Masa berkualiti dengan pasangan: Bagaimana untuk buat ia jadi realiti?

Ketahui cara meluangkan masa bersama suami dan jadikan ia amalan dalam hidup berumah tangga. Ibu gembira, ayah pun bahagia. Barulah kekal sampai syurga.

Apabila kita lihat wajah anak-anak, kita melihat betapa cepatnya masa berlalu. Apabila melihat suami pula, kita terfikir yang kita sudah lama tidak menghabiskan masa bersama berdua. Bagaimanakah cara meluangkan masa bersama suami?

Tanpa usaha untuk menjadikan masa berkualiti bersama suami itu satu realiti, kita pun mulalah tertanya-tanya, "siapakah sebenarnya lelaki yang sedang duduk di hadapan aku ini?"

Cara meluangkan masa bersama suami – Mengapa ia sangat penting?

Ya, amat mudah untuk kita terjerat dengan beban rutin harian berkeluarga, tapi ibu sekalian, jangan sampai kita terlupa untuk mengekalkan hubungan romantis dengan suami.

Kredit: Ashmorlegal.com.au

Suami kita itulah rakan sehidup semati kita. Apabila anak-anak membesar dewasa nanti, mereka akan meninggalkan rumah kita dan memulakan hidup sendiri.

Kita? Kita akan kekal hidup bersama pasangan hidup pada waktu itu. Jadi, penting untuk kita memulakan langkah berhubungan mulai dari saat ini.

Sebelum kita lihat beberapa cara meluangkan masa bersama suami, mari kita lihat kepentingannya dulu.

  • Untuk memastikan rumah tangga kekal sehingga ke syurga tanpa perceraian di tengah jalan 
  • Untuk mengingatkan diri kita saat-saat kita saling mengenali dan jatuh hati
  • Untuk sentiasa merasa kasih, sayang dan cinta pada pasangan, sama seperti di awal perkahwinan
  • Untuk dijadikan contoh kepada anak-anak ketika mereka dewasa 
  • Untuk memenuhi keperluan fitrah manusia daripada segi emosi, zahir dan batin

Cara meluangkan masa bersama suami tanpa anak-anak di sisi

Mulai dari hari ini, mari kita tetapkan dengan pasangan yang kita akan melakukan beberapa perkara berikut. 

Ia adalah antara cara meluangkan masa bersama suami yang mudah untuk dilakukan dan dapat membantu memastikan perhubungan suami isteri yang sihat.

Kredit: Youngparents.com.sg

1. Jadikan masa berdua itu satu keutamaan 

Perkara pertama adalah ini: tetapkan dalam diri dan berbincang dengan suami yang anda berdua perlu menjadikan usaha untuk berdua ini satu keutamaan.

Kemudian, tetapkan masa yang sesuai dengan jadual anda berdua. Mungkin anda boleh buat setiap hujung minggu pada hari Sabtu waktu untuk anda keluar dating tanpa anak-anak.

Dapatkan bantuan keluarga atau rakan rapat untuk menjaga anak anda ketika waktu kualiti suami isteri ini.

2. Rancang dan lakukan aktiviti kreatif berdua

Masa berkualiti bermaksud anda saling berhubung ketika bersama. Untuk mendapatkan masa berkualiti, rancang apakah aktiviti menarik yang anda berdua boleh buat.

Yang penting anda berdua perlu suka melakukan aktiviti tersebut dan bukannya sebelah pihak saja yang menggemarinya.

Merancang bersama bukan saja memastikan aktiviti bonding anda berjalan lancar, malah turut membantu anda berdua rasa teruja untuk "bertemu" dan dating pada hari Sabtu.

3. Aktiviti yang dirancang perlu beri peluang anda berbual

Kredit: Ticotimes.net

Zaman sekarang, ramai ibu ayah gemar pergi menonton wayang berdua. Walaupun itu boleh dikatakan sebagai dating, tapi dari segi kualiti, ia adalah aktiviti yang kurang sesuai.

Kenapa? Kerana pada waktu itu, anda berdua hanya memandang skrin besar selama 2 atau 3 jam tanpa berbual atau memandang wajah satu sama lain.

Lainlah jika tontonan tersebut membawa kepada perbincangan mesra tentang intipati dan jalan cerita movie tersebut...Kalau membawa kepada bergaduh, pun tidak bagus juga.

4. Melibatkan sentuhan dan aktiviti fizikal 

Kalau boleh, masukkan juga sentuhan mesra antara anda berdua ketika meluangkan masa berkualiti bersama.

Memegang tangan, berpelukan, berciuman, dan melakukan hubungan seks ketika anda pergi bercuti berdua sangat perlu dilakukan.

Cumanya, aktiviti dua terakhir itu jangan dilakukan di khalayak ramai pula ya!

5. Cadangan cara meluangkan masa bersama suami

Kredit: Unitedvoice.com

Mungkin ibu tergaru-garu kepala, apakah aktiviti menarik yang boleh anda lakukan dengan suami tanpa gangguan anak-anak.

Jadi, kami sediakan beberapa senarai aktiviti yang simple tapi dapat membantu merapatkan hubungan suami isteri.

  • Bercuti dalam atau luar negara
  • Berjalan-jalan dan meneroka pekan atau bandar baru yang berdekatan
  • Menginap di hotel pada hujung minggu
  • Minum di restoran kegemaran
  • Bersenam di gim berdua dan saling membantu ketika bersenam
  • Bersarapan pagi dan berjalan di pasar pagi atau pasar tani berdua pada hujung minggu
  • Mencuci mata dan membeli barangan rumah dan menghias bersama-sama
  • Memandu kereta berdua dan pusing-pusing bandar 
  • Berkelah di hutan lipur atau di pantai berdua tanpa anak-anak
  • Memanjat bukit/jungle trekking berdua pada hujung minggu

Ada banyak lagi aktiviti mudah lain yang anda boleh buat bersama suami. Yang paling penting, kita perlu sentiasa berkomunikasi ketika bersama.

Semoga dengan usaha ini, rumah tangga yang terbina bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.

Selamat mencuba ya!

 

 

 

Sumber: theAsianparent Philippines

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Penulis

Noor