Apabila mendengar berita akan kelahiran mati atau bayi meninggal ini, tidak kira siapa pun tentu akan tersentak dan tiada kata yang mampu terjemahkan perasaan itu.
Di Malaysia, berita mengenai lkelahiran mati atau bayi meninggal ini bukanlah sesuatu yang dianggap biasa berbanding di negara lain. Seperti di Australia, memetik dari satu artikel tempatan menyatakan kelahiran mati atau stillbirth ini sangat biasa terjadi, kebarangkalian untuk orang terdekat dengan anda baik rakan-rakan atau keluarga mengalami kelahiran mati ini sangatlah tinggi.
Namun tidak di Malaysia, yang mana situasi ini amat jarang berlaku kepada orang yang kita kenali dan perkara ini cukup diambil serius oleh kerajaan kita. Disebabkan itu sekiranya insiden ini terjadi baik di hospital kerajaan atau hospital swasta, pihak kerajaan (Kementerian Kesihatan) akan melakukan siasatan yang telus ke atas kes ini. Pihak hospital akan disoal jawab dan jika berlaku kecuaian yang disebabkan pihak hospital tindakan selanjutnya akan diambil.
Jadi disebabkan kurangnya kesedaran orang ramai mengenai kes yang jarang berlaku ini bukanlah bermakna ia tidak penting. Setiap nyawa bayi meninggal adalah berharga dan sensitiviti masyarakat serta sokongan terhadap kes ini sangatlah penting untung pasangan yang mengalami kelahiran mati ini.
Apa yang anda perlu lakukan jika berhadapan dengan pasangan yang mengalami kelahiran mati?
Seperti yang saya nyatakan tadi disebabkan kurangnya kesedaran mengenai topik ini, maka ramai yang tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi sekiranya ia berlaku kepada keluarga atau teman rapat. Apakah kata-kata yang mampu membantu mereka melupakan sengsara ini? Apakah perbuatan yang boleh meringankan beban kesedihan pasangan ini? Dan apakah pula perkara yang tidak patut dibuat atau dikatakan kepada pasangan ini? Ini sedikit sebanyak apa yang anda perlu tahu.
#1. Katakan yang anda turut bersedih
Apabila saya sendiri mengalami pengalaman perit ini, saya cukup menghargai rakan-rakan yang tidak putus memberikan kata-kata simpati dan berada dengan saya di saat itu. Ketika waktu pengebumian bayi yang baru saya lahirkan itu, rakan-rakan rapat serta rakan sepejabat turut hadir ke kubur dan turut menangis bersama saya. Dalam masa yang sama memberi kata-kata semangat yang cukup memberi saya harapan untuk teruskan kehidupan seperti biasa. Tapi percayalah tanpa berkata apa pun, kehadiran mereka di waktu pengebumian arwah anak saya itu cukup bermakna dan saya tidak akan lupakan sampai bila-bila pun sokongan mereka itu.
#2. Cuba menggembirakan mereka
Terpulang kepada pasangan sebenarnya untuk seberapa pantas mereka ingin bangkit. Seperti situasi saya dulu, saya ingin bangkit secepat yang mungkin. Saya tidak mahu meratapi kesedihan itu lama-lama. Bangkit dengan cepat tidak bermakna anda terus melupakan anak kesayangan anda yang telah pergi itu. Tapi ia lebih kepada untuk anda menjadi lebih kuat dalam masa yang sama masih meratapi. Jadi ramai rakan-rakan saya yang bertanya jika mereka boleh hadir ke rumah membawa makanan kegemaran saya atau hadir hanya untuk bertanya khabar. Dan saya okay dengan kehadiran tetamu, saya juga berasa teruja, kerana sedikit sebanyak ia mampu mengalih perhatian saya buat seketika.
Ya, ada yang terus distract saya dengan membuat lawak apabila nampak emosi saya sudah semakin stabil, dan saya cukup menghargainya.
Apa yang patut dielakkan?
#1. Elak kongsi mengenai bayi anda di media sosial
Jika ada rakan-rakan terdekat atau keluarga yang baru mengalami kelahiran mati, kalau boleh ‘berehatlah’ sebentar dari berkongsi apa-apa gambar mengenai bayi atau kehamilan. Anggaplah ini satu tempoh berkabung. Memang banyak gambar-gambar anak yang seronok untuk kita kongsi tetapi, hati-hatilah kerana ada kemungkinan rakan anda yang baru mengalami pengalaman pahit ini mungkin akan merasakan perkongsian anda agak sensitif. Jika anda perlu lakukannya demi komitmen anda boleh ubah pada ketetapan untuk ‘hide’ perkongsian anda bersama rakan anda.
#2. Mengucapkan kata-kata yang kurang sensitif
Elakkan dari berkata seperti ia adalah masalah yang biasa, seperti “tak apalah, muda lagi boleh cuba lagi,” percayalah kata-kata itu tidak membantu. Elakkan juga berkata tentang masalah orang lain dan cuba membandingkan, contoh seperti “anak kawan saya dulu pernah kena macam ni, lagi teruk,” setiap pengalaman yang perit bukanlah satu pertandingan siapa yang lebih teruk mengalaminya siapa yang kurang teruk. Pengalaman yang buruk tetap satu pengalaman buruk. Sedihnya hanya tuan badan yang tahu!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.cominduce-bersalin