Siapa tidak kenal dengan Ben Affleck? Seorang pelakon, pengarah dan penulis skrip yang kini menggalas watak Bruce Wayne atau Batman dalam filem terbitan DC Comics.
Kemunculan terakhir Affleck di layar perak adalah ketika Anugerah Oscars yang berlangsung pada bulan Februari tempoh hari. Affleck berganding dengan Matt Damon (mereka pernah menulis skrip filem Good Will Hunting bersama) buat julung kalinya. Casey Affleck, adik Ben pula memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Lewat beberapa jam tadi, Ben Affeck berkongsikan satu pengakuan di laman Facebook.
Pengakuan tersebut dipetik mengatakan;
Saya telah melengkapkan rawatan pemulihan kerana masalah ketagihan alkohol yang telah menghantui saya selama ini. Saya ingin menikmati hidup ini sepenuhnya dan ingin jadi bapa terbaik untuk anak-anak saya. Saya mahu anak-anak saya tahu tiada apa yang perlu dimalukan jika anda ingin mendapatkan bantuan.
Pelakon itu pernah dimasukkan ke dalam pusat pemulihan bagi menangani masalah yang sama pada tahun 2001. Nyata, masalah ketagihan alkohol yang dilalui oleh Affleck sekarang memberi kesan.
Namun, usahanya untuk memasuki pusat pemulihan demi menjadi bapa terbaik buat anak-anaknya harus dihormati. Affleck sedar betapa penting kesihatan mental dan fizikal demi menjaga tanggungjawab (anak-anak).
Dalam pengakuan yang ditulis, Affleck ingin membuktikan pada anak-anaknya agar tidak berasa malu atau gentar untuk mendapatkan pertolongan.
Tambah Affleck, pengakuan ini juga diharapkan mampu menjadi kekuatan dan sokongan buat mana-mana individu yang perlu akan bantuan tapi terlalu takut untuk mendapatkannya.
Laporan Huffington Post menulis, usaha Ben Affleck untuk menangani masalah ketagihan alkohol tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada keluarga, rakan-rakan malah bekas pasangannya — Jennifer Garner.
Mereka telah mengumumkan perpisahan mereka pada tahun 2015 selepas berkahwin selama 10 tahun. Kedua-dua pasangan kini menjaga 3 anak mereka — Violet (11), Seraphina (8) dan Samuel (5) bersama-sama. Akan tetapi, tiada tanda-tanda mereka akan berkahwin semula kerana proses penceraian masih berjalan kini.
Usah segan untuk mendapatkan bantuan
Pengakuan Ben Affleck disambut dengan penuh positif menerusi komen-komen di laman Facebook. Pengakuan ini membuktikan anda tidak perlu berasa segan apatah lagi takut untuk mendapatkan sebarang bantuan.
Semua ini demi anak-anak anda! Bukankah mereka nyawa anda? Tugas anda adalah untuk melindungi mereka. Oleh itu, anda perlu kuat untuk menangani segala masalah yang membelenggu anda sekarang.
Di Malaysia, kerajaan menawarkan pelbagai program untuk memberi bantuan dan sokongan kepada ibu bapa yang memerlukan.
Tidak kira sama ada anda memerlukan bantuan kewangan, bantuan pendidikan, bantuan berhubung ketidakupayaan atau sebagainya, segera dapatkan bantuan yang telah disediakan.
Usah khuatir dengan “kata” orang. Mereka bukan di tempat kita. Mereka tidak tahu derita, kesusahan dan masalah kita.
Jika anda mencari bantuan kewangan, cuba dapatkan bantuan daripada pusat zakat setiap negeri, atau rujuk info ini untuk keterangan lebih lanjut.
Manakala untuk bantuan pendidikan seperti yayasan atau pinjaman, dapatkan pencerahan daripada blog post ini.
Buat mana-mana ibu/bapa tunggal yang inginkan bantuan — hubungi Yayasan Pembangunan Keluarga.
Di mana saja anda berada, bantuan sentiasa ada. Mari berubah demi anak-anak tercinta.
Kredit gambar: Getty Images
Sumber rujukan: People, The Huffington Post, Facebook, Info Bantuan Kewangan dan Tawaran Biasasiswa