Baby Demam Tanda Tubuh Sedang Membina Ketahanan, Begini Cara Turunkan Suhu Demam Yang Berkesan

undefined

Baby demam membuatkannya meragam dan tidak mahu berenggang dengan ibu. Ada beberapa cara hilangkan demam yang boleh anda cuba di rumah

Badan terasa panas, kerap meragam dan menangis merupakan antara tanda baby demam panas. Ia merupakan sesuatu yang paling dirisaukan kebanyakan ibu ayah kerana tidak sanggup melihat anak yang masih kecil jatuh sakit.

Namun jangan panik, ia adalah sesuatu yang normal jika bayi bawah 1 tahun kerap demam, batuk ataupun selesema kerana tubuh sedang membina sistem ketahanan dalam berdepan pelbagai jenis kuman penyakit yang ada di sekeliling mereka.

Punca baby demam dengan kerap

Dalam proses membesarkan anak, ibu ayah pastinya akan berdepan pelbagai pengalaman baharu setiap hari.

Sesetengah bayi demam tidak hanya berpunca daripada persekitaran, malah ada yang disebabkan kesan suntikan vaksin ataupun dijangkiti ahli keluarga tidak sihat.

Suhu badan biasa bagi manusia adalah sekitar 36-37 °C. Suhu badan ini dipengaruhi oleh aktiviti yang kita lakukan seperti bersenam, tidur atau makan.

Suhu badan paling tinggi pada pukul 6 petang dan paling rendah pada pukul 3 pagi.

Menurut Dr Ratna Sridjaja dari SBCC Baby and Child Clinic, Gleneagles Hospital, bayi demam panas terjadi berpunca daripada “thermostat” dalam badan yang meningkatkan suhu.

Thermostat atau hypothalamus adalah sebahagian daripada minda manusia. Ia bertugas untuk menstabilkan suhu normal bayi

Akan tetapi, apabila anak terkena jangkitan atau jatuh sakit, hypothalamus akan meningkatkan suhu badan untuk “melawan” jangkitan tersebut.

Apabila suhu normal bayi meningkat – itu tandanya sistem imun badan mereka sihat dan sedang melawan jangkitan penyakit.

Peringatan: Bayi demam bukan penyakit, ia cara untuk melawan jangkitan kuman.

bayi demam

Punca lain bayi demam panas

Menurut Seattle Children’s Hospital, ada beberapa sebab lain kenapa bayi demam panas.

  • Jangkitan yang menular – seperti demam panas atau selesema. Anak yang duduk di daycare 7 kali lebih mudah dijangkiti jangkitan ini.
  • Jangkitan bakteria – jangkitan bakteria sering terjadi pada anak perempuan. 
  • Bakteria sinus
  • Demam selepas diberi vaksin – dalam masa 12 jam pertama selepas dicucuk vaksin, bayi biasanya akan demam dan ia adalah perkara normal.
  • Cuaca yang terlampau panas 

Pantau suhu demam setiap masa

Disebabkan bayi demam panas tidak boleh meluahkan apa yang dirasakan, ibu ayah dinasihatkan untuk sentiasa memantau suhu demam mereka bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.

Anda boleh mengambil suhu badan pada bayi yang demam dengan beberapa cara seperti melalui rektum, mulut, ketiak dan dahi. Cara untuk pantau suhu demam adalah:

  • Guna termometer digital berbanding termometer merkuri untuk memudahkan kerja.
  • Pastikan termometer itu bersih dan telah dicuci dengan sabun dan air.
  • Kemudian, letakkan jeli petroleum sekitar bulb termometer sebelum masukkan ia perlahan-lahan dalam mulut anak.

Julat suhu normal bayi apabila disukat melalui rektum, adalah antara 36.6 – 37 °C.

Walau bagaimanapun sekiranya anak tidak sihat, bacaan suhu demam bayi adalah:

  1. 38 °C pada rektum
  2. 37.5 °C jika diukur melalui mulut
  3. 37 °C jika diukur melalui ketiak

Tanda bayi demam yang ibu ayah perlu waspada

#1. Tidak berhenti menangis

Bayi menangis adalah cara mereka berkomunikasi dengan ibu ayah. Biasanya si manja menangis kerana lapar atau disebabkan lampin yang perlu ditukar.

Tetapi jika ibu bapa telah mencuba segala-galanya untuk menenangkan bayi dan masih gagal, ini mungkin tanda bayi demam panas. 

#2. Badan berpeluh

Cara yang paling mudah untuk mengetahui bayi demam adalah dengan melihat tanda-tanda peluh.

Jika belakang badan, leher, dada atau kepala bayi tersebut panas atau berpeluh, ini menunjukkan badan mereka sedang cuba sedaya upaya untuk menyejukkan diri.

Tanggalkan sebarang lapisan pakaian yang tidak perlu. Segera membawanya ke klinik jika suhu badan demam anak melebihi 37.9°C.

#3. Selalu muntah

Bayi yang selalu muntah biasanya menjadi tanda bayi demam atau sakit. Walaubagaimanapun, jika bayi anda tak demam, sebaliknya muntah-muntah dan berasa mual, mungkin si manja mengalami strok haba.

#4. Kadar degupan jantung meningkat

Apabila bayi demam panas, suhu badannya meningkat akan memberi tekanan pada jantung mereka dan menyebabkan denyutan jantung jadi lebih cepat.

Untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi, letakkan tangan pada bahagian dadanya.

Jika kadar denyutan jantung lebih cepat dari biasa, gunakan kain lembap untuk menurunkan suhu badan sehingga kadar jantungnya kembali normal.

Cara hilangkan demam anak mengikut saranan doktor

Walaupun baby demam adalah tanda yang sistem imun badan si manja anda itu sihat, namun ibu bapa harus tahu beberapa cara mengendalikan situasi ini.

Kalau suhu badan demam si manja mencecah hampir 40-41 °C, ia boleh membahayakan mereka.

Jadi, ini antara cara hilangkan demam anak yang boleh anda cuba di rumah:

  1. Beri paracetamol atau ibuprofen berdasarkan berat dan umur bayi. Jarum seakan suntikan (syringe) adalah cara terbaik untuk beri dos ubat yang tepat.
  2. Cara hilangkan demam: Beri anak minum banyak air agar mereka kekal hidrasi. Jika bayi berusia 6 bulan ke bawah, beri dia minum lebih banyak susu ibu
  3. Beri kompres suam seperti Cool Fever yang boleh diletakkan pada ketiak, dahi atau celah pangkal paha anak
  4. Pakaikan pakaian yang tidak terlalu tebal pada anak. Elak mereka dari terlampau panas
  5. Galakkan anak untuk berehat. Berlari mampu meningkatkan suhu badan mereka

Cara turunkan suhu demam bayi yang berusia 1 tahun kebawah

Jika anda ke klinik, doktor mungkin hanya mempertimbangkan ubat demam jenis paracetamol ataupun antibiotik sebagai cara hilangkan demam bayi 1 tahun dan ke bawah.

Namun ibu ayah hendaklah sentiasa memberikan si manja makan ubat demam mengikut sukatan dan jam yang telah ditetapkan.

Berikut beberapa cara turunkan suhu demam bayi 1 tahun ke bawah:

#1. Mandian lemon

Mandian lemon menjadi salah satu cara turunkan suhu demam bayi dengan cepat.

Caranya adalah dengan isikan besen mandi dengan air suam. Kemudian masukkan potongan lemon ke dalamnya dan biarkan anak berendam beberapa minit.

#2. Jerlum dengan air asam jawa

Caranya turunkan suhu demam bayi ini sungguh mudah. Ibu perlu ramas asam jawa dalam air suam. Kemudian basahkan tuala kecil dengan air asam jawa tersebut. Lap atau jerlum seluruh tubuh anak dengan kerap

#3. Bunga raya

Jika suhu badan masih belum turun, ibu boleh ikhtiar dengan beberapa helai daun bunga raya. Basuh dan rendamkan selama 30 minit. Kemudian potong kecil daun, tapis dan ambil lendirnya.

Lendir dari daun bunga raya dapat mengurangkan suhu demam kanak kanak apabila disapu pada badan si manja.

#4. Gel lidah buaya (aloe vera)

Cara turunkan suhu badan bayi yang demam adalah menggunakan gel lidah buaya. Anda hanya perlu ambil satu keping lidah buaya segar. Patahkannya dan ambil lendir.

Sapu pada dahi anak dan sebaiknya seluruh badan. Jika susah nak dapatkan lidah buaya ini, anda boleh beli terus di farmasi.

#5. Kismis

Ramai tidak tahu bahawa kismis dapat bertindak sebagai antibakteria dan antioksidan. Selain itu, ia membantu menentang jangkitan dan juga menjadi cara turunkan suhu badan bayi.

Petua hilangkan demam panas anak yang boleh anda lakukan ialah berikan air rendaman kismis semalam (air nabeez). Ia sangat baik untuk kanak-kanak atau bayi demam.

Anda juga boleh masukkan buah kismis ketika menyediakan sup untuk si kecil.

#6. Pastikan anak sentiasa aktif

Biasanya si manja akan masih aktif meskipun baby demam. Justeru ibu jendaklah memantau perubahan si manja. Jika anda mendapati anak lemah dan tidak bermaya, segeralah berjumpa doktor.

Cara hilangkan demam bayi 5 bulan

Bayi yang berumur bawah 5 bulan ke bawah sememangnya berbeza rawatan dan pemeriksaannya jika baby demam kerana mempunyai pertahan badan diri yang lemah.

Bagi ibu ayah yang tertanya-tanya, apakah cara hilangkan demam bayi 5 bulan, kami menyarankan agar anda tidak merawat sendiri si manja yang demam panas sendiri di rumah. Dapatkan pemeriksaan seawal yang mungkin dengan doktor atau pakar kanak-kanak!

Begitu juga dengan cara hilangkan demam bayi 2 bulan. Ibu ayah hendaklah membawanya berjumpa doktor dengan lebih awal bagi mengelakkan jangkitan merebak ke bahagian lain sehingga boleh membahayakan nyawa bayi.

Perkara yang patut dielakkan bila bayi demam on off

Baby Demam Tanda Tubuh Sedang Membina Ketahanan, Begini Cara Turunkan Suhu Demam Yang Berkesan

Bagi ibu ayah baharu, ada beberapa perkara yang perlu anda elak buat sewaktu anak demam panas iaitu:

  1. Jangan beri ibuprofen jika anda syak anak mungkin kena demam denggi. Ini kerana virus denggi menebalkan darah. Ibuprofen juga berfungsi untuk menebalkan darah.
  2. Jangan beri aspirin untuk bayi demam on off, melainkan jika ia dibenarkan doktor. Aspirin berkait rapat dengan Sindrom Reye
  3. Jangan beri ubat demam bayi yang berusia bawah 2 bulan tanpa kebenaran doktor
  4. Jangan rendam bayi yang demam dalam air sejuk. Cukuplah sekadar mengelap badan mereka.
  5. Jangan terlebih beri makan ubat demam bayi
  6. Jangan biar anak yang demam kelaparan. Mereka perlu tenaga untuk melawan jangkitan!
  7. Jangan hantar anak ke sekolah atau daycare jika mereka demam

Cara yang betul guna cool fever baby

Apabila mendapati anak demam panas, rata-rata ibu pastinya menggunakan cool fever baby bagi mengurangkan suhu badan mereka.

Namun tahukah anda bahawa tindakan menampal coolfever pada dahi si manja adalah kurang efektif?

Hal ini kerana ada yang mengatakan haba dalam badan akan dibebaskan melalui salur darah. Jadi ibu kena tampal coolfever ini pada bahagian yang ada banyak salur darah bagi mempercepatkan pembebasan haba.

Manakala jika ditampal pada dahi, bahagian ini kurang salur darah. Cara yang betul guna coolfever adalah meletakkannya pada bawah ketiak, leher atau di belakang badan.

Doa demam panas

Selain mencuba beberapa tips dan petua di atas, anda juga boleh ikhtiar dan amalkan doa demam panas sewaktu merawat bayi di rumah.

#1. Surah Al Fatihah

Dirujuk sebagai ummu Al Quran, surah Al Fatihah sangat bermanfaat untuk dijadikan amalan sebagai ikhtiar perubatan. 

#2. Selawat syifa’

Selawat syifa sangat dikenali sebagai selawat yang memuji Rasulullah dan merupakan selawat yang meletakkan kedudukan Rasulullah sebagai penyembuh dan penawar penyakit.

Ia juga menjadi doa sembuhkan demam yang boleh ibu amalkan selalu.

أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، طِبِّ الْقُلُوْبِ وَدَوَائِهَا، وَعَافِيَةِ الأَبْدَانِ وَشِفَائِهَا، وَنُوْرِ الأَبْصَارِ وَضِيَائِهَا، وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

Allahumma salli ‘ala Sayyidina Muhammadin,

Tibbil qulubi wa dawaaâ iha,

Wa `afiyatil abdaani wa shifaaâ iha,

Wa nuril absari wa diyaâ iha,

Wa `ala Aalihi wa Sahbihi wa Barik’ wa Sallim

Maksudnya:

Ya Allah, berilah rahmat ke atas junjungan kami, nabi Muhammad SAW yang berkat berselawat ke atas baginda, akan merawati hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda.

#3. Doa penyejuk demam

doa demam panas

Doa demam panas nabi ibrahim

Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar di dalam unggun api yang besar.

Saat Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api, Allah memerintahkan api menjadi sejuk dan tidak merbahaya kepada Nabi Ibrahim seperti dalam ayat ini:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! “ (QS Al Anbiya 21:69)

Doa demam panas Nabi Ibrahim ini juga boleh dibaca ketika cuaca panas atau seseorang terkena api.

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:  9 cara semula jadi turunkan panas badan bayi, ibu jangan cepat panik!

Baca juga:  Buai Baby Bukan Penyebab Gegaran Pada Otak, Ibu Ayah Wajib Tahu Beberapa Fakta Ini!

Baca juga: Haramkan Gadjet Ketika Di Meja Makan, Waktu Inilah Untuk Anak Bonding Dengan Keluarga!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!