Siapa yang tak mahu anaknya cerdik dalam pembelajaran, bijak dalam bercakap dan cekap dalam mengira. Tapi bagaimana pula memiliki anak yang kreatif & inovatif? Mesti anda pernah terfikir bagusnya kalau anak-anak ni pandai melukis, mana tahu kelak boleh jadi pelukis handalan seperti Monet atau Frida Kahlo.
Tapi alangkah bagus juga kalau anak-anak berinovatif, seperti mereka sesuatu yang lebih ‘advanced’ baik dari segi teknologi atau Sains. Mungkin merekalah perintis kepada Steve Jobs, Mark Zuckerberg atau Elon Musk, wah bukan main berangan.
Tapi tahukah anda bukan mudah untuk membesarkan anak yang kreatif & inovatif ini. Mengikut kajian salah satu tip penting untuk menjadikan anak lebih kreatif adalah jangan menyekat kebebasan anak-anak. Dalam erti kata lain, ibu bapa perlu lebih banyak bersabarlah!
Mengikut artikel The New York Times dalam How to Raise a Creative Child. Step One: Back Off, oleh Adam Grant, kanak-kanak yang hanya mengikut normal ibu bapa di rumah juga peraturan di sekolah tidak akan selalunya menjadi orang yang mengubah dunia.
Mereka berpendapat bahawa, kanak-kanak ini tentu kekurangan skil sosial dan emosi dalam masyarakat. Mengikut bukti yang terkumpul, walaupun tidak banyak tapi telah membuktikan kurang daripada suku kanak-kanak yang berbakat mempunyai masalah sosial dan emosi. Sedangkan majoriti daripada anak-anak yang berbakat ini adalah yang mudah bergaul, lebih relaks dan peramah.
Apa yang selalunya menghalang mereka untuk menjadi kreatif adalah mereka tidak mempunyai originaliti. Mereka sentiasa dipengaruhi keadaan sekeliling yang memberitahu mereka apa yang betul dan tidak, lantas mereka tiada lagi merasakan pendapat mereka penting.
Mereka akan sentiasa melakukan perkara yang disukai ibu bapa dan guru demi untuk meraih perhatian mereka. Sedangkan kajian menunjukkan kanak-kanak atau murid kesayangan ibu bapa dan guru jarang sekali menjadi orang yang kreatif dan yang mengubah dunia.
Perbezaan anak berbakat dan kreatif
Anda perlu tahu perbezaan anak berbakat dengan anak yang kreatif. Anak yang berbakat akan pandai bermain piano dengan lagu dan melodi yang sedia ada, namun anak yang kreatif akan mencipta lagu dan melodinya sendiri.
Apabila anak-anak dewasa, ramai anak-anak yang cerdik dan bijak asalnya akan menjadi sesorang yang mahir dalam industri masing-masing. Mereka mungkin akan menjadi doktor yang berjaya mengubati pesakit mereka.
Atau menjadi peguam yang berjaya memenangi beberapa kes. Tapi adakah mereka akan menjadi doktor yang bisa memperbaiki sistem perubatan yang teruk? Manakala sebagai peguam pula, adakah mereka berjaya menggubal undang-undang sendiri?
Jadi itulah perbezaannya ‘protege’ yang dibentuk ibu bapa dan guru-guru. Mereka akan gunakan kemampuan mereka yang luar biasa itu untuk menyerlah dalam kerja dan bidang mereka.
Jadi ini antara apa yang disarankan jika anda ingin membesarkan seorang anak yang kreatif & inovatif:
#1. Kurangkan peraturan
Mengikut kajian antara dua keluarga yang berbeza, keluarga satu mempunyai enam peraturan dalam rumah mereka seperti waktu tidur dan membuat kerja sekolah yang spesifik, manakala keluarga dua mempunyai hanya satu peraturan sahaja.
Hasil kajian mendapati keluarga dua yang mana anaknya mempunyai hanya satu peraturan mempunyai tahap kecerdasan dan kreativiti yang lebih tinggi berbanding keluarga satu.
Kreativiti memang bukan mudah untuk diterapkan tapi boleh dibimbing. Dengan mengehadkan peraturan, anak-anak akan lebih bebas untuk berfikir dengan sendiri. “Mereka akan berfikir dengan nilai moral daripada berfikir mengikut peraturan,” kata pakar psikologi Harvard, Teresa Amabile.
#2. Beri kebebasan
Kebebasan dalam berfikir, membuat keputusan dan bertindak atas emosi anak-anak adalah antara faktor yang dapat membantu kreativiti anak-anak.
Ibu bapa yang menerapkan keseronokan dalam apa yang dilakukan dapat memupuk kebebasan anak dalam berfikir sendiri nilai-nilai mereka dan menerokai minat mereka.
Apabila pakar psikologi Benjamin Bloom mengetuai datu kajian dalam mencipta ahli muzik, atlet dan saintis bertaraf dunia, dia mendapati sejarah didikan ibu bapa keluarga mereka tidaklah mengidamkan anak menjadi bintang terkenal.
Mereka hanya respon kepada keinginan anak-anak mereka dan apabila anak-anak menunjukkan minat pada sesuatu mereka akan menyokong sepenuhnya.
#3. Jangan berputus asa
Asalnya mungkin ada ramai ibu bapa yang memang menerapkan nilai ingin mendidik anak-anak dengan semula jadi dan lebih ‘cool’. Tapi apabila anak-anak bertindak diluar kawalan dan mula hilang fokus lantas mengakibatkan kegagalan, anda terus melatah dan kembali menjadi ibu bapa yang ‘strict’.
Sebenarnya mendidik anak-anak yang kreatif ini memerlukan kesabaran. Bayangkan hasilnya apabila dia besar kelak. Tentu berbaloi bukan pengorbanan anda sekarang.
Ya, memang tidak semua kanak-kanak serasi dengan teknik didikan sebegini. Apa-apa pun terserah kepada cara keibubapaan masing-masing dan bagaimana anak anda memberi reaksi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: The New York Times
Baca juga:
https://my.theasianparent.comgenerasi-yang-lahir-sebelum-tahun-1985-lebih-kreatif