Teknik urut bayi yang betul sangat bermanfaat untuk anda berdua. Bayi anda akan lebih tenang dan anda akan berasa gembira kerana dapat meluangkan masa dengan bayi anda.
Teknik Urut Bayi
Berikut adalah beberapa teknik mengurut yang anda boleh lakukan dengan mudah untuk mengeratkan hubungan ibu dan anak.
1. Kaki dan paha
Bahagian kaki adalah tempat yang paling baik sekali untuk memulakan urutan, kerana itu adalah bahagian bayi yang paling kurang sensitif jika dibandingkan dengan bahagian badan yang lain.
Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan menyapu sedikit minyak ke atas tangan anda, pegang salah satu paha bayi anda dengan menggunakan kedua-dua belah tangan dan tarik ke bawah perlahan-lahan, satu tangan demi satu tangan.
Seolah-olah anda sedang “memerah susu”. Ulangi dengan kakinya yang lagi satu dengan teknik urut bayi tersebut.
2. Buku lali dan kaki
Kali ini, anda perlu memicit secara perlahan sebelah kaki pada satu-satu masa. Kemudian usap bahagian buku lalinya hingga ke jari kakinya.
3. Tapak kaki
Gunakan ibu jari anda untuk mengurut tapak kaki bayi anda. Gerakkan jari anda dan buat pusingan pada sekitar tapak kakinya.
4. Jari kaki
Untuk urutan jari kaki bayi anda yang comel pula, pegang jari kaki bayi anda di antara ibu jari dan jari telunjuk anda. Tarik sehingga jari kaki bayi anda terlepas dari pegangan anda. Ulangi bagi setiap jari jemari bayi anda.
5. Tangan
Untuk bahagian tangan, anda boleh mengulangi teknik “memerah susu” tadi. Bermula dari ketiaknya sehingga ke pergelangan tangannya.
Kemudian, dengan perlahan-lahan pegang tangannya dan putarkan tangan kecilnya itu di bahagian pergelangan tangannya beberapa kali. Ulangi langkah yang sama untuk tangan yang sebelah lagi.
6. Jari
Secara perlahan, pegang jari bayi anda di antara ibu jari dan jari telunjuk anda dan tarik sehingga jarinya terlepas dari pegangan anda. Seperti yang anda perasan, ia adalah sama seperti teknik untuk jari kaki bayi anda.
7. Dada
Letakkan kedua-dua tangan anda di atas dada bayi anda. Dengan perlahan, buka tangan anda dan usap dadanya ke arah luar. Ulanginya teknik ini beberapa kali.
8. Dada (teknik ke-2)
Dengan menggunakan satu tangan sahaja, letakkan tangan anda di atas dada bayi anda dan usap perlahan-lahan sehingga ke pahanya. Ulangi langkah ini dengan berselang seli tangan anda.
9. Belakang
Pastikan bayi anda sedang meniarap. Gunakan hujung jari anda dan buat bulatan kecil pada kedua belah tulang belakang bayi anda dari bahagian leher sehingga ke punggungnya.
10. Belakang (teknik ke-2)
Tamatkan sesi urutan dengan beberapa usapan yang kuat dan panjang. Bermula dari bahunya sehingga ke kakinya.
Apabila sudah selesai, pakaikan lampinnya dan peluk bayi anda atau pun menyusukannya. Selepas menikmati urutan ini pasti bayi anda akan tidur dengan lena.
Lakukan teknik urut bayi ini secara berkala untuk bayi mendapatkan ketenangan.
Rujukan: Baby Center