Risaunya Bayi Sudah Pandai Merangkak, Habis Semua Benda Dikutip & Masuk Dalam Mulut!

Bayi aktif dan sihat tanda perkembangan yang baik. Namun ibu ayah perlu berjaga-jaga apabila mereka mula mengutip barang dan masukkannya ke dalam mulut

Setiap ibu ayah pasti akan berdepan pelbagai pengalaman berbeza dalam proses membesarkan anak. Bayi aktif ‘meneroka’ sekeliling ruang dalam rumah ketika mereka sudah pandai merangkak adalah situasi yang sering ibu ayah bimbang.

Mana tidaknya pantang lepas dari mata si manja sudah sampai ke dapur dan paling gerun sekali suka mengutip objek kecil kemudian memasukkannya ke dalam mulut!

Ibu ayah perlu awasi setiap masa bayi aktif merangkak atau berjalan

credit to sources

Memang bahaya apabila anak nampak apa sahaja barang dan memasukkannya ke dalam mulut. Boleh jadi kes tercekik atau keracunan juga. Jika ia adalah makanan, ia mungkin tidak mendatangkan masalah besar.

Menurut ahli psikologi anak, Penney Hames, mulut bayi sebenarnya memiliki hujung saraf yang lebih banyak berbanding bahagian tubuh lain. Sekiranya mereka ingin mengetahui tentang rasa mahupun tekstur sesuatu objek, maka akan cenderung memasukkannya ke dalam mulut.

Tambahnya lagi, ia adalah keadaan normal dan ini dilakukan oleh kebanyakan bayi bagi memuaskan rasa ingin tahunya. Selain itu, jika ibu ayah mendapati si manja anda memasukkan objek ke dalam mulut lalu digigit-gigitnya, hal ini adalah kerana gusi mereka terasa gatal.

Dari aspek psikologinya, aktiviti menghisap objek yang dijumpai oleh anak juga dikatakan berupaya memberikan rasa selamat atau aman kepada sesetengah bayi. Ia seolah-olah semasa menghisap susu ibunya.

Cara mengelakkan bayi aktif mengutip dan memasukkan benda ke dalam mulut

#1. Ibu ayah jangan memarahinya

Si manja anda suka memasukkan objek ke dalam mulut kerana didorong oleh perasaan ingin tahu. Meskipun memarahinya dapat memberikan amaran agar tidak mengulanginya lagi, tetapi ia berupaya mengurangkan semangat anak untuk belajar tentang perkara di sekeliling mereka.

Justeru, pastikan anda bercakap dengan nada yang tenang untuk mengatakan bahawa tidak boleh memasukkan objek ke dalam mulut.

Doktor Riza mengatakan apabila bayi kecil sering dilarang, ia memberikan impak yang tidak baik dalam proses perkembangannya. ”Hubungan ibu ayah dan anak boleh terjejas. Anda mungkin rasa kecewa apabila si manja tidak dengar kata, manakala si anak pula rasa rendah diri dan kurang yakin dalam setiap tindakan mereka.”

#2. Sediakan teether

credit to sources

Apabila bayi sudah memasuki 6 bulan, ada sebab kemungkinan mereka rasa gatal gusi kerana gigi akan tumbuh. Sebenarnya mereka akan berasa kurang selesa.

Justeru, ibu ayah dinasihat belikan teether yang masih baru dan sejukkannya sekejap sahaja. Pilih teether saiz besar serta senang dipegang untuk bayi 4 bulan ke atas.

#3. Jauhkan sebarang bahaya dalam rumah

Meskipun anda dan anak-anak berada di dalam rumah, ia tidak bermakna benar-benar selamat. Hal ini kerana banyak bahaya yang menanti si kecil terutamanya apabila mereka dalam fasa meneroka dunia.

Pastikan objek kecil seperti guli, duit syiling, kunci atau bateri disimpan di tempat yang sukar dicapai oleh anak. Bukan itu sahaja, ibu ayah hendaklah sentiasa menutup pintu bilik air dan tandas agar tidak menyebabkan insiden lemas.

Ubat atau vitamin juga hendaklah diletakkan di tempat yang berkunci agar si manja tidak memasukkannya ke dalam mulut.

#4. Ajar tentang maksud ‘jangan’

Meskipun bayi anda masih belum bercakap, namun dia sebenarnya mampu memahami setiap maksud atau isyarat. Justeru ajarkannya tentang maksud perkataan ”jangan” berserta dengan gerakan jari dan jelaskan mengapa mereka tidak boleh melakukan perbuatan tersebut.

Ulangi beberapa kali dan pastikan bayi anda memberikan respon terhadap perkataan berkenaan. 

#5. Sediakan aktiviti bersama bayi

credit to sources

Menurut dekan Pusat Pembangunan Manusia, bermain dengan bayi dapat memberikan kesan yang baik terhadap otak mereka. Antara permainan paling mudah adalah Peekaaboo.

Caranya adalah letakkan mainan atau buku di bawah selimut dan kemudian tanyakan si manja dimanakah objek berkenaan berada?

Bayi yang berasa ingin tahu akan merebutnya dan menggali di bawah selimut. Aktiviti ini boleh menambahkan kemahiran dan merangsang otak si manja.

Selain itu anda juga boleh main tepuk tangan bersama-sama, membaca buku cerita atau menyanyi bagi mencegah bayi mengutip segala objek di dalam rumah.

Sumber: Sara Confession

Kredit foto: Google

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comisteri-mengandung-2