Bukan Sakit Perut Biasa, Kenapa Ramai Ibu Ayah Tidak Tahu Tentang Rotavirus?

Apabila bayi tidak sihat, ibu bapa perlu titikberatkan jangkitan rotavirus kerana ia biasa berlaku pada anak berusia kurang daripada 5 tahun.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Apabila bayi dilahirkan, satu-satunya cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga adalah dengan menangis. Biasanya bayi akan menangis apabila mereka lapar, mengantuk atau tidak selesa. Namun ketidakselesaan mempunyai banyak makna. Sama ada perut berangin, atau mereka rasa panas atau terlalu sejuk, bahkan juga jika mereka sakit perut atau tidak sihat.

Ibu bapa amat bimbang apabila bayi sakit perut kerana kita tidak dapat mengukur tahap kesakitan mereka dengan tepat.

Kadang kala, “sakit perut” itu muncul dengan simptom-simptom lain seperti muntah-muntah, cirit-birit, demam serta mungkin dehidrasi - dan ini menjadi tanda anak anda telah dijangkiti penyakit berjangkit yang dipanggil Rotavirus1.

Bukan sakit perut biasa: Simptom lain jangkitan Rotavirus adalah dehidrasi

Rotavirus mendapat nama daripada perkataan Latin ‘rota’, yang bermaksud ‘roda’, dan ia dinamakan sempena bentuk virus tersebut yang berbentuk roda2. Rotavirus adalah salah satu punca utama cirit-birit dan muntah pada kanak-kanak. Ia sering disebar melalui pencemaran najis - jadi semasa anda menukar lampin bayi dan jika najis mereka mengandungi virus tersebut, anda mungkin menyebarkannya secara tidak sengaja1!

Selepas dijangkiti virus, biasanya simptom-simptom muncul selepas dua hari. Simptom bermula dengan demam dan muntah, diikuti dengan cirit-birit1. Oleh sebab bayi di bawah usia 6 bulan biasanya menyusu badan secara eksklusif atau minum susu formula, muntah-muntah dan cirit-birit boleh menyebabkan dehidrasi3.

Jika bayi mengalami dehidrasi, beberapa tanda yang perlu anda perhatikan3:

  • Letih/lesu
  • Bibir dan lidah kering
  • Tiada air mata ketika kanak-kanak menangis
  • Kedua-dua mata terlihat lebih cengkung
  • Pening
  • Kekurangan air kencing

Kekurangan cecair badan disebabkan cirit birit dan muntah ini boleh membawa maut jika gantian cecair tidak diberi dengan segera3. Oleh itu, ibu bapa perlu perhatikan tanda-tanda dehidrasi dan Rotavirus dengan lebih ketat!

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kanak-kanak paling berisiko dijangkiti rotavirus

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Apa yang ibu bapa perlu titikberatkan ialah jangkitan Rotavirus biasanya berlaku pada kanak-kanak berusia kurang daripada 5 tahun4.

Seperti yang dinyatakan, kerana jangkitan menyebabkan bayi cirit-birit, ibu bapa perlu tahu bahawa penyakit cirit-birit masih salah satu punca utama anak jatuh sakit dan kematian kanak-kanak dalam kumpulan umur ini, terutamanya di negara berpendapatan rendah, dan menyebabkan lebih 500,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia4.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Namun berita baik ialah ibu bapa boleh mempertimbangkan langkah pencegahan seperti memvaksin anak bagi melindungi mereka daripada Rotavirus.

4 mitos tentang keselamatan vaksin

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

#1. Mitos: Sistem imun anak saya terlalu terbeban kerana terdapat terlalu banyak vaksin untuk kanak-kanak

Apa ibu bapa perlu fahami ialah vaksin mengandungi antigen yang amat sedikit berbanding kepada antigen asing yang didedahkan melalui makanan atau aktiviti lain. Sistem imun anak anda boleh bertindak balas terhadap pelbagai keadaan. Maka, pemberian pelbagai vaksin pada satu masa tidak akan membebankan sistem imun anak anda5.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

#2. Mitos: Anak saya muda sangat! Mengapa perlu memberi vaksin seawal usia

Ia adalah perkara biasa untuk bimbang tentang kesihatan anak anda, walau bagaimanapun ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegah vaksin kerana sistem imun mereka masih lemah5.

Jadual imunisasi dicipta berdasarkan penyelidikan doktor dan pakar kesihatan awam yang telah menghasilkan jadual vaksinasi optimum dan jangkamasa antara dos vaksin, untuk memastikan vaksinasi memberikan perlindungan yang optimum - dan apabila kanak-kanak paling terdedah dengan penyakit tersebut5.

Jadi mengikut jadual vaksinasi amat penting bagi melindungi anak-anak anda daripada penyakit serius ini. 

#3: Mitos: Anak masih terjangkit penyakit walaupun divaskin, jadi vaksin tidak berkesan?

Apa ibu bapa perlu tahu ialah vaksin tidak semestinya menawarkan perlindungan 100% tetapi sebarang perlindungan adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung5. Ia dapat mengurangkan kadar kematian serta bilangan masuk hospital dalam kalangan kanak-kanak terhadap penyakit serius dan berjangkit ini6.

#4: Mitos: Anak Saya Sihat, Kenapa Perlu Saya Vaksin Anak Saya?

Konsep penting yang perlu difahami adalah vaksin tidak merawat, sebaliknya mencegah7. Walaupun anak-anak kita sihat, kita tidak boleh jangkakan bila mereka terdedah kepada virus atau penyakit.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Oleh itu, mencegah adalah langkah paling penting.

Malah, kos juga dapat dijimatkan dalam jangka masa panjang. Apabila anak-anak divaksin, ia dapat mengelak anak-anak ditahan dalam wad6, sekaligus menjimatkan kos untuk anda membayar ubat dan bil hospital yang mahal.

Langkah-langkah pencegahan Rotavirus yang lain

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Menjaga kebersihan tangan: Jika anda atau anak anda dijangkiti rotavirus dan anda tidak mencuci tangan selepas menggunakan bilik air, selepas menukar lampin anak atau membantu mereka menggunakan tandas, virus tersebut boleh merebak ke semua permukaan anda sentuh, termasuk makanan, mainan, dan lain-lain1.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Sesiapa sahaja yang menyentuh permukaan tercemar juga berisiko dijangkiti virus1. Oleh itu, penting untuk memastikan tangan anda bersih.

Bersihkan permukaan: Seperti yang dinyatakan, memandangkan virus tetap berjangkit pada permukaan selama beberapa minggu1, penting untuk memastikan semua persekitaran anda sebersih mungkin dan basmi kuman di mana-mana anda berada.

Kesimpulan

Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan di atas, anda boleh meminumumkan risiko dan melindungi keluarga anda daripada penyakit berjangkit ini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Tanya doktor anda tentang vaksinasi Rotavirus dan langkah pencegahan lain pada lawatan seterusnya.

MY-ROT-00239 Sep/2022

REFERENCES:

  1. Mayo Clinic. Rotavirus. Available From: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rotavirus/symptoms-causes/syc-20351300. Last Accessed 19 August 2022.
  2. PORTAL MyHEALTH. Rotavirus Vaccine. Available From: https://www.myhealth.gov.my/en/rotavirus-vaccine/. Last Accessed 19 August 2022.  
  3. National Foundation for Infectious Diseases. Frequently asked questions about rotavirus. Available From: https://www.nfid.org/infectious-diseases/frequently-asked-questions-about-rotavirus/. Last Accessed 22 August 2022. 
  4. Crawford SE, Ramani S, Tate JE, Parashar UD, Svensson L, Hagbom M, et al. Rotavirus infection. Nature Reviews Disease Primers. 2017;3(1).  
  5. Portal MyHealth. Immunisation: Facts And Myths. Available From:  https://www.myhealth.gov.my/en/immunisation-facts-myths/. Last Accessed 19 August 2022.  
  6. Burnett E, Tate JE, Kirkwood CD, Nelson EAS, Santosham M, Steele AD, et al. Estimated impact of rotavirus vaccine on hospitalizations and deaths from rotavirus diarrhea among children <5 in Asia. Expert review of vaccines. 2018;17(5).
  7. World Health Organization. Vaccines and immunization: What is vaccination?. Available From: https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/vaccines-and-immunization-what-is-vaccination. Last Accessed 19 August 2022.