Gusi Bengkak : Penyebab Dan Apa Yang Perlu Dilakukan Dengan Pembengkakan Gusi?
Gusi bengkak boleh dihilangkan dengan berkumur dengan air garam suam panas, makan makanan yang lembut dan gigit cengkih.
Gusi bengkak adalah masalah umum yang sering dialami oleh ramai orang. Ketika gusi mengalami pembengkakan, ia dapat menimbulkan ketidakselesaan, rasa sakit, dan masalah radang pada mulut.
Isi Kandungan
Apa Itu Gusi Bengkak
Ia merujuk kepada keadaan di mana tisu lembut di sekitar gigi menjadi bengkak, kemerahan, dan mungkin juga terasa sakit atau sensitif. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.
Bengkak gusi boleh terjadi disebabkan bakteria dan sisa makanan yang melekat pada gigi selepas makan atau minum dan membentuk plak. Jika plak dibiarkan dalam jangka masa yang lama, ia akan bertukar menjadi tartar atau karang gigi.
Adakah memberus gigi sahaja sudah cukup? Tidak. Karang gigi tidak boleh ditanggalkan dengan memberus sahaja dan hanya boleh dibuang melalui rawatan scaling.
Semakin banyak karang terbentuk, semakin bertambah pula plak yang akan berkumpul di kawasan sekitarnya. Akhirnya, ia akan menyebabkan timbul beberapa komplikasi seperti membengkak dan kemerahan.
Tanda-Tanda Gusi Bengkak
Ia mungkin tak selalu menjadi perhatian utama, tetapi sebenarnya ia adalah isyarat tubuh yang perlu diambil serius. Lebih-lebih lagi kalau si kecil atau ahli keluarga anda mula mengadu tentang sakit atau ketidakselesaan di bahagian mulut.
1.Gusi Merah dan Menggelembung
Jika gusi yang biasanya berwarna pink cerah tiba-tiba nampak kemerahan atau membengkak, itu adalah petanda pertama.
Gusi yang sihat seharusnya rata dan berwarna merah muda. Jadi, bila ia menggelembung atau berubah warna, sesuatu mungkin tidak kena.
2.Sakit atau Sensitif
Kadang-kadang, ia boleh menyebabkan rasa sakit atau sensitif apabila makan atau menggosok gigi.
Jika anak anda atau anda sendiri merasa tidak selesa setiap kali gigi disentuh, gusi bengkak boleh jadi puncanya.
3.Pendarahan Semasa Menggosok Gigi
Kalau tiba-tiba gusi mudah berdarah, terutamanya selepas menggosok gigi atau makan makanan keras, itu petanda jelas ada masalah.
Walaupun sikit darah tak perlu panik, tetapi jika ia berterusan, segeralah berjumpa doktor gigi.
4.Nafas Berbau atau Bau Mulut Busuk
Bau mulut yang kurang menyenangkan boleh jadi tanda. Bila gusi bengkak bakteria boleh terkumpul dan menghasilkan bau yang tak enak.
Jadi, jika nafas anak atau diri sendiri berbau lebih dari biasa, mungkin ada masalah gusi di belakangnya.
5.Perubahan Pada Gigi atau Gusi
Kadang-kadang, gusi yang bengkak juga boleh menyebabkan gigi rasa longgar atau seakan-akan berubah kedudukan. Ini boleh berlaku jika bengkak berkaitan dengan jangkitan gusi yang lebih serius.
6.Kesukaran Mengunyah atau Menelan
Bila gusi bengkak dan sakit, aktiviti mudah seperti makan dan menelan pun boleh jadi sukar. Jadi, jika anak anda mula mengelak daripada makan
Penyebab Pembengkakan Gusi
Antara penyebab pembengkakan gusi adalah:
1. Penyakit gusi (Gingivitis)
Gingivitis adalah penyebab utama bengkak gusi. Hal ini disebabkan oleh pengumpulan plak pada gigi yang tidak dibersihkan dengan baik. Bakteria dalam plak dapat merosak gusi, menyebabkan keradangan dan pembengkakan.
2. Periodontitis
Jika gingivitis tidak dirawat, ia boleh berkembang menjadi periodontitis yang lebih serius. Periodontitis melibatkan keradangan yang menular ke tulang gigi. Gusi akan semakin bengkak dan meradang, dan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada struktur gigi.
3. Jangkitan Gigi
Jangkitan pada gigi atau kerosakan pada gigi dapat menyebabkan bengkak gusi di sekitar kawasan yang jangkitan. Ia perlu segera dirawat oleh doktor gigi.
4. Trauma atau Luka
Gusi dapat membengkak setelah mengalami trauma atau luka, seperti ketika gigi tercabut atau patah. Bengkak ini biasanya bersifat sementara dan akan reda setelah penyebab luka itu sembuh.
5. Peralatan Pergigian
Peralatan pergigian yang digunakan seperti pendakap, penahan, dan gigi palsu sering menyebabkan gusi bengkak atau terluka.
Petua Hilangkan Bengkak Gusi Dengan Cepat
Berikut adalah petua hilangkan bengkak gusi dengan cepat:
1. Membersihkan Gigi Dan Gusi
Membersihkan gigi secara betul dengan berus gigi dan flos gigi dapat membantu mengurangi pembengkakan gusi. Pastikan anda membersihkan seluruh permukaan gigi dan gusi dengan lembut.
2. Berkumur Dengan Air Garam Suam Panas
Berkumur dengan larutan air garam suam panas dapat membantu mengurangi keradangan dan pembengkakan gusi. Campurkan setengah sudu teh garam ke dalam segelas air suam panas dan kumurlah selama beberapa saat sebelum membuangnya.
3. Ais
Letakkan ketulan ais pada bahagian gusi yang bengkak selama beberapa minit. Ini dapat membantu mengurangi bengkak gusi dan memberikan kelegaan.
4. Makan Makanan Yang Lembut
Makan makanan lembut buat sementara waktu dapat mengurangkan tekanan pada gusi dan membantu dalam proses penyembuhan. Hindari makanan pedas, keras, atau masam yang dapat memburukkan lagi keadaan gusi.
5.Bawang Putih
Cara ini mudah sahaja. Tumbuk bawang putih dan campurkan dengan garam. Kemudian, letakkan pada kawasan yang bengkak.
6.Gigit Cengkih
Bunga cengkih terkenal dengan bahan antiseptik semulajadi iaitu eugenol yang membantu mengurangkan sakit pada gusi. Kalau tak sukakan bau bawang putih, anda boleh gantikan dengan cengkih.
Caranya, gigitkan sahaja bunga cengkih pada bahagian yang sakit. Tetapi, jika gusi belakang bengkak agak sukar dicapai, jadi anda boleh tumbuk lumat dan letakkan pada bahagian gusi tersebut.
Ulang petua ini sehingga gusi anda benar-benar sembuh dan tidak lagi berdenyut.
7.Timun
Sekiranya anda berasa ngilu, gunakan dengan timun kerana ia juga mempunyai kesan penyejukan, sama seperti ais. Hiriskan timun, campurkan dengan garam dan gigit pada kawasan yang sakit.
8.Esen Vanila
Tahu kan esen vanila yang biasa dicampurkan ke dalam kek supaya jadi wangi dan harum? Ia juga merupakan bahan yang selamat digunakan untuk hilangkan bengkak dengan cepat.
Cara orang lama, titiskan atau celup pada kutip kapas sebelum lalukan pada tempat yang sakit.
Atau titiskan terus supaya ia benar-benar meresap pada gusi yang bengkak.
Perkara Yang Boleh dan Tidak Boleh Dilakukan Apabila Merawat Gusi Bengkak
Boleh Dilakukan:
1.Gosok Gigi dengan Lembut : Jangan abaikan rutin gosok gigi! Gunakan berus gigi yang lembut dan gosok dengan perlahan. Ini akan membantu menghilangkan plak tanpa merengsakan gusi.
2.Gunakan Pencuci Mulut Antibakteria : Menggunakan pencuci mulut antibakteria boleh membantu membunuh bakteria yang menyebabkan keradangan. Pastikan memilih yang sesuai!
3.Kumur Air Garam : Campurkan sedikit garam dalam air suam dan kumur perlahan-lahan. Ini boleh membantu mengurangkan bengkak dan melegakan kesakitan.
4.Makan Makanan Sihat : Pilih makanan yang kaya dengan vitamin C, seperti buah oren dan sayur-sayuran hijau, kerana ia boleh membantu kesihatan gusi.
Tidak Boleh Dilakukan:
1.Menggosok Gigi Terlalu Kuat : Gosok gigi terlalu kuat boleh merosakkan gusi yang bengkak. Pastikan tekanan yang digunakan lembut dan berhati-hati.
2.Mengabaikan Kebersihan Mulut : Jangan biarkan plak terkumpul. Kebersihan mulut yang buruk hanya akan membuatkan gusi semakin teruk.
3.Makan Makanan Pedas atau Asam : Makanan yang pedas atau asam boleh merengsakan gusi yang sedang bengkak, jadi elakkan dulu!
4.Merokok : Merokok boleh mengganggu proses penyembuhan gusi, jadi cuba elakkan jika gusi bengkak.
Cara Mencegah Gusi Bengkak
Mencegah lebih baik daripada merawat! Berikut adalah beberapa cara mudah untuk menjaga gusi anda supaya kekal sihat:
1.Menggosok Gigi Secara Berkala : Gosok gigi dua kali sehari untuk menghilangkan plak dan bakteria. Jangan lupa guna flos untuk membersihkan celah-celah gigi yang sukar dicapai.
2.Kunjungi Doktor Gigi Rutin : Jangan tunggu sakit baru nak pergi doktor gigi. Pemeriksaan rutin sekurang-kurangnya setahun sekali sangat penting untuk mencegah masalah gusi.
3.Makan Makanan Seimbang : Makanan yang kaya dengan vitamin C dan kalsium sangat baik untuk kesihatan gusi dan gigi.
4.Minum Banyak Air : Air bukan sahaja menyegarkan, tetapi juga membantu membilas sisa makanan dan bakteria di dalam mulut.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Jika gusi bengkak berlarutan lebih dari beberapa hari, berdarah tanpa sebab jelas, menyebabkan sakit yang teruk, atau ada perubahan pada gigi dan gusi, segeralah berjumpa doktor gigi. Ini mungkin tanda masalah gusi yang memerlukan rawatan segera.
Semoga artikel ini bermanfaat buat anda.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Menjaga Gigi Anak Agar Kekal Cantik & Sihat, Rahsianya Guna Ubat Gigi Berfluorida!
Baca juga: Sakit Gigi Ketika Hamil Tambah Risiko Dapat Bayi Pramatang, Hati-Hati Ya!
Baca juga: Masalah Sakit Gigi Berdenyut, 11 Petua Ini Terbukti BERKESAN Menghilangkannya!