Penting sebagai ibu bapa kita mengajar anak kita untuk berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Sememangnya tanggungjawab kita untuk membentuk anak-anak mempunyai ciri-ciri manusia yang bertamadun ini.
Di dalam artikel ini akan menceritakan tentang:
- Apa itu hemah tinggi?
- Menghormati orang lain
- Tahu bila patut bersuara dan tidak
- Tahu beza buruk dan baik
- Apa kepentingan berhemah tinggi
- Cara ajar anak beradab
Apa itu hemah tinggi?
Hemah tinggi adalah tingkah laku mulia, lemah lembut serta berbudi bahasa yang patut diamalkan oleh semua individu apabila berhubung dengan masyarakat yang lain.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk mendidik anak supaya mereka membesar menjadi orang yang berhemah.
Adalah menjadi harapan setiap ibu bapa, satu hari nanti anak mereka jadi orang dewasa yang baik, jujur, bersimpati, dan berani.
Walaubagaimanapun, sikap hemah tinggi tidak wujud secara semulajadi dalam diri setiap orang.
Didikan dari kecil, oleh ibu bapa tentang kepentingan nilai-nilai ini adalah kunci kejayaan.
Antara benda yang wajib anda ajar anak-anak agar mereka membesar dengan hemah tinggi adalah:
#1 Hormati semua orang tanpa mengira jantina
Menghormati orang lain adalah ciri-ciri penting yang anak harus ada, termasuk menghormati rakan sebaya tanpa mengira jantina.
#2 Jangan takut buat kesalahan
Belajar dari kesilapan adalah ciri yang jarang diajar hari ini. Adalah penting untuk belajar dari kegagalan sendiri supaya ia tidak akan diulangi lagi.
#3 Pengetahuan lebih penting dari markah yang tinggi
Kadang-kadang ibu bapa jadi marah apabila anak balik dengan markah peperiksaan yang tidak memenuhi harapan mereka.
Walaubagaimanapun, markah yang baik tidak selalu menunjukkan pengetahuan dan pemahaman yang baik.
#4 Ibu bapa bukan musuh, anak boleh minta bantuan pada bila-bila masa
Menjadi kawan kepada anak bukan perkara yang mudah, apabila ibu bapa juga perlu tegakkan disiplin pada anak-anak.
Mereka juga mempunyai rakan sendiri, jadi jangan paksa mereka jadi kawan anda jika mereka tidak mahu.
Sebaliknya tunjukkan yang anda boleh dipercayai, dan anda bersedia menolong mereka jika mereka memerlukannya.
#5 Bersedia untuk mempertahankan harga diri
Sesetengah ibu bapa lebih menghormati pendapat guru atau orang lain dari anak sendiri.
Ini menyebabkan anak-anak rasa tidak puas hati dan tidak berupaya untuk mempertahankan diri sendiri.
Jelaskan kepada anak yang tak salah untuk mempertahankan pandangan seseorang dengan cara yang baik dan sopan jika perlu.
#6 Jangan lakukan sesuatu yang anda tidak suka sebab disuruh rakan
Kanak-kanak selalu ingin jadi popular dan akan melakukan apa sahaja untuk rasa diterima di kalangan rakan sebaya.
Berikan contoh peribadi anda untuk menunjukkan anak orang yang jujur dan ikhlas lebih berharga daripada kawan-kawan yang memaksa mereka untuk menentang pendirian sendiri.
#7 Jika tak faham, jangan takut untuk bertanya
Adalah perkara biasa untuk bertanya soalan apabila anda tidak faham.
Dan lebih baik bertanya daripada berpura-pura memahami segala-galanya. Masa kanak-kanak adalah masa terbaik untuk menimba ilmu.
#8 Jangan takut beritahu cikgu kalau anda tidak rasa sihat
Kanak-kanak tidak perlu takut untuk memberitahu cikgunya mengenai isu kesihatan.
Kesihatan adalah lebih penting daripada pencapaian yang bagus atau memikirkan adakah cikgu akan marah.
#9 Hormati alam sekitar
Kita seringkali mengadu jalan kotor dan taman bunga yang dirosakkan.
Sikap hormat pada alam sekitar perlu bermula di rumah. Ia perlu bermula dengan ibu bapa supaya anak-anak akan belajar ciri yang baik ini.
#10 Belajar untuk katakan TIDAK
Ajar anak anda untuk mengatakan “tidak” kepada orang dewasa apabila mereka rasa tidak selesa.
Ini bukan untuk mengajar anak supaya tidak menghormati orang dewasa, tetapi untuk menjaga keselamatan diri mereka.
Ibu bapa perlu membina harga diri anak yang kuat, supaya mereka tidak menjadi orang yang hanya mematuhi sebarang arahan. Keupayaan untuk mengatakan “tidak” boleh mengurangkan risiko grooming oleh pemangsa seks.
Ajar anak-anak untuk beradab
Ajar anak-anak adab yang mendalam. Ya, ini juga dikenali sebagai etika, tetapi ini bukan bercakap tentang etika di meja makan seperti cara menggunakan garfu yang betul. Ia lebih kepada ajar anak untuk meminta dengan baik seperti “tolong hulurkan lauk itu” dan “terima kasih banyak kerana datang ke majlis hari jadi saya” serta jawapan lain yang sopan yang mengatakan “Saya menghargai usaha anda bagi pihak saya dan menghormati masa yang anda luangkan.”
Anda juga ingin membantu anak-anak anda belajar untuk meminta maaf dan bertanggungjawab atas tindakan mereka jika mereka melakukan sesuatu (walaupun secara tidak sengaja) yang menyakiti orang lain.
Jika mereka tidak mempunyai bahasa untuk apa yang mereka ingin katakan, anda boleh membantu mereka dengan baik. Ia sentiasa bermula dengan anda. Sekiranya anda melakukan sesuatu kesalahan segera meminta maaf dan bukan menyalahkan mereka sekiranya anda membuat silap. Contohnya, anda telah merosakkan alat mainan mereka atau memecahkan sesuatu milik mereka, dari bercakap “mengapa letak mainan bersepah kan dah pecah!” Sebaliknya anda perlu katakan “minta maaf, ibu tak perasan mainan kamu di situ.”
Setiap kelakuan dan tindak tanduk anak, bermula dari rumah. Ingat ya ibu ayah, anak beradab lahir dari ibu bapa yang beradab!
Parenting, Astkhik Rakimova untuk Brightside
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Selain Lobak Merah, Ini 10 Jenis Makanan Untuk Mata Yang Sihat Menurut Pakar