Perkahwinan bukanlah satu urusan kehidupan yang mudah. Ia merupakan perhubungan seumur hidup antara 2 insan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa kerjasama dan usaha dari kedua-dua pihak, amat mudah untuk salah seorang pasangan curang dalam perkahwinan.
Bila masa pasangan akan mudah curang dalam perkahwinan?
Pernahkah anda terfikir tentang soalan ini? Kita selalu membincangkan tentang sebab-sebab mengapa seseorang itu boleh curang dengan pasangan.
Tapi, jarangkan kita lihat secara spesifik pada tahun ke berapakah suami atau isteri mula buat perangai dan bermain kayu tiga. Yang menariknya, ada beberapa kajian telah pun dibuat tentang hal kecurangan dalam rumah tangga ini.
Kajian akademik tentang isu curang dalam perkahwinan
Contohnya seperti kajian yang telah dibuat di mana ia telah meminta seramai 423 peserta untuk mengisi survey tentang isu kecurangan dan motif disebaliknya ini.
Hasil kajian mendapati:
- Kaum wanita lebih cenderung curang dalam tempoh 6 ke 10 tahun perkahwinan
- Kaum lelaki pula cenderung berlaku curang selepas usia perkahwinan mencecah 11 tahun.
Secara amnya, orang perempuan akan lebih setia pada awal usia perkahwinan ataupun selepas perkahwinan mereka berjaya melepasi usia 10 tahun.
Motif di sebalik masalah curang dalam perkahwinan
Selain daripada mengetahui apakah usia perkahwinan yang boleh menyebabkan pasangan mula berfikir untuk berlaku curang, kajian ini turut ingin mencari sebab atau motif di sebalik tindakan tersebut.
Hasil kajian mendapati yang isu curang dalam perkahwinan boleh berlaku disebabkan oleh beberapa perkara berikut:
- Tertekan dengan urusan rumah tanga
- Krisis pertengahan usia (mid-life crisis)
- Ingin mencapai perkara yang belum dicapai
- Sindrom “seven-year itch” di mana pasangan mula ingin mencuba sesuatu yang baru selepas 7 tahun berkahwin
Siapakah golongan yang cenderung untuk setia?
Perkahwinan yang berterusan sehingga di hujung usia bukanlah sesuatu yang pelik. Walaupun kita selalu dengar tentang isu curang dalam perkahwinan, namun masih ada pasangan yang memilih untuk terus setia.
Kajian yang disebutkan dalam artikel ini turut mengkaji siapakah golongan yang cenderung untuk kekal setia dalam rumah tangga mereka. Hasilnya mendapati yang orang yang beragama, golongan wanita, dan mereka yang baru berkahwin adalah mereka yang cenderung untuk setia dan tidak berlaku curang.
Sebab di sebalik kesetiaan dalam perkahwinan
Ada beberapa sebab mengapa golongan ini memilih untuk kekal dalam perkahwinan mereka tanpa menduakan pasangan.
Antara 2 sebab utamanya adalah ini:
- Mereka merasakan perbuatan curang adalah sangat keji dan tidak mahu dipandang sebagai tidak bermoral oleh orang lain
- Mereka tidak mahu keseorangan apabila tua nanti
Demi keluarga dan anak-anak, mari kekal setia dengan pasangan!
Melalui kajian ini, dapatlah kita lebih memahami sifat perkahwinan secara amnya. Jika kita merasakan usia perkahwinan kita berada dalam fasa untuk mudah berlakunya masalah kecurangan, maka kita perlu sentiasa mengingatkan diri dan pasangan tentang hal ini.
Pada fasa yang “rapuh” ini, kita perlu berusaha keras untuk memastikan kesejahteraan rumah tangga.
Cepat beralah, selalu bertolak ansur, segera memohon maaf, berlemah-lembut dan banyakkan berdoa – mungkin ini adalah perkara yang boleh kita lakukan bersama-sama dengan pasangan.
Jadi, ibu ayah sekalian, mari jaga keharmonian rumah tangga demi kebahagiaan kita suami isteri dan anak-anak ya!
Sumber: Tandfonline.com, ThisIsInsider.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Wajib Tahu, Cara Untuk Perkahwinan Bahagia Berkekalan