Mesti ibu ayah sering mengalami masalah bila hilang dari pandangan anak, terus anak menangis macam kena tinggal buat selamanya kan? Kalau yang mempunyai bayi kecil, bayi menangis bila di letak itu mesti perkara biasa bukan?
Memang mencabarlah, kadang-kadang tu nak masuk tanda buang air kecil sekejap je dia dah mula meraung macam kesakitan. Pergi dapur sekejap nak cuci gelas pun dia punya laju mengejar kita tu macam nak pergi lumba lari.
Normal kah anak begini?
Pantang nak kena tinggal, maka 3C ini pun berlaku kata Dr Ahmad Luqman Bukhari di perkongsiannya di Facebook, iaitu:
- Crying – Menangis semahunya agar ibu ayah kembali dengan segera
- Cranky – Resah gelisah bila ayah ibu tiada di depan mata, lantas dia merengek sebelum menangis.
- Clingy – Terus mengekori ibu ayah tidak kiralah ke tandas atau ke dalam bilik.
Magis tau, apabila ibu ayahnya muncul semula di hadapan anak-anak yang menangis seperti dalam kesakitan itu, terus dia senyap dan tersenyum malah ketawa pula. Geram ada, geli hati pun ada. Samalah masalah bayi menangis bila di letak.
Inilah yang disebut fasa Separation Anxiety. Situasi ini adalah normal sebenarnya dan selalu berlaku pada anak kita yang dalam lingkungan umur 6 bulan hingga 2 tahun setengah.
Ketika ini dia belum berapa faham lagi mengenai ‘Object Permanence’. Pada dia, kalau parents tidak ada di depan mata, maksudnya memang tak ada! Hilang selama-lamanya!
Sebab itu mak ayah semua wajib tahu 5 teknik untuk atasi masalah Separation Anxiety ini supaya kita semua tahu bagaimana nak menguruskan nanti bila bayi menangis bila di letak atau bila ditinggalkan sekejap.
5 Teknik atasi masalah Separation Anxiety
#1. Biasakan bercakap dengan anak kita tu bila kita nak ke mana-mana
Masa nak ke toilet, beritahu, “Mak nak ke tandas ni.” Nak ke dapur ke, nak ke bilik ke pun sama.
Mula-mula si kecil tu tak faham tapi lama-lama, nanti sikit-sikit dia akan mula mengerti ke mana kita nak pergi.
#2. Untuk anak yang dah pandai merangkak, tak pun yang dah mahir berjalan, mak ayah cubalah main kejar-kejar dengan dia sekerap mungkin
Bila dia mendekat nak mintak kita dukung, masa tu kita buat-buatlah lari macam tengah bermain dengan dia. Tak adalah nanti dia meraung kalau kita tak dukung pun sebab dia duk ingat yang kita tengah main dengan dia.
#3. Penting sangat untuk kita patuhi janji dengan anak
Kalau kita cakap nak pergi sekejap, make sure betul-betul sekejap.
Bila kita praktikkan macam ni, si kecil tu akan develop rasa confidence untuk ditinggalkan sebab dia tahu mak ayah dia tak kan mungkir janji.
#4. Lengkapkan keperluan anak, ketika hantar ke pengasuh
Pastikan sebelum serahkan anak kita tu, cukupkan dulu semua keperluan fisiologi dia.
Mana yang lapar berilah makan minum dulu. Mandi, tukar lampin siap-siap. Nanti tenanglah sikit budak itu waktu nak kena tinggal.
#5. Kena keraskan hati
Tak apalah kalau dia menangis pun, biarkan kejap.
Tapi bila dah siap kerja terus kita datang balik entertain anak kita. Lama-lama nanti si kecil akan tahu yang kita sebenarnya tak abaikan dia pun, cuma mak ayah ada benda nak kena selesaikan sekejap.
Kesan anak yang terlalu manja & sering dilindungi
Kalau anda tidak mula mengajar anak anda tentang ‘personal space’ dan perlunya anak berdikari walaupun untuk seketika nanti akan memberi efek bila tiba waktu persekolahannya nanti. Ada bagusnya apabila kita biar anak kita kadang-kadang bermain sendiri, dalam masa yang sama kita uruskan hal-hal rumah. Dan ini pula kesannya apabila kita tak ajar anak untuk berdikari sejak kecil:
#1. Si manja membesar menjadi seorang yang tiada keyakinan diri
Dengan selalu mendapat bantuan ketika menghadapi masalah, anak akan berasa dirinya lemah atau tidak berdaya melakukan sesuatu dengan sendiri.
#2. Nilai keperibadian yang rendah
Ibu ayah yang terlalu mengawal atau melindungi anak biasanya tidak memberi kesempatan langsung untuk mereka merasai kegagalan. Padahal melalui kegagalan, anak akan mengambil pengajaran dan mengumpul kekuatan untuk bangkit semula.
#3. Mudah cemas dan tidak berani berdepan dunia luar
Disebabkan oleh selalu dikawal oleh ibu bapa, anak akan merasai dunia luar adalah sesuatu yang tidak selamat untuknya sehingga berasa cemas setiap kali ibu ayah tiada di sisi mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Ahmad Luqman Bukhari.
Baca juga: