel air dalam botol ialah Polipropilena. Ini adalah plastik yang digunakan untuk membuat penutup botol air.

Zarah plastik ini mungkin disebabkan serpihan plastik yang pecah dan masuk ke dalam air apabila seseorang membuka penutup air botol untuk minum, kata kajian itu. Punca pencemaran plastik lain termasuk proses pembungkusan dan pembotolan air itu sendiri.

Apakah kesan jika masukkan air panas ke dalam botol air mineral yang kosong?

Kandungan BPA dalam botol mineral akan melepaskan nanogram pada kadar 0.2 hingga 0.8 setiap jam.

Walau bagaimanapun jika botol air mineral yang kosong diisi dengan air panas, ia boleh mempercepatkan pelepasan BPA 15 hingga 55 kali lebih cepat iaitu dengan kadar 8 hingga 32 nanogram sejam.

Jenama botol mineral yang terkenal juga tidak selamat

Menurut Pakar Pemakanan, Dr Divya Gopal, pada hari ini menjadi kebiasaan masyarakat di seluruh negara menggunakan plastik air. Ia telah mendominasi pasaran kerana harga yang murah dan mudah diperoleh.

Beliau menambah, "Anda mungkin menggunakan plastik gred tinggi, tetapi ia masih membawa banyak bahan kimia dan bakteria. Ini sememangnya mempunyai kesan berbahaya kepada alam sekitar, tetapi penggunaan botol plastik juga memberi kesan kepada kesihatan diri.”

Satu kajian telah dilakukan bukan tujuan untuk memburuk-burukkan nama jenama tertentu. Ini hanya membuktikan plastik adalah bahan yang digunakan secara meluas dalam masyarakat kita. Ia boleh meresap ke dalam air yang diminum.

Tapi, jangan terkejut. Sebanyak 250 botol dari 11 jenama dan 9 negara telah dikaji dan hasil kajian itu benar-benar membimbangkan!

Botol air yang telah dikaji datang dari negara Amerika Syarikat, Jerman, China, Brazil, India, Indonesia, Mexico, Lebanon, Kenya dan Thailand.

Jenama-jenama antarabangsa terkemuka dalam kajian ini termasuklah Aquafina, Dasani, Evian, Nestle Pure Life, dan San Pellegrino. 

Jenama tempatan pula termasuk Aqua (Indonesia), Bisleri (India), Epura (Mexico), Gerolsteiner (Jerman), Minalba (Brazil), dan Wahaha (China). 

Kesan penggunaan plastik terhadap persekitaran

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, penggunaan plastik di negara ini yang ke-2 terbesar di rantau Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78kg plastik termasuklah botol mineral setahun.

#1. Menyebabkan pencemaran

Kehadiran botol plastik beraneka saiz bagi mengisi air mineral atau air minuman untuk jualan adalah satu perbuatan yang menambahkan lagi penggunaan plastik dalam kehidupan harian.

Hal ini kerana kesan penggunaan plastik mengambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada di mana bahan itu berada.

“Selain botol mineral, kesan penggunaan beg plastik juga boleh mencemarkan persekitaran. Hal ini kerana ia  susah hendak mereput dan menambahkan lagi bilangan plastik sedia ada hingga menjadi beban kepada alam sekitar.'' jelas Prof Dr Mustafa Ali Mohd.

#2. Menjejaskan hidupan laut

Plastik yang terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik.

Mikroplastik adalah zarah plastik berukuran antara lima milimeter (mm) dan 0.1 mikrometer (um) manakala nanoplastik pula saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009.

“Kedua-dua bahan ini akan terkumpul dalam badan hidupan laut iaitu ikan apabila memakan plankton atau tumbuhan laut yang sudah dicemari mikroplastik dan nanoplastik.

#3. Manusia yang makan ikan menerima kesan hampir sama

''Nanoplastik dan mikroplastik terkumpul dalam badan ikan kerana haiwan ini tidak mampu menghadam dua bahan berkenaan.''

Keadaan ini sekaligus menyebabkan kehidupan laut terganggu atau boleh mengakibatkan kematian jika jumlahnya terlalu tinggi,” katanya.

Manakala manusia yang makan ikan dicemari mikroplastik dan nanoplastik akan menerima kesan yang hampir sama seperti haiwan berkenaan.

Jelasnya, kehadiran bahan-bahan itu tidak boleh dirasai manusia kerana mikroplastik dan nanoplastik tidak berbau atau berwarna tetapi bahan kimia berkenaan akan meresap dalam tubuh manusia sehingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Awas, Mainan Plastik Lama Berbahaya Untuk Si Kecil!

Baca juga:  Anak Kerap Minum Air Kosong Bukanlah Tabiat Yang Normal, Ia Petanda Diabetes!

Baca juga:  Mulut Berbau, Mengadu Pening Kepala Antara Tanda Anak Kurang Minum Air Putih!