Bagi menghargai jasa dan pengorbanan kedua-dua orang tua, anak-anak biasanya akan beli barang untuk keperluan ibu bapanya seterusnya membuatkan mereka rasa dihargai.
Ini kerana, siapalah kita di dunia ini jika tanpa ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita sehingga berjaya sampai ke hari ini.
Sebab itu kadang-kadang kita dapat melihat tular video anak-anak yang membeli kereta, perabot rumah dan sebagainya untuk ibu ayahnya di kampung.
Tapi, tahukah anda bahawa jika ibu bapa meninggal dunia, anda tidak boleh mengambil semula barang-barang tersebut dan jika ia berlaku termasuk dalam hukum haram.
Beli barang untuk mak ayah, tak boleh ambil semula lepas mereka meninggal
Penjelasan tersebut dihuraikan oleh Ustaz Ahmad Nassri Ibrahim yang memiliki kepakaran berkaitan perancangan harta dan pengurusan Faraid, Wasiat dan Hibah.
Menurut Ustaz Ahmad Nassri, beli barang untuk ibu bapa seperti perabot, almari, peti ais, tv dan periuk elektrik semuanya kita tidak boleh mengambilnya semula dan jatuh hukum haram jika diambil balik.
Walaupun anda kata itu adalah barang yang anda beli tapi tetap tak boleh ambil kerana ia sudah menjadi harta pusaka.
Maksudnya di sini, anda tidak boleh ambil sebelum mendapat keizinan semua waris.
Pendek kata, jangan suka-suka nak ambil barang dalam rumah mak ayah selepas ketiadaan mereka sebab ada hak waris lain dalam harta pusaka tersebut. Sebabnya barang tersebut anda telah berikan pada mak ayah jadi ia bukan lagi milik anda.
Tapi keadaan akan jadi lain jika anda hanya sekadar meminjamnya kepada orang tua.
Namun, jika rasa was-was dan takut termakan harta pusaka adalah lebih baik merujuknya kepada mereka yang lebih arif tentang hal tersebut.
Dalam masa yang sama, Ustaz Ahmad turut menjawab persoalan lain tentang hal ini.
1) Sebelum ibu meninggal, ibu ada berpesan supaya pulangkan barang kemas yang anak-anak beli kepada pemberinya. Jadi, boleh tak serahkan barang tersebut kepada si pemberi?
Jawapan daripada Ustaz adalah barang kemas ibu itu adalah pusaka ibu. Pesanan ibu itu terpakai jika semua waris setuju. Jika ada yang bantah, kena buat faraid.
2) Misalnya barang yang kakak beli masih berhutang tapi atas nama mak dan bukan kakak. Tapi bila mak meninggal, barang jadi pusaka dan kakak enggan bayar sebab dia tak boleh ambil sebab barang itu sudah jadi
pusaka. Persoalannya di sini, hutang mak itu, siapa yang kena sambung bayar sebab barang nama mak. Sebabnya, kakak mesti berat hati nak sambung sebab dia tak boleh ambil barang itu. Contohnya seperti tv, barang elektrik dan lain-lain
Jawapan daripada ustaz, hal ini perlulah dibincangkan bersama pemberi hutang dan menyemak semula perjanjian jual beli.
Menurut Ustaz Ahmad, barang yang masih berhutang belum sempurna miliknya, jika hutang boleh diambil alih maka orang itu boleh ambil barang tersebut dengan tukar nama dan sambung bayar ansuran.
Kesan jika harta pusaka tidak diurus dengan baik
Termakan harta anak yatim
Ini berlaku apabila pemegang amanah yang bertanggungjawab menguruskan harta anak yatim tidak memahami dan tidak amanah hingga terpedaya dengan harta tersebut.
Termakan harta orang lain secara batil
Maksudnya di sini, ada waris yang dinafikan haknya oleh waris-waris yang lain.
Menzalimi si pemilik harta pusaka
Ini berlaku apabila hak si mati belum ditunaikan oleh waris seperti upah haji, hutang dan lain-lain.
Justeru, sekiranya mak ayah meninggal dunia dan meninggalkan harta pusaka adalah sebaiknya adik beradik berbincang dengan baik supaya setiap hak dapat diagihkan dengan bertimbang rasa dan sempurna.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua dan jangan lupa untuk kongsikan bersama rakan yang lain.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Ahmad Nassri Ibrahim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.comtanggungjawab-isteri-selepas-kematian-suami