Ibu Ayah Sila Peka, Ini 5 Tanda Awal Anak Kecil Anda Mungkin Alami Gangguan Mental
Gangguan jiwa atau mental boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, Tahukah anda 1 daripada 5 kanak-kanak mengalami masalah ini tanpa disedari oleh ibu bapa?
Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga boleh berdepan gangguan jiwa atau mental. Menurut penyelidik di Harvard Medical School, hampir 50 responden mengatakan mereka mengalami masalah ini sejak dari kecil lagi.
Malah, gejala awal bagi gangguan mental pada kanak-kanak mungkin agak berbeza daripada orang dewasa. Sebab itu ramai ibu bapa yang sukar untuk mengesan gangguan ini pada anak-anak mereka. Jumlah kes gangguan mental di kalangan kanak-kanak makin meningkat dengan 1 daripada 5 kanak-kanak akan mengalaminya.
Gangguan jiwa atau mental yang terjadi pada kanak-kanak
Tapi, sebelum kita mengetahui apakah 5 tanda amaran anak anda mungkin mengalami gangguan mental, mari ketahui apakah itu gangguan mental terlebih dahulu.
Gangguan mental adalah ketidakupayaan dan gangguan pada minda dan mental seseorang. Antara gangguan mental yang sering dialami kanak-kanak adalah 6 jenis ini:
- Gangguan sering keresahan – kanak-kanak dengan gangguan ini mungkin akan mengalami obsessive compulsive disorder (OCD), tekanan trauma dan fobia yang boleh mengganggu aktiviti harian mereka.
- Gangguan perhatian atau hiperaktif (ADHD) – gangguan ini sering kelihatan apabila kanak-kanak tak dapat menumpukan perhatian, hiperaktif dan bersikap kasar.
- Gangguan autisme – kanak-kanak dengan gangguan ini sukar untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain secara sosial.
- Masalah pemakanan – seperti aneroksia, bulimia dan keinginan untuk menguyah juga berbahaya untuk kanak-kanak!
- Masalah mood/perangai – kanak-kanak juga boleh mengalami kemurungan dan gangguan bipolar yang boleh menjejaskan mood dan perangainya.
- Schizophrenia – ini merupakan gangguan mental kronik di mana pesakit tidak dapat membezakan realiti (psikosis).
Tanda amaran gangguan jiwa atau mental yang harus diperhati oleh ibu bapa
Ada 5 tanda amaran yang menunjukkan anak anda mungkin mengalami masalah gangguan jiwa atau mental. Jika anda dapat mengesan gejala awal ini dengan lebih awal, ia boleh dirawat.
Kami di theAsianparent telah menyertakan 5 tanda amaran ini dalam bentuk senarai dan video.
Jadi, mari lebih peka dengan anak-anak, melihat 5 tanda amaran berikut:
#1. Perubahan mood lebih dari 2 minggu
Mood swing atau asyik mengubah angin/mood dalam jangka masa lebih daripada 2 minggu merupakan satu petanda penting.
Jika anak anda hiperaktif dan tiba-tiba kesedihan atau sebaliknya, tanpa penyebab yang jelas – ini mungkin petanda awal gangguan bipolar.
Malah menurut laporan American Academy of Child and Adolescent Psychiatry (AACAP), 3.4 juta remaja yang didiagnosis dengan masalah kemurungan pernah mengalami gangguan bipolar.
#2. Sering ketakutan atau terlebih risau
Memang normal kalau kanak-kanak asyik risau dan ketakutan. Biasanya, mereka akan takut dengan gelap, makhluk khayalan dan terpisah dengan penjaga.
Tapi kalau anak anda menunjukkan tanda terlebih takut dan risau, itu mungkin gejala awal gangguan keresahan. Akibatnya, mereka boleh mengalami OCD.
#3. Perubahan tingkah laku yang ekstrem
Kanak-kanak memang selalu menyoal, ingin tahu dan suka memberontak atau menentang. Tapi kadang-kadang, perubahan perangai yang terlalu ekstrem juga adalah tanda berbahaya.
Mereka mungkin mengalami masalah ADHD, kemurungan, gangguan bipolar dan sebagainya.
#4. Perubahan fizikal yang mendadak
Perubahan fizikal ini tak termasuk ketika anak mencapai usia akil baligh. Hampir 80% pesakit mental pernah mengalami masalah perubahan fizikal mendadak seperti lebih berat badan dan terlalu kurus.
Perubahan berat badan juga satu petanda masalah kemurungan.
#5. Sukar untuk beri tumpuan
Kanak-kanak yang sukar untuk memberikan tumpuan berpotensi menghidap gangguan mental. Jadi, penting untuk anda kesan tanda-tanda ini agar mereka boleh dirawat dengan segera.
Sukar menumpukan perhatian adalah gejala ADHD dan masalah kemurungan.
Masalah mental atau gangguan jiwa yang terjadi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia kini membimbangkan dan dikenal pasti sebagai ‘wabak tersembunyi’. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalaminya,
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan yang sama mendapati 9.5 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun menderita masalah mental yang mana sejumlah besar daripada mereka adalah penduduk luar bandar iaitu 8.8 peratus dan B40 sebanyak 9.2 peratus.
Justeru, sebagai ibu ayah jika anda mendapati berlaku perubahan ketara pada diri anak-anak, segeralah membawa mereka berjumpa dengan pakar.
Sumber: theAsianparent Singapore, Mayo Clinic dan Detik Health
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Ibu Ayah Hilang Pendapatan Kerana Covid-19 Cenderung Menjejaskan Kesihatan Mental Anak Di Rumah