Selalu kita dengar kejadian bayi jatuh terlentang dari katil, saya sendiri pernah mengalaminya ketika bayi tengah rancak berguling dulu, usah kata risau memang trauma habis.
Tak dapat nak saya bayangkan kisah seorang ibu ini yang bayinya baru berusia dua hari jatuh katil, malah kejadian itu berlaku ketika masih di hospital bersalin.
Apa yang menjadi punca adalah ibu tersebut dipercayai terlalu penat, sehingga tertidur dan tidak bayi yang sedang menyusu badan jatuh ke bawah katil.
Terlalu penat
Kisah ini dikongsi oleh Pediatrik Dr Redza Zainol di laman facebooknya. Katanya dia amat terkejut mendengar berita daripada jururawat yang menyatakan bayi berusia 2 hari jatuh dari katil.
Terkejut saya bila jururawat maklumkan ada kes bayi usia 2 hari terjatuh ke atas lantai.
“Saya terlalu penat.”
Itulah yang ibunya katakan. Setiap 2-3 jam, dia bangun untuk susukan anak sepanjang malam.
Dalam tak sedar, dia dah terlelap dalam posisi duduk sambil menyusukan anak. Bayi yang sedang dipegang erat terus terlepas dan bergolek jatuh ke lantai.
“Semuanya berlaku sangat pantas. Saya pun tak ingat.”
Dia sempat mengulas yang wanita itu tampak begitu letih dalam masa yang sama diselubungi rasa bersalah. Dia menekankan bahawa ibu baru lepas bersalin ini perlu berehat, dan dalam dia berehat itu perlu ada suami atau ahli keluarga di sisi yang boleh membantu menguruskan bayi.
Memanglah ibu perlu menyusukan bayi, namun dalam keadaan itu suami harus peka, manalah tahu bayi boleh dihempap ibu dan sebagainya.
Wajahnya nampak letih, dan saya tahu dirinya dipenuhi dengan rasa bersalah.
Ibu bukan Superwoman. Mereka juga perlukan rehat, makan dan tidur yang mencukupi.
Jaga diri sendiri baik-baik. Suami pun sama-sama bantu isteri. Itulah tanda kita hargai pengorbanan isteri.
Ibu yang terlalu penat dan tak dibantu, boleh mengundang kemalangan.
Banyak faktor yang menyumbang kepada ibu menjadi terlalu penat selepas bersalin ini, antaranya tak cukup tidur, tidak cukup makan, dan juga tak dibantu oleh orang-orang terdekat.
Kata Dr Redza, ada pelbagai kes yang terjadi akibat ibu terlalu penat ini antaranya adalah bayi tersangkut pada cadar, selimut, pakaian ibu lalu lemas.
Ada juga bayi yang jatuh ketika ibu mengambil barang di atas lantai, keadaan ini berlaku dalam sekelip mata saja. Malah ada juga bayi terjatuh ketika ibu menukar posisi tidur.
Ada bayi yang terjatuh ketika menyusu dan tersangkut pada cadar, selimut, pakaian ibu dan jadi lemas.
Ada bayi jatuh bila ibu yang sedang memegang anak membongkok untuk ambil barang di lantai.
Ada bayi terjatuh bila ibu menukar posisi menyusu anak.
Ada bayi yang lemas, bila ibu atau ayah tertidur di atas badan atau muka bayi akibat terlalu letih.
Nasihat untuk ibu-ibu
Kalau anda dah mula rasa mengantuk, terus beritahu pada suami atau pembantu. Kalau ada orang lain yang boleh tengokkan bayi untuk seketika. Jadi anda bolehlah dapatkan ‘power nap’ untuk anda kembali bertenaga nanti.
Pesan pada suami untuk bantu isteri ketika menyusu bayi, iaitu tolong ambil dan letakkan bayi di dalam katil bayi.
Mak ayah sendiri sebaiknya tak tidur atas katil yang sama dengan bayi. Kes bayi meninggal dunia sebab dihempap orang dewasa yang tengah tidur ni memang betul-betul terjadi.
Jangan biar bayi tidur meniarap melainkan kalau dia dah pandai pusingkan badan sendiri.
Tak usah letakkan bantal, comforter atau patung mainan atas tilam bayi kita supaya risiko bayi lemas tertimpa benda tu semua tak berlaku. Ingat risiko Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) atau mati mengejut ini selalu dikaitkan dengan bayi lemas di katil sendiri.
Dr Redza juga sempat memesan untuk kongsikan cerita ini kepada orang ramai, agar kita sama-sama boleh pupuk kesedaran di dalam hal ini. Ibu penat ketika bersalin ini bukan hal remeh, ia memberi efek kepada ibu juga bayi. Jika bayi jatuh terlentang dari katil nanti baru nak berasa peka mungkin sudah terlambat. Jadi suami isteri sentiasalah berhati-hati ya. Kadang-kadang yang kita anggap remeh itu yang memberi kesan kepada kita.
Sumber: Dr Redza Zainol
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.combayi-jatuh-dari-tempat-tidur