Sehingga hujung nyawa – ia bukan setakat tajuk drama, namun dimanifestasikan dalam kehidupan sebenar. Seorang ibu, dari Fresno California, bertarung dengan kanser serviks sebanyak dua kali.
Kali pertama, kansernya berjaya diatasi dengan rawatan kemoterapi. Beliau juga turut kehilangan satu ovari ketika bertarung dengan kanser tersebut.
Namun, tahun lalu, ketika beliau mengandungkan bayi kembar, kanser yang berjaya diatasi dahulu telah kembali, kali ini lebih agresif dan pantas.
Disebabkan keadaannya yang sarat mengandung, rawatan kimoterapi kali kedua tidak dapat dilakukan secara menyeluruh kerana bimbang akan merencatkan tumbesaran bayi dalam rahim dan juga memberikan kesan negatif lain.
Berjaya Melawan Kanser Serviks buat Kali Kedua
Abang Jamie, Chris Snider, menyatakan yang Jamie ingin mencuba apa yang termampu supaya dapat meneruskan kehidupan dengan dua orang anak perempuan sulung dan dua orang lagi bayi kembarnya yang bakal lahir.
Malah, menurut Chris lagi, Jamie sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk melihat bayinya lahir dengan selamat.
Beberapa minggu sebelum kelahiran si kembar, doktor memberikan khabar gembira yang kansernya berjaya diatasi – kali ini, buat kali kedua!
Kembar Jamie berjaya dilahirkan melalui pembedahan c-seksyen pada usia baru mencecah 33 minggu. Berat setiap bayi hanyalah sekadar 3.5 lbs (1.58kg) sahaja!
Kegagalan Fungsi Hati Meragut Nyawa
Jamie sempat memegang dan meluangkan masa beberapa jam dengan kembarnya sebelum memulakan pembedahan kedua, iaitu pembedahan histerektomi bagi membuang saki baki kanser dalam serviksnya.
Namun, takdir telah menentukan yang dia akan pergi semasa pembedahan histerektomi itu dijalankan. Beliau meninggal dunia akibat kegagalan fungsi hati semasa dibedah – sehari selepas melahirkan bayi kembar!
Bayi tersebut dilaporkan telah keluar dari hospital dan kini tinggal bersama dengan ayah dan dua orang kakak mereka di Fresno, California.
Memang tragis dan menyayat hati. Kasih ibu sememangnya tidak bersempadan.
Apakah Itu Kanser Serviks dan Punca Ia Terjadi?
Kanser serviks merupakan salah satu penyakit kanser utama yang menimpa wanita di seluruh dunia selain daripada kanser payudara. Di negara kita pula, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang sering melanda wanita Malaysia.
Menurut World Cancer Research Fund International, kanser serviks disebabkan oleh virus Human Papilloma (HPV).
Selain daripada virus HPV, antara faktor lain yang menyebabkan kanser serviks berlaku adalah sering mengambil pil perancang, selalu bertukar pasangan seksual, dan merokok.
Apakah Simptom Kanser Serviks?
Antara simptom-simpton kanser serviks adalah seperti berikut:
- Lendir keluar dari faraj dengan kadar dan warna yang luar biasa
- Pendarahan dari faraj yang tidak normal (bukan haid biasa)
- Sakit dalam rahim ketika mengadakan hubungan seksual
- Sakit di bahagian pelvik yang berpanjangan
- Pendarahan dari faraj walaupun selepas menopause
Mencegah Lebih Elok Dari Merawat – Buatlah Pemeriksaan Awal!
Jika anda mendapati yang anda mengalami beberapa simptom di atas secara berpanjangan dan pada kadar yang luar biasa, segeralah membuat pemeriksaan di hospital.
Antara yang boleh anda lakukan untuk mengesan kanser ini terlebih awal adalah dengan menjadikan pemeriksaan pap smear sebagai rutin tahunan, atau mengikut kekerapan yang ditetapkan oleh doktor anda.
Ia dapat mengesan pertumbuhan sel yang tidak normal dan mengelakkan daripada berlakunya kanser. Penyakit kanser serviks boleh diatasi jika dikesan dan dirawat awal!