Kuala Lumpur digemparkan lagi dengan kes kebakaran pada Hari Kekasih tempoh hari. Kejadian berlaku di Taman Wangsa Permai, Kepong. Encik Shamsul Ng Abdullah, 59 tahun sedang menonton televisyen di tingkat atas sebelum mendengar satu bunyi letupan yang kuat. Beliau tidak menghiraukan bunyi tersebut kerana menyangka ia bunyi bunga api. Namun tanpa disedari, api marak rakus menjilat ruang tamu di tingkat bawah rumah.
Mangsa yang terkorban adalah Lam Yan Yi (7 tahun), Ng Zi Xuan (10 tahun) dan seorang pembantu rumah warga Kemboja, Sok Srey (29 tahun). Isteri Encik Shamsul, Lam Chooi Lai sempat menyelamatkan ibu mereka yang berusia 81 tahun.
The Straits Times melaporkan kebakaran bermula dari tingkat bawah dan merebak dengan pantas ke tingkat atas. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat menghidu asap kebakaran yang beracun. Punca kebakaran masih disiasat namun ia mungkin berpunca daripada litar pintas.
Kebakaran satu mimpi ngeri yang memusnahkan. Di Amerika Syarikat, anggaran hampir 1,000 buah rumah rentung terbakar setiap hari. Kebanyakan kes kebakaran adalah berpunca daripada beberapa habit buruk yang diamalkan oleh penghuni rumah itu sendiri.
Mari semak apakah habit buruk yang sering dilakukan yang berisiko mengakibatkan kebakaran di rumah:
#Habit buruk 1: Gemar guna extension cords
Extension cords memudahkan kerja. Semua plug boleh disambung bersama. Namun, tahukah anda perbuatan ini boleh mengakibatkan litar pintas? Peralatan elektrik yang telah disambung bersama boleh terpercik atau menjadi terlalu panas. Guna extension cords hanya bila perlu.
Saranan: Jika ingin lebih banyak outlet elektrik di rumah, dapatkan bantuan juruelektrik. Sentiasa pasang, selenggara dan baiki outlet mahupun perkakas elektrik oleh individu bertauliah.
#Habit buruk 2: Semua peralatan elektrik bercampur
Jika anda mencampurkan semua peralatan elektrik di satu bahagian, tiada ruang untuk peralatan tersebut membebaskan haba yang telah dijana. Lebih banyak peralatan elektrik dalam satu outlet, lebih tinggi risiko terlebih muatan pendawaian, lalu terjadi pintas elektrik.
Saranan: Rachel Rothman dari Good Housekeeping Institute menyarankan semua peralatan elektrik utama (seperti peti ais, microwave, dan ketuhar) dipasang terus ke outlet dinding. Jangan guna extension cords atau power strips.
#Habit buruk 3: Keluar rumah tanpa tutup peralatan elektrik
Perbuatan ini pasti sering dilakukan semua individu. Saat kelam-kabut ingin keluar rumah, anda terlupa untuk menutup suis kipas, lampu, atau sebarang peralatan elektrik lain. Ia mampu mengundang padah! Jangan sesekali keluar rumah tanpa menutup peralatan elektrik!
Saranan: Pastikan semua peralatan elektrik telah ditutup sebelum anda keluar rumah.
#Habit buruk 4: Tinggal masakan di dapur tanpa pengawasan
Memasak (terutamanya memasak tanpa pengawasan) adalah punca utama bagi kebakaran rumah. Ini kerana masakan mampu terbakar atau hangus lalu mengundang api yang marak. Pentadbiran Kebakaran di Amerika Syarikat melaporkan teknik masakan goreng paling berisiko untuk mengundang kecuaian.
Saranan: Jangan tinggalkan masakan di dapur tanpa pengawasan. Tunggu sehingga masakan siap, baru berlalu pergi dari dapur.
#Habit buruk 5: Tidak simpan cecair mudah bakar di kawasan selamat
Jangan letak sebarang bekas/tin bertekanan tinggi yang mengandungi aerosol seperti penyembur minyak wangi, penyembur rambut, penyembur racun serangga dan sebagainya berhampiran punca api terdedah. Gas daripada bekas ini boleh menjadi panas dan meletup.
Saranan: Simpan bekas cecair mudah terbakar di kawasan yang selamat dan jauhi ia dari kanak-kanak.
#Habit buruk 6: Tidak buang kain tiras atau habuk dari mesin pengering baju
Mesin pengering baju satu mesin ajaib yang sering mengakibatkan kes kebakaran! Ia kerana ramai individu tidak menghiraukan untuk membuang kain tiras malah habuk yang berkumpul pada penapis. Kain tiras atau habuk tersebut boleh terbakar kerana haba yang dihasilkan mesin pengering.
Saranan: Bersihkan penapis mesin pengering dengan kerap. Periksa hos pengering untuk lihat jika ada kain tiras atau habuk tersumbat di dalamnya.
#Habit buruk 7: Pasang lilin dan biar tanpa pengawasan
Macam mustahil, bukan? Tapi, ya! Habit buruk ini boleh mengakibatkan kebakaran. Lilin boleh terjatuh selepas dilanggar haiwan peliharaan lalu menyambar fabrik berhampiran.
Saranan: Guna pemegang lilin yang kukuh atau padamkan lilin jika anda ingin meninggalkan bilik.
Sekarang setelah anda ketahui beberapa habit buruk yang mungkin anda lakukan mampu mengakibatkan kebakaran, mari cegah kebakaran sebelum ia berlaku!
Sumber: The Straits Times, National Fire Protection Association, Good Housekeeping Institute, U. S Fire Administration, Missouri Woman Loses Home to Dryer Fire, MSN Lifestyle dan Cottleville Fire Rescue.