Bayi Ini Dijangkiti Virus RSV di Hospital, Dan Inilah Amaran Ibunya Untuk Semua Ibu Bapa!

Baca nasihat ibu dari Singapura ini selepas bayinya jatuh sakit dengan jangkitan RSV selepas melawat sepupunya di hospital.

Ia sepatutnya masa yang paling bahagia, tetapi keluarga ini tidak dapat merayakan Hari Raya Puasa tahun ini.

Anak mereka yang berusia 6 bulan, Zafri, telah jatuh sakit, dan akhirnya terpaksa diwadkan di hospital selama 5 hari.

Anak dijangkiti penyakit RSV

Ibu Zafri, Ida telah memuat naik satu post Facebook untuk berkongsi pengalamannya, dan untuk mengingatkan ibu bapa tentang risiko jangkitan penyakit di hospital.

Dia telah menulis:

Selepas 5 hari di hospital (3 hari di wad biasa dan dua hari di wad High Dependency), Zafri akhirnya boleh pulang ke rumah hari ini, walaupun demam sekali-sekala dan batuk yang lama … Malangnya, tiada raya untuk kami tahun ini kerana doktor menasihatkan supaya tidak pergi melawat atau menerima pelawat untuk sekurang-kurangnya seminggu, sehingga pemeriksaan susulannya…”

Ida menasihatkan semua ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka yang sihat ke hospital.

Anaknya Zafri telah dijangkiti penyakit selepas Ida telah membawanya untuk melawat sepupunya di hospital.

“Jauhkan bayi yang sihat dan kanak-kanak kecil dari hospital di mana terdapat banyak virus. Biasanya, saya tidak akan membawa anak ke hospital tetapi pada hari itu, saya betul-betul terlupa kerana melawat sepupu dekat.”

foto kredit : FACEBOOK/ IDA ALEP

“Hanya satu kesilapan dan satu lawatan. Kami melawat sepupunya yang hanya didiagnosis dengan RSV beberapa hari kemudian… Pada masa itu, ia sudah terlambat. Memandangkan sifatnya yang senang berjangkit, Zafri telah dijangkit serta merta. Dia telah menunjukkan simptom-simptom penyakit RSV pada malam yang sama. Zafri juga telah didiagnosis RSV positif selepas dia diwadkan!”

Zafri sakit teruk sehingga terpaksa menggunakan drip dan dia sukar untuk bernafas.

Ibunya telah menceritakan pengalaman yang ngeri itu:

“Saya masih ingat malam itu, penggera oksigen telah berbunyi kerana paras oksigennya jatuh. Dia terpaksa tidur dengan topeng oksigen malam itu. Saya trauma melihat anak saya tercungap-cungap menarik nafas dan semua rawatan atas badan kecilnya. Pasti hati setiap ibu bapa akan berkecai melihat anak mereka dalam keadaan itu. Kami bernasib baik kerana dapat melihat senyumannya lagi. Tetapi tidak semua ibu bapa begitu bernasib baik dan ada yang perlu menunggu beberapa bulan  sehingga anak mereka pulih. “

foto kredit : FACEBOOK/ IDA ALEP

Apakah penyakit RSV?

Respiratory syncytial virus (RSV) ataupun virus sinsitium pernafasan adalah virus biasa dan sangat mudah berjangkit.

Biasanya, ia akan menyerang saluran pernafasan (paru-paru dan pernafasan) kanak-kanak sebelum usia 2 tahun.

Untuk kebanyakan kanak-kanak, jangkitan itu hanya akan menyebabkan selesema.

Tetapi untuk bayi pramatang dan anak dengan penyakit yang berkait dengan paru-paru, jantung, atau sistem imun, jangkitan RSV dapat menyebabkan penyakit-penyakit lain yang lebih serius.

Tanda-tanda jangkitan RSV:
  • Masalah pernafasan
  • Batuk yang menghasilkan kahak berwarna kuning, hijau, atau kelabu
  • Keadaan lemah atau tidak aktif
  • Tidak mahu menyusu
  • Tanda-tanda dehidrasi – kekurangan air mata apabila menangis, sedikit atau tiada air kencing di lampin selama 6 jam, dan kulit kering, sejuk
  • Sekiranya bayi anda sangat letih, bernafas dengan cepat, atau mempunyai bibir atau kuku yang berwarna biru, dapatkan rawatan perubatan segera.

RSV mudah tersebar melalui sentuhan dengan orang atau permukaan yang dijangkiti.

Amalkan membasuh tangan dengan kerap dan dengan cara yang betul untuk mencegahkannya.

Pastikan anda dan anak anda cuci tangan setelah bersentuhan dengan seseorang yang mempunyai simptom-simptom selesema.

Dan seperti yang dinasihatkan Ibu Zafri:

“Jika anak anda sakit, ibu bapa juga yang bertanggung jawab. Jangan bawa mereka ke kawasan permainan kanak-kanak dan jangan biarkan orang sakit mencium atau mendukung anak anda. Jangan menjejaskan kesihatan anak anda demi kebahagiaan orang lain.”

Sumber: WebMDKidsHealth

Penulis

Rosanna Chio