Hindari Makanan Mengancam Bayi & Tidur Posisi Ke Kiri, Ibu Ini Kongsi Pengalaman Kehamilan Yang Selamat

Sepanjang hamil 9 bulan, ibu harus tahu cara menjaga kandungan yang baik dan selamat serta posisi tidur yang betul agar bayi sihat sehingga dilahirkan

Setelah mengetahui diri sedang berbadan dua, pastinya ibu akan melihat cara menjaga kandungan dengan sehabis baik supaya ibu dan bayi sentiasa berada dalam keadaan yang sihat.

Kehamilan juga merupakan saat yang paling sesuai untuk wanita hamil menjaga diri mereka dengan baik tidak kira dari aspek pemakanan, gaya hidup, kerohanian dan lain-lain.

Ini kerana ibu mahu berikan yang terbaik sepanjang perjalanan bergelar ibu ini seterusnya memperolehi bayi yang sihat dengan mengikut panduan yang disarankan oleh doktor di Klinik Kesihatan.

Atas sebab itu, seorang ibu bernama Akmar, 29 berkongsi pengalamannya tentang cara menjaga kandungan yang selamat supaya menjadi ikutan untuk bakal ibu-ibu yang lain.

Ibu berkongsi pengalaman tentang cara menjaga kandungan

Menurut Akmar, dia disahkan hamil pada awal Januari 2019 setelah mengalami lewat haid selama dua minggu.

“Saya disahkan hamil pada Januari 2019 selepas lewat haid selama dua minggu. Semasa melakukan ujian kehamilan buat pertama kali saya menerima keputusan negatif.

“Kemudian, saya tidak berpuas hati lalu mencuba lagi pada minggu berikutnya dan mendapati ada dua line yang naik tapi samar-samar.

“Selepas itu, saya mencuba lagi untuk kali ketiga dan ia menunjukkan keputusan yang terang. Itu bermakna saya memang  confirm hamil.

“Sewaktu berjumpa doktor dan melakukan scan kehamilan, doktor dapati ada kantung dalam rahim.

“Malah bila tiap kali pergi check up dan scan kehamilan, doktor akan menerangkan tentang perkembangan bayi seperti degupan jantung, tangan, kaki dan badannya.

Mengalami alahan yang teruk

Menurut Akmar, sepanjang hamil dia mengalami alahan yang teruk dan langsung tak boleh makan.

“Di awal kehamilan juga saya mengalami penurunan berat badan sebanyak 8 kilogram dan 20 botol air masuk ke dalam badan serta berkali-kali masuk wad. Tapi saya beruntung kerana suami sentiasa ada di sisi.

“Bahkan saya makin tertekan dengan alahan yang tanpa henti itu. Memang ada mengidam tapi dapat makan sekejap sahaja dan kemudian muntah balik.

“Setelah bulan berganti bulan, saya semakin serasi dengan alahan yang dialami dan terus positif membaca artikel tentang kehamilan dan keibubapaan di internet.

Makan benda sejuk supaya bayi bergerak

Kredit : Dairy food magazine

Dalam masa yang sama, ibu ini juga memberitahu bahawa dia sentiasa makan benda yang manis dan sejuk supaya bayi bergerak melalui tendangan.

“Semasa hamil saya memang suka makan benda yang manis-manis dan sejuk supaya bayi sentiasa bergerak dan kemudian dapatlah rasai tendangan si kecil.

Menurutnya lagi, dirinya tidak mengubah diet semasa hamil tapi mengalami penurunan berat badan dek kerana alahan yang teruk.

“Dalam masa yang sama, saya juga hindari makan nanas, sushi dan beberapa jenis makanan serta minuman yang dikatakan boleh mengancam nyawa bayi dalam kandungan. Jadi semua itu saya tidak ambil,” ujarnya.

Kedudukan tidur di waktu malam

Bagi memastikan kandungan sentiasa terjaga dan selamat sehingga bersalin, Akmar turut memberitahu yang dia akan memastikan tidur mengiring ke sebelah kiri dan menggunakan pregnancy pillow untuk mendapatkan tidur yang lebih selesa dan nyenyak.

Suami dan seluruh keluarga sentiasa beri semangat

“Sepanjang hamil, suami, keluarga saya dan keluarga mentua sentiasa ada bersama dan memberi semangat untuk teruskan kandungan ini.

“Nasihat yang saya tidak lupakan adalah setiap pasangan yang berkahwin semestinya mengimpikan anak untuk melengkapkan kehidupan dalam perkahwinan. Malah tak semua pasangan suami isteri dikurniakan rezeki awal untuk hamil selepas berkahwin.

“Tambahan pula, anak itu adalah rezeki dan amanah daripada Tuhan Yang Maha Esa,” tuturnya lagi.

“Dari sini saya dapat pelajari bahawa seseorang ibu yang sedang hamil perlu sentiasa kuat demi anak yang dikandungkan. Malah, emosi ibu mengandung juga harus dijaga dengan baik. Paling penting, apa yang
kita lakukan, harus sentiasa ingat ada satu lagi nyawa dalam badan kita.

“Bagi wanita yang sudah berkahwin dan merancang untuk ada anak, ingat Tuhan akan beri tepat pada waktunya, jangan kita pernah mengalah atau mengeluh,” tambahnya lagi.

3 Tips penting yang sering diamalkan ibu ini

1) Sentiasa menggunakan pregnancy pillow yang besar yang mana kita boleh tidur di dalam bantal tersebut.

2) Keduanya, pastikan bantal berada di pinggang untuk mendapatkan keselesaan sewaktu tidur setiap malam.

3) Sebelum tidur, minta bantuan suami untuk urut kaki dan kemaskan tempat tidur mengikut keselesaan masing-masing.

Semoga bermanfaat.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga

https://my.theasianparent.comproses-kehamilan-perkembangan-janin