Dari semasa ke semasa kita akan terdengar kisah tentang penemuan benda jijik dalam kotak susu yang dilaporkan oleh ramai ibu di merata dunia.
Baru tahun lepas Channel NewAsia menceritakan pengalaman seorang ibu di Singapura yang terjumpa benda jijik dalam kotak susu berbentuk “seperti kulit ikan dan susu tepu yang berwarna kekuningan.”
Benda aneh itu dijumpai dalam kotak susu Marigold anaknya.
Ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Joanne itu berkata anaknya sudahpun minum setengah susu dari kotak itu.
Joanne pasti tidak tahu ada benda jijik dalam kotak susu anak itu, sekiranya dia tidak memutuskan untuk menuang baki susu ke dalam gelas!
Benda jijik dalam kotak susu dilaporkan pada pihak berkuasa
Selepas Joanne berkongsi gambar benda pelik yang telah dikeluarkan dari kotak susu di Facebook, Marigold Singapura telah menghubunginya.
Marigold meninggalkan komen di Facebook dan meminta Joanne untuk menghantar balik benda pelik itu dan mereka akan memberi 2 kotak susu baru sebagai gantian.
Joanne menolak tawaran mereka dan telah menghantar benda pelik itu ke Agri-Food & Veterinary Authority of Singapore, serta pihak berkuasa dan organisasi lain yang berkaitan, untuk menentukan apa objek itu.
Apa pendapat ibu-ibu tentang benda jijik dalam kotak susu ini?
theAsianparent telah bertanya beberapa ibu tentang kejadian ini dan jika mereka akan berhenti membeli susu Marigold selepas ini.
Samantha Bek, dengan anak bongsu berumur 2 tahun berkata:
“Saya rasa jijik sangat melihat apa yang terdapat dalam kotak susu itu. Lagipun kami jarang potong dan tuangkan susu ke dalam gelas. Biasanya anak akan minum terus saja. Geli pula apabila kita tidak tahu apa yang sebenarnya ada dalam kotak susu itu. Tapi jika ia hanya kes terpencil, saya mungkin tidak akan berhenti membeli susu Marigold. Kalau kata nak boycott, macam tu, baik boycott je semua jenis minuman dalam kotak. Lebih baik kalau lain kali kita tuang keluar dan periksa dulu tiada benda jijik dalam kotak susu sebelum diberi kepada anak.”
Jaya Mahesh, ibu kepada 2 orang anak pula, berkata:
“Saya sendiri kurang pasti jika kejadian ini cuma kes terpencil dan tidak akan berulang. Tapi jika saya nampak jenama ini saya pasti akan terfikir balik kejadian ini.”
Apa ibu bapa boleh lakukan untuk mengelak situasi ini?
Kami menasihatkan ibu bapa untuk berhati-hati apabila membeli minuman berkotak kerana ini bukan kali pertama perkara ini telah berlaku.
Pastikan ibu bapa semak tarikh luput pada kotak dan tuang keluar inti kotak minuman atau susu ke dalam gelas ataupun botol susu dulu.
Ini satu-satunya cara untuk memastikan tiada benda pelik dalam kotak susu atau kotak jus anak.
Selain kes diatas, produk susu coklat Marigold HL turut telah ditarik balik di Malaysia tahun 2016 apabila didapati ada kes pencemaran bakteria.
Pada tahun yang sama satu lagi kejadian telah dilaporkan oleh The Local Society di mana seorang ibu telah terjumpa benda pelik dalam kotak jus anaknya.
Oleh itu, pastikan ibu bapa tuang keluar inti kotak minuman atau susu ke dalam gelas ataupun ke dalam botol susu dulu. Kotak minuman memang memudahkan kerja ibu bapa kerana ia senang dibawa bersama dan anak senang minum juga.
Tetapi jika kita tidak membuka dan tuang keluar inti kotak itu, kita tidak akan tahu jika ada benda-benda pelik atau extra yang mungkin bersembunyi di dalamnya.
Sumber: Channel NewsAsia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: