“Bila bayi belajar berdiri? Bayi saya masih belum boleh bangun dan berdiri sendiri, patutkah saya risau?” Percayakah anda kalau kami katakan bahawa setiap bayi mempunyai tahap pencapaian yang berbeza dari segi perkembangan?
Malah, masa setiap bayi untuk memahirkan diri mereka dengan skil yang mereka baru pelajari pun tidak akan sama dengan bayi lain. Jika anak anda baru sahaja mula menunjukkan perkembangan untuk berjalan, maka tidak hairanlah anda sudah mula risau kenapa anak anda susah nak bangun atau berdiri.
Apa yang ibu bapa perlu ketahui mengenai perkembangan anak
Sebelum anak anda boleh mula berjalan, anak anda akan melalui pelbagai peringkat tahap perkembangan. Jadi sebelum usianya mencapai setahun, macam-macam yang anak anda boleh pelajari tau! Daripada mula belajar memegang botol, menggelengkan kepala, merangkak, berpusing, bayi belajar berdiri dan kemudiannya berjalan.
Ini adalah peringkat-peringkat pembesaran yang akan dilalui oleh setiap anak yang ibu bapa WAJIB tahu dan perhatikan untuk anak mereka.
Bangun berdiri adalah salah satu peringkat pembesaran kanak-kanak yang terpenting sebelum kanak-kanak boleh berjalan. Ini kerana ia merupakan hasil perkembangan kekuatan otot bayi untuk berjalan.
Bila bayi anda patut belajar berdiri?
Sekiranya anda mengikuti rapat perkembangan anak anda, pastinya persoalan ini menimbulkan tanda tanya kepada anda.
“Anak orang lain dah start berdiri dan berjalan. Kenapa anak sendiri tak bangun-bangun lagi?”
Selepas anak anda mula merangkak, peringkat seterusnya adalah peringkat yang mana anak anda akan cuba untuk duduk dan berdiri. Kemudian, anak anda akan menggunakan perabot untuk membantunya cruising iaitu menggunakan objek atau perabot sebagai sokongan untuk bayi belajar berdiri dan belajar.
Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah kebiasaannya anak anda akan mula berdiri apabila seawal umur 7 hingga 11 bulan. Pada awalnya, anak anda akan memang nampak kekok sewaktu mula berdiri dan mula memegang baju anda sebagai sokongan untuk berdiri.
Jadi, jika anak anda masih lagi tidak boleh berdiri sewaktu anak anda berumur 9 bulan, ibu bapa tidak perlu risau mengenainya ya! Perkara berkaitan perkembangan motor adalah perkara yang menuntut usaha daripada kanak-kanak dan memerlukan masa yang banyak untuk anak anda berlatih.
Bagaimana nak galakkan anak anda untuk bangun berdiri selepas merangkak?
#1 Letakkan permainan anak anda ke atas sofa atau tempat tinggi
Ini adalah satu cara yang dapat menarik minat anak anda untuk mencuba mendapatkan permainannya sendiri. Cuba anda letakkan permainan kegemaran anak anda di atas sofa atau tempat tinggi yang anak anda boleh capai. Sekaligus, ini akan membantu anak anda untuk memotivasikan diri anak anda untuk mencapai permainan tersebut.
#2 Cuba ubah kedudukan ketinggian
Anak anda sudah berjaya bangun sedikit demi sedikit? Tahniah! Apa kata anda cuba untuk ubah kedudukan ketinggian barangan anda untuk bantu anak mencapai. Lebih tinggi anda letak, lebih lagi anak anda akan cuba mencapainya. Tapi jangan pula letak kedudukan terlalu tinggi, takut anak anda susah nak mencapai pula.
#3 Bayi belajar berdiri sendiri
Anak anda mungkin tidak bersedia untuk bangun. Jadi, anda boleh bantu anak anda untuk berdiri di atas peha anda. Anda boleh memegang tangan anda sebagai sokongan dan beri galakan kepada anak anda untuk berlatih bangun berdiri lagi.
#4 Biarkan anak anda jatuh tetapi…dengan sokongan
Bila anak anda mula berdiri, anak anda mungkin tidak dapat bangun dan berdiri lama kerana tidak dapat mengekalkan keseimbangan badan. Jadi, bila anak anda jatuh, tak mengapa kerana anda masih memegangnya. Ini akan mengajar anak anda untuk belajar jatuh dan kecewa tetapi tidak mengapa kerana anak anda akan belajar untuk bangun sesuatu.
#5 Berikan keadaan dan tempat selamat untuk anak anda berlatih bangun
Untuk permulaan bayi belajar berdiri, anda perlu memastikan tempat persekitaran tersebut sesuai untuk anak anda berdiri dan bangun. Pastikan perabot anda kukuh dan tidak mudah terjatuh supaya anak anda boleh berpaut. Anda juga harus pastikan yang tiada objek tajam yang boleh menyebabkan anak anda tercedera.
Apa yang anda perlu buat jika anak anda masih lagi tidak berdiri selepas 12 bulan?
Jika anak anda masih lagi tidak boleh berdiri selepas umur 12 bulan dan anda telah mengikut saranan yang telah dicadangkan, kami menyarankan agar anak membawa anak anda berjumpa doktor segera.
Walaupun anak anda masih tidak boleh bangun berjalan lagi, jangan putus asa dengan anak anda. Yang penting, jangan paksa anak anda buat perkara yang anak anda tidak sedia.
Sumber: Athirah Amir
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Anak Asyik Jatuh Bila Baru Berjalan? Perlukah Ibu Risau?