Fenomena barang sekolah jenama Smiggle
Persekolahan sesi 2018 baru saja 2 minggu bermula. Tapi, pelbagai ragam dan isu telah timbul, bukan? Salah satu yang betul-betul menjadi fenomena ialah barang sekolah jenama Smiggle.
Di dalam ramai yang berkongsi tentang fenomena jenama Smiggle ini, satu perkongsian telah menjadi tular dan sewajarnya diambil sebagai pengajaran. Mari kita lihat di bawah tentang apakah perkongsian itu.
Barang sekolah jenama Smiggle – bila ia mula terkenal di Malaysia?
Smiggle merupakan satu jenama yang telah dikeluarkan di Australia pada tahun 2003 di Melbourne. Sejak beberapa kebelakangan ini, jenama Smiggle menjadi semkain popular.
Smiggle mula mempunyai lebih banyak cawangan premis di pelbagai negara termasuklah Malaysia.
Jenama ini menarik minat anak-anak muda dengan produknya yang berkonsepkan warna ceria dan rekaan-rekaan yang menarik. Tetapi seiring dengan rekaan mereka yang lain dari lain, harga barangan Smiggle juga lebih mahal.
Antara produk keluaran Smiggle adalah alat tulis, botol air dan juga beg sekolah.
Siapa yang tidak sedih jika anak pulang mengadu dipanggil miskin, hanya kerana tidak memiliki barang sekolah seperti kawan-kawan lain?
Fenomena jenama Smiggle dan kesannya pada peribadi anak
Mengapa barang milik seseorang menjadi ukuran? Di mana silapnya hingga kanak-kanak sudah pandai melabel rakan mereka hanya berdasarkan jenama barangan sekolah?
Mari kita lihat apakah kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak.
1. Ibu bapa selalu beri alasan tiada duit
Bayangkan situasi ini; anak menangis mahukan mainan yang mahal, ibu bapa memujuk dengan memberi alasan tiada duit.
Ramai yang beranggapan dengan memberi alasan tersebut, anak akan kesian dengan ibu atau bapa. Sedangkan sebenarnya tidak.
Dengan memberi alasan seumpama ini, anak akan beranggapan hanya orang berduit boleh memiliki barang tersebut. Secara tidak langsung apabila mereka berjaya memiliki barang itu, dia akan memandang orang yang tidak memiliki barangan itu sebagai tidak berduit.
Apa yang anda boleh lakukan ialah, terangkan kepada mereka mengapa mereka tidak memerlukan barang itu.
Atau anda boleh juga mencadangkan yang mereka harus berusaha untuk mendapatkan barang itu sendiri. Contohnya dengan menabung.
2. Kerap memberi hadiah pada anak
Ramai ibu bapa yang menutup rasa bersalah tidak dapat meluangkan masa bersama anak mereka dengan membelikan hadiah. Ia tidak salah sebenarnya.
Tapi sekiranya anda terlalu kerap memberi hadiah, anak-anak akan lupa menghargai nilai sesuatu barangan.
Mereka akan menganggap mereka memiliki adalah segalanya. Sedangkan sebenarnya nilai memberi juga harus diterapkan di dalam diri mereka.
Ajar mereka untuk memberi sesuatu jika ingin memiliki sesuatu, supaya dia tahu yang dia tidak boleh memiliki semua benda.
3. Menghalau peminta sedekah
Memang benar sekarang terdapat banyak sindiket meminta sedekah yang menipu. Tapi, harus diingat, anak kita tidak tahu tentang ini.
Apa yang dia nampak hanya seorang yang berpakaian buruk meminta duit.
Jadi, sekiranya tiba-tiba ada seorang peminta sedekah mendekati meja makan anda bersama keluarga, jangan terus halau atau hina. Jika anda tidak mahu memberi duit, anda boleh memberinya makanan atau minuman.
Contohnya berikan biskut atau air mineral, mereka pasti menghargainya dan anak anda juga akan belajar dari anda.
4. Empati anak lebih penting
Benar, disebabkan risau, ibu bapa mengambil lebih banyak langkah berjaga-jaga. Tapi harus diingat, janganlah menggalakkan mereka untuk memilih kawan berdasarkan material.
Sebaliknya, didik mereka untuk berkawan dengan semua orang.
Apabila terlihat anak anda memandang rendah orang lain tidak kiralah apa sebabnya, pastikan anda menegur perbuatan tersebut.
Membiarkan sama seperti menggalakkan mereka berbuat demikian. Mereka akan rasa tidak apa untuk berbuat demikian.
Ajar mereka untuk mempunyai rasa empati. Ambil peduli dengan apa yang orang rasa, Terangkan kepada mereka yang tentu mereka juga tidak mahu dilayan begitu.
Sebab itu, apabila terjadinya fenomena Smiggle ini, ia sungguh menyedihkan. Di mana letaknya nilai seseorang itu jika yang dipandang adalah barang milik dan bukan peribadi?
Generasi masa hadapan bergantung dengan cara didikan kita hari ini.
Sumber: Facebook Hazrezal Ahmad
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.commurid-makan-bercangkung-kantin/