Ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. Pastinya bagi sesetengah orang akan berasa bosan di rumah dan akan melakukan pelbagai perkara baharu.
Jika sebelum ini anda terlalu sibuk dengan tugas seharian, inilah waktu yang sesuai untuk melayan pasangan dan anak-anak dengan sehabis mungkin.
Rasa bosan di rumah ketika PKP
Arahan kawalan pergerakan memerlukan semua orang ramai untuk kekal berada di dalam rumah bagi mengekang penularan virus berkenaan.
Memandangkan ia memerlukan suatu tempoh yang agak lama dan operasi kedai-kedai kecil diberhentikan buat sementara waktu, ada yang terdesak untuk memotong rambut sehingga memerlukan bantuan dari pasangan mereka.
Di UK, gara-gara isteri berasa bosan di rumah, mereka telah menonjolkan ”bakat” kreatif menjadi pendandan rambut profesional.
Disebabkan oleh terlalu sayangkan isteri, para suami hanya memenuhi sahaja kehendak isteri yang ingin membuat gaya potongan rambut lain daripada yang lain.
Pastinya hal ini membuatkan perasaan sedikit berdebar kerana rambut adalah perkara yang paling disayangi oleh setiap lelaki.
Masing-masing telah akur kerana kedai gunting diarahkan tutup dan para suami perlu melayan isteri tercinta ketika berada di rumah.
Meskipun mengikuti cara potongan rambut di internet, namun dalam realiti, hasilnya tidak sama sekali seperti yang dilihat dan mungkin kelihatan sedikit buruk.
Kalau dah sayang isteri, semuanya anda sanggup lakukan. Kami mendoakan semua para suami sabar melayan karenah isteri ketika tempoh kawalan pergerakan ini.
Peluang mengeratkan hubungan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac nyata memberikan pengalaman baharu bagi ketua keluarga membantu isteri melakukan pelbagai perkara.
Masa terluang berikutan tidak perlu keluar berkerja telah mendorong kaum lelaki melakukan kerja rumah seperti membeli barang dapur, mengemas rumah, memasak dan menjaga anak.
Apa yang pasti, sekiranya anda dan pasangan bijak memenuhi waktu berharga ini, rasa bosan di rumah pastinya tidak pernah wujud. Caranya adalah:
#1. Meluangkan masa dengan keluarga
Tempoh PKP adalah peluang yang terbaik untuk meluangkan masa dengan keluarga. Bagi yang bekerja di rumah, tidak semestinya masa 24 jam hanya dihabiskan menghadap komputer.
Waktu rehat boleh digunakan untuk bermesra dengan pasangan dan anak-anak. Selain itu, anda juga sudah tidak berhadapan dengan jadual seharian yang sibuk.
Pastikan anda benar-benar menghargai waktu berharga ini dengan menambah kembali nilai kasih sayang dan mencintai diri, pasangan serta anak-anak.
#2. Membuat kerja rumah
Sekiranya sebelum ini anda hanya membiarkan isteri seorang diri melakukan segala tugasan mencuci rumah, apa kata kali ini ringankan beban mereka dengan sama-sama lakukannya.
Ingat, menguruskan rumah bukan tanggungjawab isteri semata-mata. Bantulah cuci bilik air, mop lantai, vacuum seluruh rumah, cuci tingkap, buang sampah, memasak, beli barang keperluan, mandikan kucing dan sebagainya.
Semoga ia menjadi tabiat yang diteruskan sampai bila-bila. Pastinya ia dapat mendidik anda jadi suami terbaik dan penyayang.
#3. Aktiviti bermanfaat
Perkara ketiga yang boleh dilakukan ialah aktiviti bercerita atau membaca bersama anak. Inilah masanya anda menggunakan bakat kreativiti masing-masing untuk menarik perhatian si manja.
Bukan itu sahaja ibu ayah boleh mengaturkan pelbagai permainan bermanfaat yang menguji minda. Misalnya, permainan cari dan sembunyi, teka teki, permainan tradisional atau pertandingan karaoke.
Sediakan sedikit hadiah atau token bagi yang menang. Bayangkan keseronokan wajah masing-masing ketika ini. Rakamkan momen-momen menarik untuk tatapan pada kemudian hari.
#4. Bersenam secara konsisten
Usah jadikan PKP sebagai alasan untuk anda tidak bersenam. Hal yang perlu anda sedari adalah tempoh duduk di rumah ini akan mendorong anda makan lebih banyak.
Hal ini kerana kaki akan lebih kerap berjalan ke dapur, tutup dan buka peti sejuk serta memeriksa stok makanan yang ada di dalam almari.
Bukan itu sahaja, bagi ibu ayah yang bekerja di rumah akan lebih kurang bergerak. Kalau bergerak pun, hanya ke dapur atau tandas sahaja. Ia tidak dikira sebagai senaman.
Jangan terkejut kalau berat badan anda semakin bertambah selepas berakhirnya PKP. Kalau nak elakkan perkara ini dari berlaku, jangan sesekali mengabaikan senaman.
Sumber: Malaymail, Majalah Labur
Kredit foto: Getty images, shutterstock
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: