Siapa yang tidak gembira apabila si manja mula memanggil “mama” atau “papa” seawal usia 12 bulan. Akan tetapi, sesetengah kanak-kanak akan mengalami sedikit gangguan dan kelewatan untuk bertutur atas beberapa faktor. Salah satu faktornya ialah kecelaruan bahasa (language disorders).
Dr Raja Juanita Raja Lope, dari Hospital Pantai Kuala Lumpur menjelaskan kecelaruan bahasa sebagai kesukaran seseorang kanak-kanak untuk bertutur dan memahami pertuturan. Namun, kanak-kanak tersebut tidak memiliki sebarang gangguan perkembangan lain seperti autisme, ketidakupayaan intelektual atau kecacatan fizikal.
Terdapat tiga jenis masalah kecelaruan bahasa iaitu:
- isu bahasa reseptif,
- isu bahasa ekspresif dan
- campuran antara isu bahasa reseptif dan ekspresif.
Bagi isu bahasa reseptif, kanak-kanak akan menghadapi kesukaran untuk memahami apa yang dikatakan. Manakala untuk isu bahasa ekspresif, kanak-kanak sukar untuk meluahkan apa yang diingini. Campuran kedua-dua isu membawa kepada kesukaran untuk bertutur dan memahami pertuturan.
Carta Pencapaian Bahasa Mengikut Umur
Bagaimana ingin mengesan jika si manja anda memiliki kesukaran untuk bercakap, atau hanya lambat bercakap? Mereka mungkin menghadapi gangguan kecelaruan bahasa jika tidak mencapai kemahiran bertutur dan memahami pertuturan apabila mencapai usia tertentu.
Mari ikut carta pencapaian bahasa yang disediakan doktor pakar ini untuk mengenalpasti adakah anak anda cenderung memiliki gangguan kecelaruan bahasa:
Masalah Isu Reseptif
- Pada usia 15 bulan, si manja tidak melihat orang/tunjuk pada objek selepas disebut ibu bapa
- Pada usia 18 bulan, si manja tidak mengikut arahan mudah seperti “ambil baju awak”
- Pada usia 24 bulan, si manja tidak boleh tunjuk pada gambar atau bahagian badan selepas disebut
- Pada usia 30 bulan, si manja tidak memberi respon dan bertanya soalan
Masalah Isu Ekspresif
- Pada usia 15 bulan, si manja tidak menggunakan tiga perkataan
- Pada usia 18 bulan, si manja tidak menyebut “mama” atau “papa” atau nama lain
- Pada usia 24 bulan, si manja tidak menggunakan sekurang-kurangnya 25 perkataan
- Pada usia 30 bulan, tidak mampu membina ayat dengan kata kerja dan kata nama
Gangguan kecelaruan bahasa boleh dirawat jika ia dikesan daripada awal. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengesan gangguan ini sejak awal perkembangan si manja. Di bawah saya sertakan beberapa simptom lain yang boleh membantu ibu bapa.
Simptom Gangguan Kecelaruan Bahasa Pada Kanak-kanak
American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) telah menyertakan beberapa simptom atau tanda-tanda yang boleh dilihat bagi mengenalpasti masalah kecelaruan bahasa pada kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak yang menghadapi isu reseptif, mereka sukar untuk:
- memahami sesuatu bahasa tubuh
- mengikut arahan
- menjawab soalan
- mengenalpasti objek dan gambar
- mengambil giliran untuk bercakap dengan orang lain.
Manakala kanak-kanak dengan isu ekspresif akan sukar untuk:
- menyoal soalan
- menamakan objek
- menggunakan bahasa tubuh
- mencantumkan ayat
- mempelajari lagu atau rentak
- menggunakan kata sendi yang betul
- tahu bagaimana ingin memulakan perbualan.
- memiliki perbendaharaan kata yang pelbagai berbanding kanak-kanak seusia
- sering menyebut “ummm”
Bantuan Profesional Untuk Kanak-kanak Dengan Kecelaruan Bahasa
Jika setelah diperiksa, anak anda dipercayai memiliki kesukaran untuk bertutur dan memahami pertuturan, usah khuatir. Seperti yang diulas sebelum ini, masalah ini boleh dirawat.
Menurut ASHA, hampir 200 kajian telah mendapati terapi ucapan-bahasa mampu membantu kanak-kanak dengan gangguan kecelaruan bahasa. Oleh itu, sila dapatkan bantuan profesional seperti terapi ucapan dan terapi psikologi bagi membantu anak anda.
Anda juga boleh membantu si manja menangani masalah ini di rumah! Caranya dengan
- Banyakkan bercakap dengan si manja anda. Dia akan belajar perkataan baru
- Membaca buat mereka setiap hari
- Tunjuk sebarang perkataan yang anda lihat, sama ada di pasaraya, sekolah atau di luar
- Bercakap dengan bahasa yang mudah
- Dengar dan respon apabila si manja anda bercakap
- Galakkan si manja untuk menyoal soalan
- Beri mereka masa untuk menjawab soalan
Semoga perkongsian ini dapat membantu ibu bapa sekalian mengenalpasti masalah yang mungkin dihadapi oleh anak masing-masing dalam pertuturan.
Sumber rujukan: American Speech-Language-Hearing Association, Preschool Language Disorders, Understood Org, Utusan Online, dan MedlinePlus