Isnin lalu, gempa bumi kuat telah melanda tenggara Turkiye pada pukul 4:17 pagi (waktu tempatan) di kedalaman kira-kira 18 kilometer berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye yang menempatkan kira-kira dua juta orang, kata Kajian Geologi AS.
Manakala gempa bumi kedua dilaporkan berlaku pada pukul 1.24 petang (waktu tempatan) di daerah Elbistan, wilayah Kahramanmaras, Turkiye.
Organisasi Kesehatan Dunia (WHO) menganggarkan bahawa angka kematian boleh meningkat hingga 20,000 orang.
Kisah meruntun jiwa tragedi gempa bumi Turkiye-Syria
#1. Bayi bertali pusat selamat di bawah runtuhan gempa bumi
Ahli keluarga berusaha mengeluarkan bayi perempuan yang tali pusat masih melekat dengan ibunya yang sudah meninggal dunia dalam tragedi gempa bumi di Syria awal pagi semalam.
Bayi yang terperangkap di bawah timbunan bangunan runtuh akibat gempa buruk di utara negara terbabit dikeluarkan hidup-hidup meskipun ibunya meninggal dunia.
“Kami terdengar suara ketika sedang menggali (runtuhan bangunan).
“Kami segera membersihkan kotoran dan menemukan bayi perempuan dengan tali pusat masih melekat pada ibu dan kami memotongnya, kemudian sepupu saya membawanya ke hospital,” katanya kepada AFP, hari ini.
Video yang memaparkan usaha menyelamat itu tular di media sosial. Rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki segera berlari daripada timbunan bangunan empat tingkat yang runtuh sambil memegang bayi kecil yang dipenuhi kotoran.
Kemudian seorang lagi lelaki berlari ke arah lelaki pertama sambil membawa selimut bagi berusaha memanaskan bayi dilahirkan dalam suhu bawah sifar, manakala individu yang lain menjerit meminta kenderaan untuk membawanya ke hospital.
Bayi itu dibawa untuk rawatan di bandar berhampiran, Afrin manakala ahli keluarga meneruskan pencarian selama beberapa jam lagi sebelum menemukan mayat bapa bayi itu, Abdullah, ibu Afraa, empat beradik serta seorang ibu saudara.
Menurut doktor yang merawatnya, suhu badan bayi itu telah jatuh kepada 35 darjah Celsius (95 darjah Fahrenheit) dan dia mengalami lebam, termasuk yang bersaiz besar di belakangnya, tetapi dia berada dalam keadaan stabil.
”Ibu kepada bayi berkenaan (Afraa Abu Hadiya) pasti dalam berada dalam keadaam sedar semasa proses kelahiran anaknya, namun kemungkinan meninggal dunia tidak lama kemudian.” jelasnya.
Maarouf menganggarkan bayi itu dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui penyelamat, memandangkan jumlah suhu yang telah menurun.
“Jika bayi itu dilahirkan sejurus sebelum gempa bumi melanda, dia pasti tidak akan mampu bertahan selama berjam-jam dalam kesejukan. Malah, sekiranya bayi itu ditinggalkan selama sejam lebih, dia pasti sudah meninggal dunia,” katanya.
#2. Kakak lindungi adik di bawah runtuhan bangunan
Melalui perkongsian di laman Twitter oleh seorang wartawan Zuhair Alamosa, dia menceritakan detik-detik penyelamatan di bawah runtuhan.
Ketika usaha pencarian dan penyelamatan runtuhan bangunan susulan gempa di Syria iaitu menfokuskan kepada Idlib dan Aleppo, pasukan penyelamat berjaya menemukan dua kanak-kanak di bawah runtuhan bangunan.
Mereka kelihatan penat dan lemah kerana telah berada di bawah runtuhan begitu lama diajak penyelamat berbual-bual ketika kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan.
Si kakak ditawarkan mainan, namun menolak pelawaan itu lalu meminta penyelamat mengeluarkan dia dan adiknya serta merelakan diri untuk dijadikan hamba.
“Tolong bawa saya dan adik keluar dari runtuhan ini tuan. Saya rela untuk menjadi hamba anda,” jelasnya dalam video berdurasi 17 saat itu.
#3. Bayi lelaki kembar selamat biarpun berada di bawah runtuh 40 jam
Bayi lelaki kembar menjadi antara mangsa yang dihempap runtuhan bangunan runtuh dalam gempa bumi Turki. Namun begitu, mereka terselamat melalui tempoh penat selama 40 jam, di bawah runtuhan bangunan di Gaziantep, Turki.
Mereka masih hidup ketika diselamatkan oleh polis pada Selasa, 7 Februari.
Menurut Anadolu Agency (AA), tular rakaman oleh Polis Turki menunjukkan dua kanak-kanak itu dibawa keluar dari runtuhan bangunan.
“Kembar berkenaan diselamatkan kira-kira 40 jam selepas runtuhan bangunan runtuh di Gaziantep,” kata polis sambil menambah bahawa kedua-duanya adalah “kembar ajaib”.
#4. Bapa enggan melepaskan tangan anak di bawah runtuhan
Sekeping gambar yang menyayat hati menunjukkan seorang bapa memegang erat tangan anaknya yang maut dalam kejadian gempa di Turkeye menjadi viral sejak semalam.
Lelaki berkenaan enggan melepaskan tangan anak perempuannya yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi melanda Turkiye dan Syria.
Mesut Hancer, penduduk bandar Turki Kahramanmaras, berhampiran pusat gempa, hanya duduk di atas runtuhan dan terlalu sedih untuk bercakap.
Dia enggan melepaskan tangan anak perempuannya Irmak yang berusia 15 tahun di saat tubuhnya terbaring tidak bermaya di antara kepingan konkrit.
#5. Ibu sarat mengandung
Seorang wanita sarat mengandung diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan kira-kira 40 jam selepas dua gempa bumi kuat melanda Turkiye.
Nehir Ilkova yang hamil sembilan bulan diselamatkan di Kahramanmaras iaitu pusat gempa berkekuatan 7.8 skala Richter pada Isnin lalu.
Wanita itu kemudian segera dihantar ke hospital oleh pasukan penyelamat yang tiba dari perbandaran Umraniye di Istanbul.
#6. Minta air untuk dirikan solat
Dalam muat naik oleh wartawan, Muhammad Smiry di laman Twitter, video berdurasi 36 saat itu dilaporkan dirakam di salah satu kawasan terjejas di Turkiye memaparkan seorang warga emas dilihat masih terperangkap dan tidak dapat dikeluarkan berkemungkinan terdapat halangan atau kesempitan.
Berdasarkan kapsyen video berkenaan, Muhammad Smiry menjelaskan, warga emas itu meminta air bagi mendirikan solat dalam keadaan masih terperangkap kerana tidak mahu meninggalkan kewajipan itu.
“Seorang warga emas meminta air untuk mengerjakan solat, sementara orang ramai memberitahunya bahawa dia boleh mengerjakan solat dalam situasi tersebut,” melalui kapsyen Muhammad Smiry di akaun Twitter miliknya.
#7. Mangsa meminta tolong menerusi media sosial
Penduduk Turkiye yang terperangkap dalam runtuhan bangunan akibat dua gempa bumi kuat kelmarin meminta pertolongan menerusi media sosial.
Lapor Al Jazeera, mereka dikatakan membuat siaran langsung menerusi Instagram, Facebook, malah TikTok serta memuat naik keadaan terkini mereka dari semasa ke semasa.
Tindakan itu bagaimanapun meruntun hati pengguna media sosial yang tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memberi kata-kata semangat.
Firat Yayla, seorang YouTuber yang dikenali sebagai Charmquell adalah salah seorang daripada mereka.
Dia berkata dalam video yang disiarkan dalam Instagram Stories semalam, selepas gempa bumi pertama, dia tersepit di bawah runtuhan di daerah Antakya di tengah wilayah Hatay dan merayu pengikutnya supaya menyelamatkannya.
“Kawan, kami terperangkap di bawah gempa bumi,” katanya dalam rakaman video di ruang gelap.
“Ibu! awak okay tak? Ibu! Beritahu saya anda berada di suatu tempat. Tolong! bantu!” tambahnya sebelum menamatkan video dan memberi alamat rumahnya.
Kemudian, Firat mengemas kini Instagramnya dengan mengatakan dirinya sudah diselamatkan, tetapi ibunya masih kekal di bawah konkrit.
Astro Awani, Harian Metro, Utusan Malaysia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ini Kongsi Kisah Sedih Dilaluinya, 6 Kali Kehilangan Bayi Akibat Penyakit Jarang Berlaku