Beaconhouse Malaysia Jalin Kerjasama Ibu Bapa Bagi Kesejahteraan Mental & Emosi Anak
Beaconhouse Malaysia menyedari akan kepentingan kerjasama antara guru dan ibu ayah dalam menjamin kesejahteraan mental dan emosi anak ketika pandemik ini
Beaconhouse Malaysia, iaitu peneraju sekolah swasta dan antarabangsa yang terkemuka mengadakan program kesedaran melibatkan kerjasama ibu bapa dan guru. Ia adalah bertujuan untuk menjamin kesihatan mental serta emosi anak-anak ketika dalam fasa peralihan ini.
Inisiatif ini diambil bagi meningkatkan kewaspadaan terhadap rutin harian mereka yang telah berubah, di mana pelajar kini telah menjejakkan kaki semula ke sekolah dan ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada mereka.
Beaconhouse Malaysia prihatin akan kesejahteraan mental dan emosi anak
Menurut Pembantu Pengurus Pendidikan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Beaconhouse Malaysia, Sherlin Chang, setelah hampir 1 tahun belajar di rumah, para pelajar kini telah kembali semula ke sekolah.
Meskipun perbualan harian banyak melibatkan keselamatan fizikal mereka, namun pihaknya juga perlu mengambil berat terhadap kesihatan mental dan emosi anak-anak sepanjang tempoh peralihan ini.
Sebenarnya mental dan emosi anak-anak yang sihat amat berkait dengan kemampuan mereka untuk belajar mengembangkan diri dalam sudut akademik serta sosial.
”Sedar ataupun tidak, anak yang masih kecil mengalami banyak kesan buruk akibat hampir setahun duduk di rumah dan belajar secara atas talian. Apabila tiba-tiba perlu kembali ke sekolah sepenuh masa, ia sedikit sebanyak memberikan tekanan terhadap persediaan mereka untuk belajar secara bersemuka,” jelasnya.
Tambah Sherlin lagi, kanak-kanak juga cenderung berasa sunyi dan keseorangan setelah lama berada di rumah. Kebimbangan mereka untuk berpisah setelah banyak menghabiskan masa bersama ibu bapa dan keluarga sambil belajar dari rumah juga boleh terjadi.
”Memandangkan kini segalanya mula berubah, anak-anak perlu meninggalkan keselesaan di rumah dan kembali kepada persekitaran sekolah yang dianggap asing. Faktor tekanan diri boleh terjadi dan inilah sebab mengapa pentingnya peranan ibu bapa serta guru untuk lebih peka terhadap tanda-tanda masalah mental atau emosi.” jelas Sherlin.
Pentingnya peranan pihak Beaconhouse Malaysia dan ibu bapa
Tanda biasa yang menunjukkan kanak-kanak mengalami tekanan adalah menangis berjam-jam, hilang selera makan, kurang motivasi ataupun terlalu gembira apabila berada di sekolah.
Manakala ketakutan untuk masuk ke sekolah boleh menjadi teruk yang mendorong kepada masalah tingkah laku yang lain seperti kerap kencing dalam seluar, perlukan lebih perhatian dan gangguan fokus belajar.
”Gangguan tingkah laku ini tidak hanya menjadi tanda tekanan, tetapi menunjukkan kebiasaan yang dilakukan di rumah. Kanak-kanak juga tidak dapat fokus dalam kelas dan mudah berasa mengantuk kerana perubahan corak tidur sepanjang tahun lalu.” katanya.
Manakala Pemangku Ketua BNEY Ampang, Rachel Khong menyatakan pandemik ini telah mengubah sistem pendidikan biasa sehingga memberikan kesan sosial dan emosi kanak-kanak.
”Jika sebelum ini mereka boleh bebas bergaul, namun disebabkan Covid-19 anak-anak perlu menjarakkan diri dan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan. Hal ini adalah sukar untuk dilakukan sehingga perlu diberikan peringatan berterusan.” jelas Rachel.
Perubahan rutin harian boleh memberi kesan terhadap mental dan emosi anak
Sehubungan dengan itu, Beaconhouse Malaysia percaya peranan ibu bapa dan guru dapat menjamin kesejahteraan mental dan emosi anak-anak.
”Sentiasa bertanya dan ambil tahu apa yang berlaku setiap hari dalam hidup mereka. Kami mendapati anak-anak berasa senang hati untuk bercakap secara terbuka sekiranya didekati dengan baik. Manakala luahan dan penceritaan ini sekaligus membolehkan mereka berasa lebih tenang,” katanya.
Rachel juga mengatakan bahawa kanak-kanak perlu diberi lebih banyak pilihan dan suara dalam menyatakan diri mereka. Hal ini kerana mereka mampu membuat keputusan berdasarkan pemikiran logik.
Peranan sebagai pendidik dan orang dewasa adalah untuk mencipta persekitaran yang memberikan kuasa kepada anak-anak dengan pelbagai pilihan.
Beaconhouse Malaysia telah menggabungkan pembentukan watak ke dalam pengajaran kurikulum yang melibatkan tingkah laku boleh diterima dan tidak boleh diterima. Paling penting adalah ibu bapa dan guru mempunyai talian komunikasi terbuka secara kolektif bagi mengatasi setiap masalah.
Untuk sebarang maklumat mengenai Beaconhouse Malaysia, anda boleh melayari: www.beaconhouse.edu.my
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ayah Yang Hilang Pendapatan Kerana Covid-19 Cenderung Menjejaskan Kesihatan Mental Anak Di Rumah