Buku Bergambar Kurang Berkesan Apabila Mengajar Anak Membaca

Apakah buku-buku yang lebih berkesan apabila mengajar anak untuk membaca? Mari kita bincangkan.

Membaca adalah satu aktiviti yang mendatangkan pelbagai faedah di mana pembaca boleh memperolehi ilmu pengetahuan.

Ibu bapa adalah orang pertama yang boleh memperkenalkan dan menggalakkan anak-anak mereka membaca.

Ada yang mengatakan anak lebih pandai berbahasa jika bapa yang membacakan buku cerita sebelum tidur.

Maka, tidak hairanlah jika ada di antara barang-barang permainan kepunyaan anak itu merupakan beberapa buku bergambar.

Semua orang tahu bahawa apabila sebuah buku mempunyai banyak gambar, buku itu akan nampak lebih menarik dan seronok untuk dibaca.

Tetapi menurut kajian baru yang dilakukan oleh Universiti Sussex, buku-buku yang mempunyai gambar mungkin boleh mendatangkan masalah terutamanya apabila anak baru belajar membaca.

Membaca buku bergambar

Penyelidik mendapati bahawa pembelajaran perbendaharaan kata jauh lebih berkesan, jika kanak-kanak telah membaca buku yang tidak mempunyai terlalu banyak gambar.

Kajian tersebut telah dijalankan atas kanak-kanak yang berusia 3 tahun dengan orang dewasa, semasa sesi bercerita.

Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan di mana satu kumpulan diberi buku dengan gambar pada kedua-dua belah muka surat, dan kumpulan yang satu lagi, dengan gambar pada sebelah muka surat sahaja.

Kanak-kanak yang telah diajar dari buku yang kurang bergambar, telah mencapai keputusan yang lebih baik dan mereka berjaya belajar kata-kata baru.

Ujian ini kemudian diulang semula dengan buku yang mempunyai dua gambar, di mana orang dewasa diarahkan untuk membaca sambil menunjuk ke arah imej yang betul.

Penyelidik mendapati kebanyakkan kanak-kanak tidak dapat menumpukan perhatian dan senang keliru apabila diberi maklumat visual tambahan.

Mereka menyimpulkan bahawa apabila kanak-kanak diberi maklumat yang lebih fokus bersama dengan bimbingan yang betul, mereka boleh belajar dengan lebih berkesan. 

Walau bagaimanapun, kajian ini bukan kajian pertama yang menunjukkan ketidakberkesanan buku bergambar untuk kanak-kanak yang baru belajar membaca.

Keputusan kajian dari tahun 1976 ini juga telah membuktikan bahawa kanak-kanak yang membaca buku yang tidak bergambar, boleh mengingati perkataan yang dibaca dengan lebih baik.

Baca juga:

Apa Ibu Bapa Harus Buat Bila Anak Cakap Dia Tak Suka Membaca?

Kenapa masih banyak buku bergambar di pasaran?

Sebenarnya, bukan kita nak kata buku bergambar tu tidak bagus langsung. Buku bergambar ada kebaikannya, tetapi ia bergantung kepada cara penggunaan kita.

Apabila digunakan untuk belajar perbendaharaan kata, buku yang mempunyai gambar yang terlalu banyak, mungkin hanya akan mengelirukan anak.

Tetapi apabila digunakan untuk mengembangkan pemikiran kreatif, imaginasi serta memupuk ikatan ibu bapa dan anak, buku bergambar ada banyak faedahnya.

Gambar-gambar di dalam buku boleh menjadi titik persamaan untuk dibincang antara kanak-kanak dan orang dewasa. 

Tiada batasan untuk jumlah imaginasi yang boleh dikongsi apabila mereka bercerita berdasarkan sekeping gambar.

Jadi, ia bergantung kepada keadaan. Dan, ia adalah lebih baik jika anda mempunyai pelbagai jenis buku untuk kegunaan berbeza, sama ada bergambar ataupun tidak.

Sekurang-kurangnya sekarang anda sudah tahu perbezaan antara buku-buku yang sesuai untuk digunakan semasa belajar dan buku bacaan santai.

Marilah kita sama-sama memupuk amalan membaca!

Baca juga: 

Ajar Anak Anda Cara Menulis dan Membaca dengan Kaedah ‘Garam dan Dulang’

Sumber: Curiosity

Penulis

Rosanna Chio