Dalam musim pandemik Covid-19 ini antara yang terkesan pastilah ibu-ibu hamil yang bakal bersalin. Kali ini kami kongsikan pengalaman yang diceritakan ibu-ibu yang melaluinya. Yang penting pesan mereka, bersedia mental fizikal untuk berpisah sementara dengan bayi.
Memang bukan mudah. Terpaksa berpisah dengan bayi kerana jaundice pun sudah cukup menguji kesabaran hati, inikan pula terpisah kerana perlu kuarantin.
Paling tidak 10 hari bayi dan ibu terpaksa dipisahkan. Mungkin ada juga yang terkesan emosi dengan laporan berita mengenai ibu-ibu hamil yang positif covid-19 meninggal dunia sebaik saja bersalin atau beberapa hari selepas bersalin. Apa yang penting ketika ini tetapkan minda yang positif dan banyakkan berdoa semoga semuanya selamat.
Berpisah dengan bayi antara detik menguji ibu bersalin positif Covid-19
Perkongsian Dr Redza Zainol di laman facebook mengenai pengalamannya terlibat dalam proses ini amat mengusik perasaan sesiapa saja yang membacanya.
Berikut adalah perkongsian doktor ini:
“Redza, kita ada seorang ibu positif Covid yang dah mula ada tanda nak bersalin. Pasukan O&G nak caesar petang ni juga.
Kes ni kes besar. Saya nak you standby dalam bilik pembedahan.”
Ibu ni sebenarnya petugas kesihatan. Awal-awal lagi dia dah lengkapkan 2 dos vaksin. Lepas dia mula demam, sampel swab yang diambil sahkan ibu ni dah dijangkiti Covid.
Tempat pembedahan untuk ibu bersalin sengaja diletak jauh dari blok utama hospital. Biar jauh dari orang ramai dan staf kesihatan yang tak berkaitan.
Sambil saya berjalan kaki ke sana, saya ingat semula setiap langkah yang perlu dibuat. Dah selalu juga kami terima kes serius begini.
Saya sebagai doktor kanak-kanak bersedia untuk sebarang kemungkinan bila bayi tu keluar nanti. Di bilik pembedahan, semua berjalan lancar.
Selepas 10 minit berlalu, bergema bilik pembedahan dengan tangisan bayi. Syukurnya dalam hati. Saya terus memeriksa bayi. Nafasnya tak laju, kulitnya merah, degupan jantung pun kuat. Alhamdulillah.
Tak jauh dari situ, mata si ibu tak berkelip memandang anaknya. ”Saya nak tengok anak saya,” rayu ibu tu. Walaupun sedang dibedah, yang difikirnya cuma satu. Nyawa anaknya.
Ibu dan bayi dipisahkan sementara
Kami tunjukkan bayi tu sekejap sebelum terus dimasukkan dalam inkubator dan ditolak keluar dari bilik pembedahan.
“Puan, kami bawa anak ke wad bayi dulu.”
2 ambulans di luar dah bersedia. Satu untuk bayi. Satu lagi untuk ibu.
Transmisi jangkitan rendah, tapi tidak boleh ambil risiko
Transmisi jangkitan Covid-19 dari ibu yang mengandung pada bayi sangat rendah, tapi kami tak nak ambil risiko tu. Berat juga hati nak pisahkan ibu dan anak tapi itulah yang terbaik buat masa tu.
Biarlah kami yang jaga bayi tu sementara ibunya dirawat dan berehat. Deritanya menjadi ibu yang dijangkiti Covid, hanya Allah yang tahu. Sudah lah dibedah, kemudian masuk pula ke wad isolasi.
Tak ada tangan suami yang mengenggam tangan isteri ketika melalui waktu sukar. Saya dan staf kesihatan lain hanya buat apa yang kami mampu. Yang lain, kami serahkan pada Allah.
10 hari berpisah dengan bayi – Ibu bersalin dengan positif Covid-19
Ibu ini menceritakan beliau perlu berpisah 10 hari dengan bayi yang bari dilahirkan. Susu badan terpaksa di pam dan dibuang kerana tidak boleh diberikan kepada bayi.
Baca juga: Ibu Hamil Yang Positif Covid-19 Disaran Bersalin Secara Caesar, Ini Penjelasan Doktor
Baca juga: Azab Sakit Kontraksi & Bukaan Rahim 10 cm, Ibu Ini Jujur Dia Dengan Suami Disyaki Positif Covid
Baca juga: Waspada Tanda-Tanda Covid-19 Pada Kanak-Kanak, Anak Kecil Perlu Rawatan Rapi Jika Dijangkiti