Sering menjadi dilema terutama bagi ibu bapa yang baru pertama kali menimang cahaya mata sama ada mahu membedung bayi mereka atau tidak. Sering menjadi persoalan adalah, bedung bayi sampai umur berapa sebenarnya?
Ada yang mencadangkan supaya bayi tidak dibedung kerana bimbang akan mengganggu perkembangannya dan ada juga pendapat yang mengatakan sebenarnya baik untuk membedung bayi tetapi tidak boleh terlalu ketat.
Baca juga: Jururawat Kongsi 4 Langkah Bedung Bayi Untuk Mudahkan Mereka Tidur, Memang Berkesan!
Bedung bayi sampai umur berapa?
Menurut doktor, Dr Imelda Balchin, bila kita membedung bayi yang baru dilahirkan, dia akan tidur lebih lena dan kurang menangis.
Membedung bayi memberi lebih ketenangan kepada bayi, membantu menstabilkan suhu badan bayi dan mengurangkan risiko kematian bayi mengejut (sudden infant death syndrome) jika ditidurkan menelentang di atas belakangnya.
Jadi tidaklah menjadi kesalahan untuk membedung bayi kerana ada manfaat yang boleh diperoleh daripada perbuatan ini. Menurut Dr Imelda dengan membedung bayi ia boleh:
#1. Memberi ketenangan kepada bayi
Mungkin dalam keadaan berbedung bayi akan rasa seperti dalam pelukan dan lebih warm. Ia sekaligus memberi ketenangan yang akan menimbulkan rasa selamat dalam diri anak kecil.
Apabila dibedung, bayi rasa seakan-akan dilindungi. Perasaan dilindungi sekaligus akan menimbulkan ketenangan kepada mereka.
#2. Tidur lebih lena
Apabila rasa selamat dan tenang, anak kecil ini akan tidur dengan lebih lena dan tiada pergerakan mengejut yang akan membuatkannya mudah terjaga daripada tidur.
Disebabkan itu jika mahu bayi baru lahir tidur lena, bedunglah anak-anak ini.
#3. Kurang menangis
Bayi menangis atas beberapa sebab, antaranya dia rasa tidak selamat dan tidak dilindungi. Jadi dengan membedungnya, dia akan rasa lebih tenang, dilindungi dan selamat.
Ia sekaligus mengurangkan sebab untuk mereka menangis. Mereka menangis bukan hanya sebab rasa lapar dan lampin basah saja ya, jika tidak selesa dengan keadaan sekeliling, ia juga boleh membuatkan bayi ini menangis.
Jika terkejut juga boleh membuatkan dia menangis, jadi dengan membedungnya risiko untuk selalu terkejut dapat dikurangkan.
#4. Kurangkan risiko kematian mengejut
Sering didengar kematian mengejut membabitkan bayi, jadi dengan membedungnya, menurut doktor ia dapat mengurangkan risiko kematian mengejut dalam kalangan bayi.
#5. Bantu stabilkan suhu badan bayi
Perkara ini bergantung juga pada cuaca sekeliling. Jika persekitaran sejuk, mungkin bedung boleh membantu memstabilkan suhu badan bayi supaya mereka tidak merasa terlalu sejuk dan membuatnya tidak selesa.
Bedung ini akan membuatkan bayi rasa sentiasa selesa dengan keadaan suhu yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
Jangan bedung bayi terlalu ketat
Menurut Dr Imelda lagi, jangan bedung bayi terlalu ketat kerana ia akan menganggu fungsi sendi pinggulnya.
Tetapi bila dibedung, jangan laaaa terlalu ketat terutamanya di bahagian kaki. Jika bedung kaki terlalu ketat sampai bayi tak boleh menggerakkan kakinya, ini boleh mengganggu fungsi sendi pinggul. Masalah ini dinamakan hip dysplasia yang lebih kerap berlaku di kalangan bayi yang kakinya dibedung terlalu ketat.
Apabila dibedung terlalu ketat, bayi tidak akan dapat menggerakkan kakinya yang sekaligus menganggu fungsi sendi pinggul. Ini akan menyebabkan hip dysplasia yang kerap berlaku jika bayi dibedung terlalu kuat.
Selain itu, ada bayi yang tenang jika dibedung tangannya, tetapi ada juga bayi yang tidak suka tangannya dibedung, jadi anda boleh keluarkan tangan bayi jika dia tidak menyukainya.
Jangan tiarapkan bayi apabila dibedung
Di hospital anda mungkin selalu nampak, tetapi ia dibuat dengan pemantauan daripada jururawat bertauliah dan doktor. Di rumah anda tidak digalakkan membedung bayi dan menidurkannya dengan cara meniarap kerana ia boleh menyebabkan bayi anda kelemasan.
Bila patut berhenti bedung bayi?
Menurut Dr Imelda bila bayi sudah mula bergolek atau mula berusaha menggulingkan diri untuk meniarap berhentilah membedungnya.
Selalunya bila usia 3 bulan. Jika bayi yang sudah boleh bergolek-golek masih dibedung, ini boleh membahayakan, maka kita boleh berhenti membedung baby dan berikannya kebebasan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Imelda Balchin