Mahu bayi anda nanti lahir berkulit mulus nan cerah, anda mestilah berusaha sejak hamil lagi! Bukan dengan memakai lotion untuk memutihkan kulit bayi bila di lahir nanti tau. Di sini kami kongsikan cara memutihkan kulit bayi sejak dari dalam kandungan.
Selain mengamalkan pemakanan sihat yang mampu menjadikan kulit bayi mulus dan cerah, ada juga pantangnya. Orang tua-tua kata tak elok makan makanan pedas, elakkan mencederakan haiwan dan macam-macam lagilah.
Kalau benda yang baik apa salahnya untuk diikut kan? Kalau pelik-pelik tu tak payahlah amalkan. Jadi ibu-ibu apa tunggu lagi? Jom amalkan tips dan petua ini untuk cara memutihkan kulit bayi!
Makanan yang elok diambil untuk bayi kulit cantik
#1. Susu soya
Saya ingat lagi dulu ibu saya pernah kongsikan apabila dia mengandungkan kakak saya yang sulung, dia kerap mengamalkan minum air kacang soya.
Selain mengidam dia juga katakan ia bagus untuk menjadikan kulit bayi lebih cerah dan mulus, waktu itu tak tahulah pula saya, itu antara cara memutihkan kulit bayi.
Dan memang betul pun, kakak sulung saya lahir dengan kulit yang putih gebu. Nak dibandingkan dengan kami adik beradik memang langit dengan bumi. Putihnya tu memang jernih semacam. Yelah, time mengandungkan adik-adik yang lain, ibu saya tak pula teringin minum air kacang soya. Bau pun tak lalu.
#2. Buah epal
Ini lagi satu yang ibu saya suka amalkan. Sebab ayah juga dulu memang suka makan epal, jadi itulah buah yang sentiasa ada di rumah. Lalu ibu mengandung pun tumpang sekaki lah.
Selain beri manfaat untuk bayi, epal yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin C juga Serat ini dapat memberi nutrien yang lengkap buat si ibu, malah elok juga untuk elakkan sembelit!
#3. Buah tomato
Mesti ramai yang tahu tomato ini elok untuk jadikan kulit orang dewasa cantik kan? Samalah jika kita amalkannya ketika hamil. Nanti bayi pun dapat tempias kulit cantik tau!
Malah dengan pengambilan kerap ia berupaya mengelakkan kulit bayi dari terken ekzema atau penyakit kulit lain.
#4. Kelapa
Jika di Indonesia, air kelapa dipercayai dapat membuat kulit bayi bersih, di India pula, isi kelapa yang sudah cukup tua dan keras yang menjadi snek untuk ibu hamil. Mereka yakin, isi kelapa yang tebal dan berwarna putih tersebut dapat membuatkan kulit bayi menjadi lebih terang.
#5. Susu Saffron
Saffron adalah sejenis rempah termahal di dunia. Meminum susu dengan campuran saffron dipercayai akan meningkatkan kecerahan warna kulit bayi masa depan nanti.
Seeloknya minum susu kambing yang dicampuri saffron, susu kambing bukan saja baik untuk ibu hamil malah juga banyak manfaat untuk si kecil dalam kandungan itu.
#6. Putih telur
Sering mengambil putih telur pada trimester kedua kehamilan juga diyakini dapat membuat kulit bayi putih dan sempurna.
#7. Badam
Anda juga boleh makan badam atau minum susu badam selama kehamilan. Selain sihat untuk perkembangan janin, ia juga dipercayai dapat mencerahkan kulit bayi.
#8. Oren
Ini adalah salah satu buah yang kaya dengan vitamin C dan wajib diambil selama kehamilan. Selain mencerahkan warna kulit, kandungan asid folik dalam oren juga penting untuk pertumbuhan janin yang sehat.
#9. Nanas
Di beberapa negara Asia, minum jus nanas seminggu sekali dipercayai dapat menjadikan kulit bayi putih sempurna.
#10. Biji fennel atau jintan manis
Wanita hamil di India percaya dengan meminum air rendaman biji jintan manis sebanyak 3ml setiap pagi, ia dapat meningkatkan warna kulit bayi. Selain itu juga dapat meringankan gejala mual di pagi hari.
#11. Jus anggur
Kandungan alpha hydroxy acids (AHA) dalam anggur dipercayai berkesan untuk menghasilkan kulit yang cerah dan sihat.
#12. Kacang hijau
Mengambil bubur kacang hijau atau air rebusannya diyakini dapat menjernihkan air ketuban dan mencerahkan kulit bayi sejak dalam kandungan.
#13. Lobak putih
Lobak putih kaya dengan antioksidan dan mineral yang diyakini dapat mempengaruhi warna kulit bayi di kandungan jika sering diambil selama hamil.
Selain 13 makanan di atas, ada baiknya ibu juga mengambil makanan yang kaya dengan omega 3. Omega 3 secara akademiknya sudah terbukti baik untuk kulit ibu dan bayi.
Apa yang perlu dielakkan?
#1. Makan makanan pedas.
Ini kalau orang tua-tua cakap boleh buatkan kulit bayi panas, nanti bila lahir kerap ada ruam-ruam kecil atau ekzema. Sejauh mana kesahihannya tidak pasti, tapi kalau rasa nak to be safe, elakkan sajalah makan pedas yang ekstrem, sikit-sikit tak mengapalah.
Malah jika terlalu pedas tak elok juga untuk ibu hamil. Nanti senang sakit perut.
#2. Jangan dera haiwan
Ini lebih kepada sindrom ‘kenan’. Mesti ramai yang tahu kan tak elok buat benda-benda pelik ketika mengandung ni. Nanti kenan. Mak mertua saya pernah cerita yang bapa mertua saya dulu pernah bunuh katak semasa dia hamilkan kakak ipar sulung.
Sebab itu, kulitnya sampai sekarang sering gatal-gatal dan mengalami parut yang teruk akibat selalu menggaru waktu kecil dulu.
Sejauh mana kebenarannya wallahualam. Tapi memanglah perbuatan tu tak elok pun, mengandung atau tidak, janganlah bunuh atau dera haiwan sebarangan.
#3. Jangan mengata
Orang mengandung ni kena lebih berhati-hati dalam bercakap. Jangan suka mengata anak orang, jangan bergosip. Yelah nanti yang dikatakan itu terjadi pada anak sendiri.
Jaga mulut tu, jangan suka-suka cakap anak orang nakallah, gelaplah, tak comellah. Nanti jadi pada anak sendiri pula. Minta dijauhkan ya.
#4. Lotion memutihkan kulit bayi
Memang ada produk yang dijual khusus untuk memutihkan kulit bayi, tapi ibu ayah semua janganlah cepat terpedaya ya. Kalau betul-betul terdesak nak guna, semak betul-betul bahannya.
Kulit bayi kita sangatlah lembut dan masih fragile, bukan boleh guna produk sebarangan. Yang pasti kulit anak anda sihat dan bebas masalah, kalau setakat nak cerah itu bukan ukuran anak yang sihat ya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 4 Cara Penting Untuk Menjaga Dan Melindungi Kulit Bayi Yang Lembut