Malang sememangnya tidak berbau. Itulah yang terjadi kepada Puan Zuraihan Selina Suharin baru-baru ini. Anak kecilnya, Janna, yang baru berusia 9 bulan kedengaran menangis di dalam bilik permainannya.
Beliau kemudian masuk ke bilik anaknya dan mendapat si kecil itu tertiarap di lantai, tidak begerak.
Apabila diterbalikkan anaknya, Janna mula kelihatan biru. Dalam keadaan panik, beliau teringat tentang CPR (Cardiopulmonary Resuscitation). Segera dilakukan CPR kepada si kecil.
Di saat beliau sudah mula berputus asa, Janna tiba-tiba terbatuk dan menangis. Sebagai rawatan susulan, beliau membawa si kecil berjumpa dengan doktor.
Ketika inilah beliau tahu tentang gejala Breath Holding Spells.
Apakah Itu Breath Holding Spells?
Breath Holding Spells, ataupun gejala nafas terhenti atau tertahan untuk beberapa ketika, adalah satu perkara yang agak biasa terjadi pada kanak-kanak – sama ada kita sedar atau tidak.
Menurut Dr. Sarah Roddy, Profesor dari Sekolah Perubatan Universiti Loma Linda dari California, ia boleh berlaku pada kira-kira 4 ke 5% kanak-kanak.
Ia adalah situasi yang berlaku selepas anak kecil menangis dengan teruk di atas beberapa sebab seperti sakit, ketakutan, terkejut, lapar, atau marah, dan kemudiannya hilang sedar. Beberapa ketika selepas itu, anda akan mula perasan yang bibir atau wajahnya bertukar pucat dan biru.
Ada juga laporan yang menyatakan ia terjadi akibat kekurang zat besi (iron) dalam badan.
Adakah Gejala Breath Holding Spells Berbahaya?
Apabila membaca keterangan di atas, kedengaran seperti ia adalah sesuatu yang berbahaya kepada kanak-kanak, bukan?
Jangan risau, menurut Dr. Roddy, ia tidak berpanjangan. Selalunya, ia berlaku dalam masa seminit dua sahaja. Ia adalah sesuatu yang berlaku pada anak-anak dan di luar kawalan mereka.
Kebiasaannya, gejala nafas terhenti ini berlaku pada anak-anak pada usia 6 hingga 18 bulan, dan akan berhenti sendiri apabila dia mencecah usia 4 ke 7 tahun.
Bolehkah Gejala Nafas Terhenti Seketika ini Merosakkan Otak Anak Saya?
Tidak. Gejala nafas terhenti seketika ini tidak akan menyebabkan kerosakan pada otak. Ia juga bukan sejenis penyakit sawan.
Cumanya, apabila ia berlaku pada anak kita, ibu bapa pasti akan berasa panik. Pengalaman melihat anak kaku dan bertukar pucat boleh menyebabkan trauma pada ibu atau bapa.
Jika ia berlanjutan terlalu kerap dan menyebabkan anda tertekan, mungkin bantuan dari pakar terapi profesional atau kaunselor dapat membantu memberikan kekuatan mental buat anda.
Apakah yang Boleh Saya Lakukan Apabila Anak Terkena Breath Holding Spells?
Jika situasi ini terjadi pada anak anda, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan.
- Pertama sekali, bertenang – Memang kedengaran senang, tetapi saya tahu tidak mudah untuk dilakukan. Namun, anda patut cuba. Bertenang dan cuba langkah yang seterusnya ini.
- Baring dan mengerengkan anak di lantai – Ini dapat membantu mempercepatkan pengaliran darah ke kepala supaya dia lekas sedar. Selalunya, mereka akan mula sedar beberapa minit kemudian.
- Lakukan CPR – Jika nafas yang terhenti secara automatik ini berlanjutan melebihi 3 minit, anda patut memulakan proses CPR – seperti yang dilakukan oleh Puan Zuraihan. Proses ini berbeza di antara bayi dan kanak-kanak. Jadi, pastikan anda belajar tentang ilmu CPR bagi kedua-dua kumpulan ini.
Dalam video di atas, kami kongsikan cara-cara melakukan CPR kepada bayi dan anak kecil. Perhatikan perbezaan pada kedua-duanya.
Jika anda berasa risau tentang keadaan anak anda, bawanya berjumpa dengan doktor segera. Mungkin ada rawatan perubatan yang boleh diberikan jika doktor anda merasakan yang ianya bersesuaian.
Pernahkah anda mengalami situasi panik seperti ini? Adakah anak anda cenderung kepada gejala nafas tertahan seketika seperti kisah yang dikongsikan di atas? Kongsi pengalaman anda di ruang komen supaya ibu bapa lain dapat mengambil manfaat dari perkongsian anda!